Antara Jadi Hamba Allah atau Hamba Orang

DCCK  5 NOVEMBER 2017

“APA yang ingin saya ceritakan ini bukan kerana saya cemburu, keciwa ataupun sakit hati pada adik saya, tetapi saya cuba mengingatkan dia supaya belajar jaga diri, tahu hargai diri dan lebih penting tahu menilai keupayaan diri supaya tidak diperbodohkan atau diperhambakan orang. Sebab bila terlalu bodohkan diri sudah terlambat untuk berpatah balik. Kerana kalau tersilap teknik boleh menghancurkan diri.

“Tetapi adik saya tak peduli, katanya sementara  ada orang sukakan dia apa salahnya dia kahwin. Kalau tak mampu, kita mesti bantu. Demi masa depan rumahtangga kita juga, ‘’ itu cerita Intan Hasyira Tanya pasal KSIT dan ketika kami berbual baru-baru ini.

“Saya nasihatkan adik jangan bantu teman lelakinya jika duit hantaran tak cukup. Biar dia usaha sendiri sampai cukup baru masuk meminang, tujuan saya supaya si lelaki itu ada sifat bertanggungjawab kerana berkahwin pada saya bukan mudah, kalau dari awal tak ada sifat mahu bertanggungjawab maka sudah tentu si suami akan ambil kesempatan atas isterinya supaya sentiasa dibantu setiap kali dia tak ada duit. Dan suami ini pasti tidak akan mahu berusaha atasi masalahnya, sebab dia tahu ada isteri akan bantu dia. Itu tujuan saya.

“Tetapi nasihat saya disalah ertikan oleh keluarga. Sedara mara  kata saya nak halang adik kahwin, sebab saya tak kahwin lagi. Mak pulak kata dia tak mahu simpan 2 orang andartu. Malu. Adik pulak kata saya marah dia nak kahwin sebab malu kena `langkah bendul’. Lagi sakait hati bila adik kata akan bagi saya cincin berlian selain hadiah sepersalinan dari bakal tunangnya.

“Dari awal saya dah kata, saya tak dengki, kalau dia ada jodoh kahwinlah. Saya tak kisah kalau kena langkah bendul pun, sebab 2 adik lelaki bawah saya pun dah kahwin saya tak marah dan saya tak kisah pun. Saya tak malupun kalaupun ada orang kata saya anak dara tua.

“ Saya dah cakap pada adik saya tak mahu hadiah sepersalinan kerana  itu adat, saya tak kisah siapa nak kahwin dulu, kahwinlah. Tetapi hati-hati dan jangan bodohkan diri sebab saya tak mahu adik menyesal kemudian hari.

“Saya tahu dan saya boleh pastikan, kalau teman lelakinya tak mampu bagi duit hantaran RM12K maka adik akan pinjam bank untuk top-up duit hantaran. Bayangkan? Memang mereka sudah 6 tahun berkawan, tapi baru 3 tahun bekerja. Mereka masih muda lagi. Kerana itu si lelaki mesti berjimat cermat atau buat dua kerja untuk kumpul duit.

“Adik tak setuju hantran RM12k, dia pujuk emak turunkan hantaran RM5K sahaja, tetapi emak tak setuju. Emak tetap mahu RM12K kata emak bukan tinggi sangat. Sebab emak kata adik bekerja. Nanti bila dah kahwin lelaki itu juga yang senang hidupnya, sebab dapat  isteri bekerja yang akan sentiasa bantu suaminya setiap ketika.

“Kata emak orang yang susah payah besarkan anak, sekolahkan dan beri makan pakai adalah ibu bapa. Tetapi bila si anak perempuan itu dah kahwin dia tak dapat bantu emaknya lagi, sebab si suami tegah dan kata, anak perempuan tak perlu bantu ibu bapa lagi.  Inilah yang biasa berlaku. Saya setuju. Tetapi adik desak supaya turun RM5K saja, jika tidak adik terpaksa pinjam bank top-up hantaran supaya jadi RM12K. emak terdiam.

