Anda Jadi Sasau Jika Suami Sakit Jiwa

 

DCCK  18  JUN  2017  Gambar adalah hiasan semata-mata

ADA orang mengandaikan bahawa perkahwinan seumpama perjudian, sebab ada kala menang ada kala kalah. Samalah seperti adat berkahwin ada yang bahagia tak tak kurang juga yang menderita dan keciwa. Kerana kita tidak boleh menduga atau meneka apakah perangai pasangan kita itu sama ada baik atau perengus, pembohong atau jujur, penyayang ataupun kaki pukul. Semuanya terpulang kepada nasib kita. Tak kiralah sama ada kita perempuan atau lelaki.

Kerana ada juga suami yang baik, jujur dan penyayang dapat isteri kaki control, pemalas, kaki leter dan membenci keluarga suaminya. Bagitu juga sebaliknya, ada suami yang kaki joli, pemabok, pembohong, kaki hutang, kaki putar alam dan kaki pukul dapat  isteri punyalah taat dan setia kepada suaminya.

Namun itu semua boleh diatasi jika kena gayanya, atau paling teruk, berakhir dengan perceraian atau pun digantung tak bertali. Tetapi nasib yang dilalui oleh Puan Dashimah lebih teruk daripada apa yang diperkatakan di atas. Sebab beliau berkahwin dengan lelaki yang bukan gila, bukan pulak orang tidak siuman, tetapi keadaannya sering tak menentu, lebih teruk lagi jika suaminya tidak mendapat rawatan.

“Sapa sangka lelaki yang kita kahwin itu, yang pada awalnya dan luarannya nampak baik, tetapi tanpa kita sangka dia mengeram penyakit yang tidak ketentuan hala seperti orang gila jika tidak mendapat rawatan dan ubat yang betul.’’ Itu cerita Dashimah ketika kami berbual panjang suatu malam. Setelah beberapa kali kami saling hubung menghubungi.

“Penyakit Amirul atau kami panggil Arul bukan seperti orang gila, dia normal, terutama ketika usia mudanya, semua ok, nampak baik. Tetapi dia mula menunjukkan perubahan setelah kami mempunyai seorang anak. Dia cepat pemarah, suka berleter, bercakap sendirian, menyendiri, tak mahu berbual dengan orang ketika `angin songsangnya’ tiba.

“Kerana hairan dengan perubahannya yang mendadak yang tak pernah kami sekeluarga melihat sebelumnya, keluarga saya cuba bertanya dengan keluarga Arul. Abangnya datang. Ayah saya cuba bertanya apakah ada kalangna keluarga Arul terdahulu seperti bapa saudara, adik beradik, ataupun ayahnya berkelakuan seperti orang `tak betul’ seperti Arul?

“ Malangnya pertanyaan ayah diserang dengan maki hamun oleh abang Arul yang bukan sahaja menafikan keluarga mereka ada yang gila, malah dia menghentak meja kerana marah. Ayah kami bukan menghina, cuma nak tahu apakah ada kalangan ahli keluarga yang berpenyakit seperti Arul. Jika ada bolehlah kami mendapatkan rawatan, niat ayah supaya Arul boleh dirawat dan segera sembuh. Atau m,ungkinkah Arul ada saka.

“Malangnya soalan atau pertanyaan ayah dengan tujuan baik itu telah memutuskan hubungan keluarga kami dengan keluarga Arul, mereka terus tidak mahu berhubung dengan kami lagi. Apatah lagi datang bertanyakan khabar Arul.

“Kerana bimbangkan keselamatan kami, Arul kami bawa ke hospital untuk dapatkan rawatan, dan dia diberikan ubat penenang oleh doktor, Alhamdulillah, setelah mendapat rawatan dan makan ubat, keadaan Arul banyak berubah. Cuma sesekali dia naik angin, dan saya belajar mengatasinya dengan berdiam diri dan pujuk dia makan ubat.

