Anak Boleh Tuntut Sendiri Nafkah Daripada Ayah

DCCK  3 SEPTEMBER 2017  GAMBAR HANYALAH HIASAN SEMATA-MATA

“KELAS khidmat guaman percuma yang dianjurkan oleh Kumpulan Sokongan Ibu Tunggal (ksit) diberitahu bahawa anak-anak mangsa perceraian yang berumur 18 tahun ke atas selepas tamat SPM mereka masih boleh meminta nafkah daripada ayan masing-masing, terutama jika mereka ingin melanjutkan pelajaran samada di kolej mahupun university.

“Malah jika ayah mereka enggan memberikan nafkah, mereka masih boleh menuntut dengan membawa kes tuntutan nafkah mereka secara persendirian ke mahkamah syariah, tak kira sama ada anak itu lelaki atau perempuan, kerana selagi mereka masih belajar mereka berhak mendapat bantuan nafkah dan pelajaran daripada ayah mereka. Itu menurut Encik Hanifah Seyed Mohammad seorang peguam sivil dan syariah dalam pencerahannya kepada ahli ahli KSIT dalam perjumpuaan kelas khidmat guaman bulanan minggu KSIT lalu.

“Sebenarnya si ibu masih boleh membuat tuntutan nafkah untuk anak-anak yang sudah dewasa sama ada mereka masih belajar atau pun tidak kepada bekas suami, tetapi terdapat sesetengah bekas suami yang enggan memberikan nafkah dengan alasan anak-anak sudah besar dan mereka tidak berhak ditanggung lagi, itu adalah tidak benar.

“Malah jika si anak itu perempuan, si ayah bertanggungjawab memberi nafkah kepada anak tersebut sehingga si anak itu bekerja. Jika tidak bekerja menjadi tanggungjawab si ayah juga menanggung makan minum, malah beri pakaian serta keperluan lain kepada anak gadisnya hinggalah si anak tadi berkahwin.

“Selagi anak perempuan itu tidak berkahwin sehingga ada yang memanggilnya sebagai andartu ataupun andalusia, maka menjadi tanggungjawab si ayah tadi terus beri nafkah kepada anaknya termasuk memberi pakaian dan lain lain secukupnya hinggalah anak itu kahwin.

“Tidak dinafikan ada sesetengah ibu yang lemah semangat apabila digertak oleh bekas suami, dan mereka mudah putus asa apabila keperluannya mendapatkan nafkah dan bantuan pelajaran untuk anak anak mereka terus pelajaran tidak dilayan atau ditolak oleh bekas suaminya.

“Dalam kes itu, jika si ibu tadi gagal atau malas untuk membuat permohonan kerana diugut atau dibantah oleh bekas suami, maka si anak tadi tak kira perempuan atau lelaki, mereka boleh membuat tuntutan nafkah daripada ayah mereka dan membawa kes mereka ke mahkamah syariah seperti yang dilakukan oleh ibu mereka.

“Malangnya ramai kalangan wanita khususnya ibu-ibu  tunggal yang tidak tahu dan merasa ragu ragu tentang tuntutan nafkah dan tuntutan pelajaran tersebut kerana sikap si ayah yang enggan menanggung nafkah anak yang sudah besar.

“Sebenarnya ibu ibu tunggal masih boleh menuntut nafkah daripada bekas suami masing-masing untuk anak anak yang sudah besar. Tetapi biasanya, mereka sering patah semangat apabila digertah, diugut dan sebagainya oleh bekas suami jika ibu ibu tadi membuat tuntutan.

“Apabila ibu ibu tidak ada kemampuan untuk membiayai pelajaran anak-anak, ramai kalangan mereka terpaksa meminta anak-anak tadi berhenti belajar dan menyuruh mereka mencari kerja. Ini sepatutnya tidak berlaku. Dengan pendidikan setakat tingkatan 5 dan memegang sijil SPM apalah sangat yang dapat dilakukan oleh anak anak ini untuk menyara hidup mereka sendiri.

“Apakah ibu bapa tidak kesal jika anak anak mereka tidak berpelajaran tinggi dan terasa sukar untuk meneruskan kehidupan mereka. Sedangkan mereka berkemampuan untuk terus belajar untuk membaiki taraf pendidikannya? Tanya beliau lagi.