“Kerana tak mahu adik meminjam, emak terpaksa terima RM5K sahaja, walaupun depan majlis diumumkan hantaan tetap RM12K. Supaya emak tak malu dengan hantaran serendah itu.

 

“Saya tak setuju adik meminjam sebab saya tak mahu jadi seperti kawan baik yang juga sepupu saya Aini. Masa Aini nak kahwin dulu pun dia terpaksa pinjam bank untuk top-up hantaran. Bila dah kahwin tentulah kena bayar hutang. Suami pulak jenis ego, tak mahu tolong bayar hutang bank. Dia salahkah emak Aini mahukan hantaran tinggi, jadi Ainilah kena tanggung bukan dia. Katanya kalau terima RM5K dulu tentu tak payah pinjam bank. Dia lepas tangan.

“Selepas 3 tahun setelah dapat seorang anak baru pinjaman selesai. Kerana pinjaman punya pasal hasrat Aini nak beli kereta sendiri tak kesampaian. Namun akhirnya Aini dapat juga beli kereta sebab masalah tempat kerja jauh dan susah nak hantar anak kepada pengasuh.

“Masalah beli kereta pulak jadi isu besar, sebab suamiya suruh Aini bantu dia beli kereta baru. Tapi Aini nak beli kereta sendiri. Jadi kerana hasrat tak sampai dia buat hidup Aini serba salah dan serba tak kena walaupun selepas dapat 2 anak. Mereka sering seliseh faham, tak ada kedamaian,  sebab suami Aini ego dan sentiasa tuduh Aini engkar pada suami.

“Apa yang Aini tak tahan suaminya suka sangat pinjam duit dia, kalau tak dapat dia sanggup buka dompet Aini cari duit. Malah Aini pernah dihalau keluar rumah sebab tak bagi duit. Saya tahu sangat masalah mereka, sebab hanya saya Aini percaya untuk bercerita. Saya nasihatkan Aini jangan bagi suami pinjam duit, kalau sekali dah mulakan, maka dia akan minta selalu. Tetapi biasalah bila tak dapat duit suaminya mengamuk paling menyakitkan hati dia tuduh Aini isteri durhaka sebab marah Aini rapat dengan emaknya.

“Suami Aini memang tak bertanggungjawab, semua urusan rumah, makan minum dia serah pada Aini. Sewa rumah dan bil letrik pun dia lepas tangan. Dia cuma bayar ansuran keretanya sendiri selain beli petrol pakaian dan makan minumnya di pejabat .

“Kata Aini dia tak sangka suaminya boleh lepas tangan, sedangkan sebelum kahwin dia sanggup buat apa sahaja untuk Aini. Kerana tak tahan dengan perangai suaminya, mereka sering bertengkar berakhir suaminya halau Aini keluar rumah. Suaminya marah jika Aini beri duit pada emak ayahnya. Katanya, perempuan bila dah kahwin kena dengar cakap suami, tak boleh ikut cakap mak bapak lagi, apa lagi nak tanggung makan minum mereka.

“Aini menangis bila ceritakan masalahnya. Kerana dia rasa sedih bila suaminya sekat hasratnya hendak beri emak ayahnya duit setiap bulan, sebagai membalas jasa mereka semasa mereka masih hidup lagi. Katanya kalau dia bagi pun bukan lama sebab mereka dah tua.

“Benar emak ayah tanggung anak dari kecil sampai besar itu tanggungjawab mereka. Tetapi apa balasan anak-anak kepada emak ayah? Kata Aini suami tak izinkan Aini bagi duit pada emak ayahnya.  Bila dah kahwin gaji isteri untuk suami dan anak-anak. Sedangkan suami sendiri tak beri anak isteri makan pakai. Suruh isteri tanggung. Ini yang buat Aini sedih dan keciwa.’’

