Bercerai Bukan Bermakna Hari Nak Kiamat

DCCK  28  MEI  2017

 

“BEBERAPA minggu lalu saya terbaca tentang kisah dua orang isteri mengeloh konon suaminya digoda wanita terutama gadis-gadis yang tergila-gilakan suaminya. Maka mengamuklah dia tuduh gadis kini suka goda suami orang, konon nak hidup senang.

“Saya tak menafikan dakwaan itu, memang  ada kebenarannya, tetapi bilangan  gadis yang berjaya menggoda suami orang tidak seramai suami orang yang memang kerjanya suka menggoda gadis, tak kiralah si mangsa itu gadis, andartu mahupun isteri orang.

“ Tak percaya cuba lihat sekeliling anda. Berapa ramai gadis gilakan suami orang berbanding gatalnya suami kita yang hobiya suka kejar gadis dan wanita? Mulanya sengaja main-main nak tunjuk sapa lebih power, siapa punya saham lebih tinggi, akhirnya bila terjerat mereka tak boleh lepaskan diri dan terpaksa kahwin.  Itu pandangan Siti Zuraine dalam emel pendeknya dan ketika kami berbual di telefon.

“Saya tak cakap pasal suami orang lain, tapi suami saya sendiri Kime. Kerjanya boleh dikatakan hampir setiap malam keluar minum dengan kawan-kawan. Mula-mula dulu konon nak pergi jim nak buat senaman, lepas tu tukar pulak main bowling. Tetapi tak lama sebab tak ramai member nak main kerana perlukan duit banyak. Bukan semua orang mampu. Alih-alih tukar lagi suka main badminton, konon tak banyak belanja.

“Saya tak boleh larang dia suka bersukan, tetapi agak-agaklah kalau setiap malam keluar masa bila nak bermain dan bermesra dengan anak-anak. Yang kecil nak bermanja, yang bersekolah nak minta tunjuk ajar pelajaran dan bantu ulang kaji. Saya tak larat buat semua. Dia tuduh saya tak pandai mengurus masa, malas dan banyak alasan. Sedangkan dia larikan diri dari anak-anak, dan tak mahu bantu saya kerja di rumah.

“Kita sama-sama bekerja, sama penat, balik dekat maghrib, nak ambil anak lagi, lepas tu nak siapkan makan anak-anak. Masa kita penuh terisi, memang penat, sedangkan dia balik naik motor tak ada trafik jam. Tetapi sampai rumah lebih lewat daripada saya. Alasannya banyak kerja. Habis dia sorang ke bekerja. Saya juga suri rumah yang berkerjaya. Jadi tolonglah bantu, kita sama-sama cari rezeki untuk diri dan keluarga. Apa salahnya tolong menolong.

“Masa ada seorang anak memanglah dia ada bantu, tetapi masuk tiga anak dia mula malas, mula sibuk tak mahu bantu saya kerja di rumah. Kalau suami orang lain maghrib dah balik rumah, Lan belum tentu sampai rumah lagi. Sampai rumah nak makan, sedangkan saya belum sempat jengok ke dapur sibuk dengan anak-anak, yang nak makan, nak tidur dan nak membaca.

“Memang mereka baru sekolah rendah, ketika inilah kita mesti bantu dia supaya rajin belajar, supaya sifat rajin belajar sentiasa tertanam dalam dirinya, kalau dari mula dia malas, sampai bila-bila pun dia akan malas belajar. Tetapi alasan Kime, bebudak tak perlu disumbat dengan pelajaran, taulah dia bila besar nanti. Bila saya jawab “melentur buluh biar dari rebung,’’ Kime tuduh saya sindir  dia konon saya kata dia pergi mengenyam dengan perempuan. Saya tak kata pun dia ada perempuan lain, tetapi dia pulak terasa disindir.