“Tidak dinafikan ada antara anak-anak ibu tunggal yang terpaksa mendapatkan pinjaman PTPTN untuk terus melanjutkan pelajaran ke kolej atau ke university, tetapi mereka masih tetap perlukan bantuan sara hidup untuk makan minum setiap bulan termasuklah mendapatkan pakaian, kelengkapan dan peralatan bantuan pelajaran termasuk computer dan sebagainya, maka mereka boleh meminta meminta bantuan nafkah kepada ayah masing masing.

“Tambahan pula sekarang perbelanjaan sara hidup terlalu tinggi, yang memungkinkan ramai antara ibu ibu tunggal yang tidak mampu menyara pelajaran anak mereka yang sudah dewasa, kerana terpaksa menanggung anak anak lain yang masih kecil untuk terus belajar di peringkat menengah dan menengah rendah. Maka ibu-ibu tunggal masih boleh meneruskan tuntutan nafkah mereka daripada bekas suami untuk anak-anak yang sudah besar ini khususnya bantuan sara hidup ketika melanjutkan pelajaran.

 

“Memang benar. sehingga kini jarang kita dengar anak anak menuntut nafkah bantuan sara hidup dan pelajaran daripada ayah masing-masing hingga di bawa ke mahkamah syariah. Mungkin anak anak ini dan ibu ibu tunggal tidak tahu tentang hak mereka. Sebaik baiknya mereka rajin mencari bukti untuk membuat tuntut nafkah daripada ayah sehingga berjaya. Kerana itu memang hak mereka sebagai anak. Dan ayah mestilah bertanggungjawab.

“Saya dapati ramai bekas suami yang enggan dan mengelak daripada beri nafkah kepada bekas isteri walaupun untuk anak-anak mereka. Sebaliknya mereka bukan sahaja tidak mahu memberikan nafkah, malah menghina bekas isteri selain menghilangkan diri kerana enggan beri nafkah. Hingga menyukarkan bekas isteri membuat tuntutan nafkah. Ini sepatutnya tidak berlaku kepada kita orang Islam yang memahami tanggungjawab sebagai suami dan ayah yang telah diamanahkan oleh Allah.’’ Cerita beliau lagi.

Sementera itu salah sorang ibu tunggal bernama Jalilah memberitahu bekas suaminya lebih rela menggunakan khidmat peguam dengan membayar  puluhan ribu tinggit, semata-mata untuk mempertahankan dirinya daripada memberi nafkah untuk anak-anaknya sendiri.

“Sepatutnya menjadi tanggungjawabnya suami menyara hidup anak-anaknya. Dan adalah lebih baik dia menggunakan duit yang berjumlah puluhan ribu ringgit untuk membayar khidmat peguam diberikan kepada bekas isteri untuk nafkah anak-anaknya? Di manakah pertimbangan seorang ayah dalam menjalankan tanggungjawabnya yang diwajibkan ke atasnya memberikan nafkah kepada anak-anaknya kerana anak-anak adalah amanah Allah. Sedarkan dia bahawa dia akan dituntut di akhirat kerana tidak melaksanakan amanah Allah itu? Kata Jalilah lagi.

“Saya terpaksa turun naik mahkamah beberapa kali semata-mata untuk mendapatkan nafkah anak-anak, sedangkan bekas suami saya selalu enggan hadir ke mahkamah kerana enggan memberi nafkah. Saya kira menjadi tanggungjawab hakim mahkamah ataupun pegawai Sulh dapat memberi nasihat lebih tegas kepada suami suami yang enggan beri nafkah anak-anaknya.

“Dan tolonglah nasihatkan dan sedarkan diri para suami tentang tanggungjawab mereka itu yang telah diamanahkan oleh Allah. Malangnya ada sesetengah pegawai Sulh lebih memehak kepada suami untuk mengurangkan jumlah nafkah yang dituntut oleh isteri. Dimana peranan hakim dan pegawai Sulh ini dalam menegakkan kebenaran.’’ Kata Jalilah.

Sementara itu. menurut Ezahani, daripada pengalamannya bekas suaminya tidak mahu beri nafkah anak-anak, sebaliknya bertindak lebih kejam melarikan anak-anak setiap kali saya membuat tuntutan nafkah. Perbuatannya semata-mata untuk mengelakan dianya daripada beri nafkah anak kepada saya.