“Apabila anak bertambah dua, hidup memang susah, saya terpaksa jaga anak dan rawat Arul, kerana anak masih kecil saya terpaksa berhenti kerja. Hidup memang susah ketika itu, kerana Arul tak bekerja. Tak kerja bermakna tak berasaplah dapur kami. Namun saya bersyukur  emak ayah saya sentiasa membantu. Dan saya berusaha berniaga dari rumah. Hasilnya walaupun sedikit, tetapi duit tak pernah putus, dan saya boleh beli susu anak.

“Dengan pertolongan kawan sekolah, saya berjaya dapatkan pekerjaan untuk Arul setelah dia sembuh. Walaupun kawan saya tahu penyakit Arul, tetapi mereka sedia membantu. Dan ubat penenang banyak membantu Arul. Dan Arul memang seorang pekerja yang rajin, kalau bekerja dia tak akan berhenti sekali tak siap. Dari situ Arul banyak membina kemajuan diri.

“Tetapi masalahnya dia terpaksa bekerja dari sebuah negeri ke sebuah negeri mengikut kontrek projek. Untuk pastikan Arul boleh bekerja dengan baik, saya terpaksa ikut dia berpindah. Sebab saya tak mahu dia lupa makan ubat yang boleh merosakkan fikirannya dan masa depan kami anak beranak. Saya juga pujuk Arul supaya solat, tetapi dia membantah. Dia akan marah bila saya suruh solat. Katanya itu urusannya.

“Tetapi bila gaji mula bertambah seperti lelaki normal lain dia mula terikut-ikut suka duduk kelab. Bila keadaan sudah tidak dapat dikawal. Dan Arul mula menolak makan ubat kerana katanya dia tak sakit. Tetapi saya pulak yang sakit dengan perangainya. Bila dia naik angin, perkataan cerai, talak sentiasa bermain di bibirnya. Dia tak boleh dikawal lagi. Untuk menenangkan keadaan saya terpaksa diamkan diri, kerana saya sedar dia bukan dirinya lagi, dia sudah hilang pertimbangan, kerana tidak makan ubat.

“Kerana fikirkan dia sakit, saya tetap bersamanya, walaupun sentiasa di maki hamun. Tetapi yang menyakitkan hati, ketika banyak duit dia tidak mahu beri saya duit untuk makan minum. Sebaliknya menghalau saya keluar rumah boleh dikatakan setiap hari. Tetapi bila dia normal, setelah saya perdayakan dia dengan ubat, dia bertukar peal. Kerana itu tak hairanlah dalam keadaan susah pun anak saya bertambah jadi 5 orang.

“Namun saya pernah mengadu kepada Khadi (sebelum ada mahkamah syariah) tentang keadaan diri saya, jawapan mereka mudah, suami berada dalam keadaan tidak normal. Jadi jangan ambil kira pasal cerai dan talak yang Arul lepaskan kepada saya.

“Apa yang sangat merunsingkan bila tak berduit, Arul suruh saya pinjam duit. Selalunya, emak ayahlah tempat saya minta bantuan, tetapi Arul tak sukakan mereka. Sebab ketika  ada duit Arul sangat sombong. `Arul lupa bahawa langit tidak selalu cerah’,  Arul sering tak berduit kerana suka ke kelab di situ dia jumpa ramai wanita penghibur, kerana dia suka enjoy.

“ Sebenarnya bukan emak ayah sahaja tempat saya meminjam, malah saya pernah pinjam pada adik beradi, kawan-kawan dan saudara maranya. Arul tak pernah beringat ketika ada duit,  dia habiskan ke kelab. Satu lagi perangai buruknya dia langsung tak mahu bayar hutang. Kalau saya minta pasti maki hamun yang saya dapat.