“Cerita miang buluh ni rupanya berpanjangan. Saya langsung tak terfikir bahawa Kime memang ada minat dengan gadis sama bangunan tempat kerjanya. Sejak cerita buluh dan rebung ini, perangai Kime memang berubah sangat, pantang saya minta tolong dia jagakan anak kecil kami sementara saya memasukkan pakaian untuk dicuci ke dalam mesin cuci. Dia boleh kata jaga anak kerja orang perempuan. Kalau tak pandai jaga anak, berhenti jadi perempuan. Kalau penat bekerja, berhenti kerja, duduk rumah jaga anak, dia boleh bagi kami makan.

“Amboi sedapnya cakap! sedangkan selama ini saya bantu dia pun kami masih selalu kurang dan kesempitan duit, apatah lagi kalau saya berhenti kerja, dia memang tak mampu dengan cara hidup dia sekarang. Buang duit untuk jim dan main badminton. Apakah dia boleh berhentikan hobi kegemarannya itu jika saya berhenti kerja? Mampukah dia tanggung makan minum kami anak beranak, susu, lampin pakai buang, van sekolah dan macam-macam lagi.

“Selama ini semua benda itu saya yang uruskan, dia tak pernah keluar duit pun. Betul kalau saya tak bekerja tak perlu bayar pengasuh anak. Tapi macam mana dengan duit sewa rumah dan bil utility? Kita bukan duduk di kampung, tapi di bandar, itu tak masuk belanja pasar dengan harga barang makan yang mahal, saya rasa Kime memang tak tahu buat budjet keluarga, cakap pakai sedap mulut sahaja.

“Saya cukup hairan kenapa sejak cerita buluh dan rebung ini perangai Kime benar-benar berubah. Bengisnya menjadi-jadi bila anak menangis. Kadang kala dia boleh tinggalkan nasi bila dengar anak menangis waktu dia sedang makan, alasannya saya tak pandai jaga anak.

“Sebagai isteri saya dapat rasakan perubahan Kime yang ketara sejak 8 tahun kami berkahwin, selama ini saya kurang perhatikan perangainya, kerana terlalu sibuk dengan anak-anak dan saya banyak bersabar dengan kerenaknya yang suka mencari hiburan sendiri di luar rumah dengan kawan-kawannya. Fikir saya daripada dia ada teman wanita, biarlah dia gembira dengan kawan lelakinya. Tetapi anggapan saya salah. Dia ambil kesempatan daripada kealpaan saya.

“Kelainan Kime membuat saya membuat siasatan senyap-senyap. Saya tengok telefonnya tak ada massage yang buat saya curiga, kecuali kawan lelakinya ajak keluar minum atau beritahu badminton terpaksa dibatalkan. Tak ada yang mencurigakan. Pakaian semua ok. Saya kembali tenang mungkin saya curiga membabi buta. Berbulan saya perhatikan perubahannya tetapi gagal.

“Namun sepandai-pandai tupai melompak akhirnya jatuh juga ke tanah. Rupanya dia bercinta dengan adik sepupu kawannya yang sama satu bangunan tempat mereka bekerja. Rahsianya terbongkar bila kawannya mendesak Kime putuskan hubungan kerana budak perempuan itu dah bertunang. Kerana gagal kawan Kime pecahkan rahsia pada saya, katanya jangan salahkan dia jika Kime kahwin lari ke sempadan. Menggigil lutut saya, angin tidak, hujan pun tidak tetiba Kime nak kahwin lagi. Isteri mana tak terkejut beruk.

“Saya desak Kime ceritakan apa sudah terjadi, mulanya dia mengamuk, tetapi setelah saya ceritakan kawannya yang beritahu, dia diam. Seminggu tak tak bercakap, ditegur pun dia buat pekak. Satu hari Kime tak balik rumah. Saya tunggu jam 10 pun tak sampai, biasanya dia balik lebih kurang jam 8, sejam kemudian dia keluar lagi. Tapi hari itu hingga jam 11 malam tak balik saya telefon kawannya, bertanyakan apakah dia tahu ke mana Kime pergi.