“Tujuannya melarikan anak-anak adalah untuk menyelamatkan duit ringgitnya daripada jatuh kepada saya walaupun untuk nafkah anak-anaknya sendiri. Lebih menyedihkan bekas suaminya sanggup membuat tuntutan penjagaan anak anak (hadanah) kerana dia enggan membenarkan saya menjaga anak-anak, kerana masalah pemberian nafkah.

“Setelah dia berjaya mendapat hak penjagaan anak, dia menyerahkan anak kami dijaga oleh ibunya yang sudah tua di kampung, kerana dia sendiri tidak berkemampuan untuk menjaga anaknya sendiri, selain isteri barunya juga bekerja.

“Saya berasa pelik bagaimana mahkamah syariah boleh membenarkan kes tersebut dengan berikan hak penjagaan anak-anak (hadanah) kepada si ayah, sedangkan mahkamah tahu si ayah memang tidak mampu menjaga anak-anaknya, sebaliknya akan menyerahkan kepada penjagaan ibunya yang sudah tua dan uzur di kampung. Adakah ini adil?

“Siapakah yang lebih berhak menjaga anak-anak? Adakah ibunya sendiri ataupun nenek yang sudah tua di kampung. Atau dijaga oleh ibu tiri yang kita faham sangat tentang banyak permasalahan yang akan timbul kemudiannya.

“Bekas suami juga enggan beri nafkah anak anak dengan alasan, saya boleh menjaga anak sendiri jadi mengapa harus dihantar ke rumah pengasuh. Selain mendakwa mengapa harus mengaji pengasuh dengan jumlah bayaran yang besar.

“Benar saya boleh jaga anak-anak sendiri, tetapi saya tidak ada banyak masa kerana saya sendiri terpaksa keluar bekerja  mencari nafkah untuk diri sendiri. Kerana biasanya nafkah yang suami berikan memang tidak mencukupi. Kadang-kadang tidak ada langsung.

“Tetapi lainlah jika bekas suami menggaji saya untuk menjaga anak-anak. Namun sudah pasti dia enggan beri gaji untuk bekas isterinya. Sebaliknya memaksa saya bantu dia sama sama tanggung anak-anak kerana mendakwa anak anak menjadi tanggungjawab  bersama. Sebenarnya kebanyakan ayah kini lupa dan tidak tahu tugas mereka yang sebenar sebagai ayah.

“Memandangkan masalah beri nafkah anak anak menjadi masalah besar kepada suami, kerana berasa rugi untuk menyara anak-anaknya selepas bercerai, hingga mereka sanggup berbohong, mengelakkan diri daripada hadir ke mahkamah, maka saya cadangkan supaya jabatan agama Islam khususnya mahkamah syariah membuat peraturan dan penetapan supaya potongan gaji kepada majikan suami dibuat serta merta sebaik sahaja si suami sah menceraikan isterinya.

“ Dengan penetapan ini dapat menyelamatkan ibu ibu tunggal daripada menggunakan khidmat peguam yang tinggi yurannya untuk menuntan nafkah ke mahkamah syariah yang biasanya memakan masa bertahun tahun lamanya. Langkah ini juga boleh meringankan lagi tugas mahkamah syariah dalam  menguruskan kes tuntutan nafkah.

“Kesedaran juga wajib diberikan kepada bekas bekas suami tentang tanggungjawab mereka terhadap anak anak, walaupun mereka telah bercerai. Kerana perceraian itu tidak bermakna memutuskan hubungan si ayah atau si ibu dengan anak masing-masing. Anak-anak tetap menjadi tanggungjawab si ayah untuk beri nafkah sementara si ibu memberikan khidmat nasihat, membimbing dan  mendidik anak anak menjadi warga lebih baik lagi.

“Selagi si ayah tidak diberikan kesedaran tentang tanggungjawab yang hakiki terhadap anak-anak mereka, maka selagi itulah masalah tuntutan nafkah ini sukar diselesaika, ‘’ itu antara kesimpulan pandangan ibu ibu tunggal yang menghadapi masalah mendapatkan nafkah dari bekas suami untuk anak-anaknya sendiri.

Adalah diharapkan penetapan undang mahkamah syariah dapat diperbaiki dalam masalah pemberian nafkah ini supaya dapat dilaksanakan lebih sempurna demi kebaikan ummah khususnya anak-anak bakal generasi akan datang.