“Apabila saya sendiri fikirkan berapa sangat hantaran RM10K sedangkan si isteri jadi hamba suami sampai mati. Selain dari sediakan makan minumnya dan melayan nafsunya. Disamping itu isteri juga disuruh bantu suami apabila mereka hendak beli rumah, perabut, kereta, perbelanjaan besarkan anak-anak dan sebagainya. Suami tak buat sendiri, sebab dia tahu isterinya boleh bantu sebab bekerja dan ketika itu suami akan kata harta isteri adalah milik bersama.

“Pada pandangan saya sementara emak ayah masih hidup izinkan anak berbakti balas jasa ibu bapa yang besarkan dia sehingga dia dewasa, berpelajaran, bekerja dan berhasil, bukan untuk selamanya, hanya sementara orang tuanya masih hidup. Sedangkan si isteri ini akan berbakti kepada suaminya mungkin selama 40 atau 50 tahun akan datang selagi ada jodoh mereka dan selagi ada hayatnya.

“Memang betul  bukan tugas wanita tanggung ibu bapanya. Tetapi sebagai anak salahkah  anak membalas budi orang tuanya? Jangan bandingkan hidup wanita sekarang dengan wanita zaman dahulu, wanita dulu tak bekerja, memang dia tak dapat bantu ibu bapanya, selain ucapan terima kasih kerana besarkan mereka dan mencarikan suami untuknya. Berbanding wanita sekarang, mereka bekerja sama-sama mencari rezeki malah lebih banyak bantu suami uruskan keluarga. Ini yang buat saya tak faham perangai suami Aini, sudahlah duit gaji Aini dia minta, tetapi tugas hakiki dia beri makan pakai anak isteri dia abaikan.

“Kata Aini kini dia lebih menderita kakitangannya terikat sukar hendak tinggalkan suaminya apa lagi minta cerai. Sebab suaminya suruh dia buat pinjaman peribadi untuk bantu buat tambahan rumah emaknya di kampung yang memakan belanja RM30K.

“Saya terkejut bila Aini beritahu, tapi kata Aini dia dipaksa buat pinjaman tersebut kerana suaminya sentiasa mendakwa dia membazirkan duit bantu orang lain. Jadi daripada orang lain senang, lebih baik bantu dia. Tujuannya bila duit semakin kurang maka Aini tak dapat bantu emaknya sendiri. Saya sedar emak Aini yang juga ibu saudara saya bukan orang senang, biasanya dengan bantuan Ainilah dia dapat hidup selesa.

“Melihat masalah Aini inilah membuat saya nasihatkan adik supaya jangan beri pinjam pada bakal tunang, sebab saya tak mahu dia mengalami masalah yang sama setelah berkahwin nanti. Tetapi adik degil dia tetap dengan kehendaknya.

“Sebenarnya saya ingin beri contoh masalah Aini supaya adik sedar kesilapannya, tetapi saya tak boleh buka rahsia Aini. Itu janji saya pada Aini. Bukan saya tak mahu kahwin, tetapi bila memikirkan masalah yang Aini lalui membuat hati saya tak teringin hendak berkahwin. Saya lebih rela belanjakan duit gaji saya kepada emak ayah saya daripada senangkan orang lain. Saya tak rela. Kalau saya tak kahwin ke? tak ada anak ke? pada saya itu tak jadi masalah, asalkan saya boleh senangkan hidup emak ayah saya.

“Saya mahu berjasa kepada emak dan ayah selagi mereka masih hidup, selepas ketiadaan mereka nanti saya tidak akan menyesal. Dan mungkin dengan sedikit duit yang ada saya boleh terhibur dan mencari keredaan Allah. Pada saya ini adalah pilihan saya dan saya sentiasa berdoa Allah akan kabulkan niat suci saya itu.’’ Itu cerita Intan Hasyira mengapa dia lebih suka berbakti kepada emak ayahnya daripada berkahwin.