“Terus terang kawannya beritahu, kalau 3 hari tak balik, itu tandanya Kime pergi nikah ke sempadan. Terkejut saya. Sejam kemudian kawannya telefon lagi, dan mengesahkan sepupunya pun tak balik rumah, maknanya confirm mereka nikah di sempadan.

“Saya buntu tak tahu apa harus saya buat selain menangis dan menangis. Akhirnya saya telefon emak ceritakan apa terjadi. Nasihat emak mudah, semuanya terpulang kepada saya. Kata emak jika benar Kime sudah nikah, kita tak boleh paksa mereka bercerai. Kini terpulanglah kepada saya sama ada saya sanggup bermadu atau jadi ibu tunggal. Lagi tambah buntu fikiran saya.

“Benar 4 hari kemudian Kime balik. Tiba di rumah dia mendiamkan diri. Saya tak tegur, kerana saya tahu dia sudah nikah, kini terpulang kepada saya buat keputusan. Sanggupkah saya bermadu atau bercerai jadi ibu tunggal dengan 3 orang anak? 4 hari saya berfikir, kini saya tunggu jawapan Kime, tindakan saya mengikut apa yang dikatakannya. Bila saya tanya benarkah dia dah nikah. Kime mengaku, tapi dia takkan ceraikan saya, kerana sayangkan saya dan anak-anak.

“Kime berjanji akan beri saya nafkah secukupnya dan akan berlaku adil. Oleh kerana Kime buat keputusan tanpa pengetahuan atau berbincang dengan saya, maka saya terpaksa buat keputusan mengikut kata hati saya, oleh kerana selama ini pun saya banyak bantu dia uruskan rumahtangga. Keana saya rasa Kime memang tak mampu beri anak beranak nafkah secukupnya. Jadi daripada bertengkar pasal nafkah dan keadilan, lebih baik kita berpisah dengan baik.

“Saya buat keputusan ini ketika Lan sedang seronok berbulan madu maklum baru kahwin, jadi tentu dia tidak ada masalah ceraikan saya. Seminggu lamanya Kime membisu, saya tetap sabar menunggu. Saya pujuk Kime dia tak perlu susah hati dengan gangguan keluarga perempuan yang membenci dan marahi dia kerana larikan anak gadis mereka. Bila Kime ceraikan saya tentu keluarga isterinya senang hati. Kerana mereka suka anaknya tak bermadu.

“Jadi untuk tenangkan keadaan saya pujuk Kime ceraikan saya sementara beberapa bulan, kemudian bila semuanya sudah tenang, dan hubungan dengan keluarga isteri barunya baik, mungkin kami boleh nikah semula. Mulanya memang Kime bantah, tetapi selepas beberapa hari dia tenang dan setuju dengan idea saya supaya kami bercerai sementara. Maklum dapat isteri baru, tentu sayangnya lebih.

“Kami bercerai dengan baik. Kini sudah setahun kami bercerai. Kime pujuk  saya nak nikah semula demi anak-anak, tetapi saya tolak.  Dalam hati saya berkata takkan saya nak terjun ke dalam lubang gelap dua kali, cukuplah sekali. Kini saya rasa lebih aman jadi ibu tunggal. Hati lebih tenang, saya tak perlu setiap hari terkejar-kejar memasak untuk hidangkan suami. Sekarang kalau saya suka masak saya masak, jika tidak cukup dengan beli lauk di gerai.

“Dan saya ada banyak masa untuk anak-anak. Lebih aman emak ayah saya boleh datang dan tidur di rumah saya bila-bila suka. Tak perlu fikirkan disukai menantu atau tidak. Jadi kepada kaum wanita, jika suami anda ingin kahwin lagi, biarkan, mungkin banyak kebaikannya kepada anda nantii. Jadi ibu tunggal bukan bermakna dunia nak `kiamat’. Mungkin syurga menunggu anda.’’ Itu cerita Siti Zuraine tentang masalah rumahtangganya bila suami kahwin ke sempadan. Bekas suaminya dari luar nampak baik, tapi memang banyak `miang rebung.’