“Bila anak bertambah ramai, usia semakin meningmkat, saya mula terfikir sampai bila saya mesti jadi peminta sedekah. Saya terfikir Arul bukan tempat saya dan anak-anak bergantung.  Saya terpaksa cari kerja, Dengan sedikit kemahiran yang ada saya dapat kerja. Walaupun gajinya kecil, yang penting anak-anak boleh makan dan boleh pergi sekolah.

“Saya berterus terang pada Arul, saya tak boleh ikut dia lagi. Terpulang kepada dia kalau dia mahu sihat dan bekerja dia mesti makan ubat. Saya tak mahu paksa lagi. Sebab lagi disuruh makan ubat saya jadi musuh utamanya. Saya serangkan kepadi ada berfikir. Kalau mahu beri duit untik anak makan saya terima jika tidak terpulang. Kerana dia memang tak makan nasihat.

“Agaknya kerana berjauhan, dia terpaksa bekerja dia boleh jaga diri sendiri, cuma sekali sekala terlepas. Kerana itu tidak hairanlah beberapa kali Arul diberhentikan kerja kerana perangainya yang `tidak sihat’ namun dia terpaksa juga bekerja  untuk meneruskan hidup.

“Satu lagi perangai buruk Arul, bila ada duit ada kerja dia jadi lupa diri, tak mahu beri nafkah anak-anak, apa lagi bayar hutang orang yang saya pernah pinjam untuk bantu dia. Saya rasa dia terlalu banyak menyusahkan hidup saya. Paling merunsingkan apabila dia sering ceraikan saya walaupun dia dalam keadaan sihat. Puncanya bila saya minta duit untuk buat belanja makan minum dan sekolah anak-anak. Pada dia kami menyusahkan hidupnya.

“Akhirnya saya saya dapat tahu Arul sudah berkahwin lagi, Syukur Alhamdulillah, kerana ada wanita lain yang boleh membantunya. Kata Arul saya tidak berguna lagi. Jadi inilah masa yang sesuai untuk saya minta cerai. Sebab ada orang lain boleh merawat dia. Tetapi bukanlah senang minta cerai, kerana dia tak mahu ceraikan saya.

“Namun saya sabar, Setelah 5 tahun diitnggalkan, akhirnya  cerai saya disempurnakan. Saya bersyukur ketika itu pekerjaan saya sudah kukuh, saya boleh tanggung anak-anak dan boleh beri mereka pelajaran. Malangnya walaupun sudah bercerai Arul akan datang menyerang saya kalau anak-anak minta duit.

“Dari pengalaman saya berkahwin dengan orang yang berpenyakit seperti Arul banyak menguji kesabaran kita. Dan saya rasa bukan saya seorang sahaja yang menghadapi masalah supaya ini. Mungkin ada wanita lain yang senasib saya. Tetapi mungkin mereka bernasib baik, kerana suaminya tidak aggerisif, mahu dengar nasihat dan yang paling utama suaminya mahu solat. Dengan solat boleh mendidik orang seperti Arul erti kesabaran.

“Kini walaupun kami sudah bercerai dan saya sudah pun berkahwin, tetapi ada ketikanya, Arul akan datang ke rumah dalam keadaan marah, dan dia akan paksa anak-anak mengikutnya, Walaupun saya mendapat perintah hadanah, tetapi Arul tidak peduli, dia akan ambil anak pada hari dan waktu yang dia suka. Melarang akan membawa padah kepada saya. Yang kesiannya anak-anak terpaksa ikut walaupun tidak suka.

“Di sini saya ingin menasihat gadis-gadis, kalau nak berkahwin, teliti dahulu latar belakang bakal suami anda dan keluarganya supaya anda tidak jadi mangsa seperti saya. Namun ada juga yang boleh di kawal dan mendengar nasihat, maka dia akan menjadi suami yang baik kepada anda. Kepada ibu bapa yang mendapat anak seperti Arul, didik dia dengan didikan agama dan rajin solat. Solat boleh mengubah dirinya jadi insan yang lebih baik. ’’ Itu cerita Dasimah panjang lebar tentang masalahnya.