Bila Suami Kahwin Lagi, Budi Isteri Ditolak TePI

DCCK 10 SEPT  2017   GAMBAR ADALAH HIASAN SEMATA–MATA

KESILAPAN sering dilakukan oleh kaum wanita khsusnya gadis-gadis apabila dia jatuh cinta dan sayang kepada seseorang lelaki, apa lagi suami, dia akan berkorban segala-galanya demi cinta dan kasihnya kepada lelaki tersebut. Tetapi sayangnya, bukan semua lelaki yang dikasihinya itu dapat membalas cinta dan pengorbanan yang dilakukannya.

Lebih malang lagi ramai isteri sering terlupa bahawa jodohnya adalah ketentuan Allah dan talak adalah di tangan lelaki. Walau cinta anda setinggi gunung dan perngorbanan anda seluas lautan, apabila hati suami telah berubah, maka cinta anda akan dilupakan dalam sekelip mata.

“Malangnya inilah kesilapan besar wanita bergelar isteri, termasuk saya. Saya tak pernah terfikir suami saya akan berubah hati, sebab sejak 15 tahun kami berkahwin dia amat sayangkan anak-anak, dan dia berjanji akan menjaga saya hingga ke akhirnya hayat salah seorang dari kami berdua. Malah dia bersyukur berkahwin dengan saya yang mengenalkan dia dengan Islam. Tetapi tak sampai 16 tahun dia telah berrubah hati dan menceraikan saya.’’ Demikian cerita Azureen ketika kami bertemu baru-baru ini.

“Pada awalnya saya tidak sedari perubahan Zairil. Kalau dulu dia suka balik kampung saya, tetiba sahaja dia suruh saya balik kampung dengan anak-anak kerana dia penat dan perlu rehat di rumah. Kalau saya enggan balik tanpanya, dia paksa saya balik, sebab tak mahu hampakan hati anak-anak yang suka balik kampung.

“Rupa-rupanya tanpa saya di sisinya dia ada perancangan buat hubungan dengan wanita lain, bermain telefon, wassup dan bermacam-macam lagi. Saya tak sedar perubahan ini hinggalah keadaan rumahtangga kami tidak tenteram lagi apabila Zairil lebih suka menyendiri di dalam bilik daripada bermain atau menonton tv dengan anak-anak.

“Kehadiran Zairil dalam hidup saya pada awalnya secara kebetulan melalui seorang teman. Hati saya langsung tak terbuka mengenalinya apalagi mencintainya, atas beberapa sebab, pertama kerana dia bukan Islam, kedua gaya cakapnya dalam bahasa Melayu terasa sukar difaham dan agak kasar. Jadi perkenalan itu terbantut di situ sahaja.

“Tetapi 2 minggu kemudian dia mula menghubungi saya, terkejut juga, berani dia telefon saya sedangkan dari awal dahulu dia sukar untuk bercakap. Perbulanannya kadang kala jadi bahan ketawa saya. Tetapi dia berusaha bercakap dan dia mahu saya faham. Dia rajin bertanya dan berbual walaupun ada perkataannya agak kasar sikit. Sebab kalau kita berbual, kita jarang guna perkataan `aku’. Tetapi itulah yang dia sering gunakan.

“Bagaimana pun saya tetap melayan perbualannya, sedikit demi sedikit perkataannya mula berubah dari `aku’ kepada `saya`, dari kasar kepada nada agak lembut sikit. Dari perbualan itulah saya dapat tahu dia anak yatim piatu dan dibesarkan oleh emak dan ayah angkatnya yang beragama Kristian bersama adiknya. Habis SPM dia memohon masuk dalam perkhidmatan keselamatan begitu juga adiknya beberapa tahun kemudian.

“Dari perkenalan itulah akhirnya dia melahirkan isi hatinya ingin melamar saya, tetapi dia sedar perbezaan agama kami jadi penghalang. Tetapi dia bersedia untuk memelok agama Islam, jika saya bersedia menerimanya. Terkejut saya, kesanggupannya memelok agama Islam. Bila berita itu saya sampaikan kepada emak dan ayah di kampung. Mereka suruh saya fikir beberapa kali, sebab amat sukar untuk membimbing dia untuk jadi seorang muslim.

“Benar kata emak bukan mudah mendididik Zairil, tetapi dia berjanji akan belajar mendalami Islam. Di pendekkan cerita akhirnya kami kahwin juga. Bukan saya melanggar kehendak emak, tetapi saya kagum dengan kesungguhannya untuk belajar agama Islam dan bersedia jadi seorang Muslim yang bertakwa. Dia sendiri memilih nama  Zairil yang saya rasa sesuai untuknya.

“Peringkat awal memang semuanya berjalan lancar. Walaupun ketika kami berkahwin Zairil tidak mempunyai apa-apa, kecuali dia seorang kakitangan awam. Ketika masuk ke rumah sewa saya dia cuma bawa bag pakaiannya sahaja, sebaliknya saya telah melengkapkan rumah sewa saya itu dengan segala peralatan rumah, sebab sebelumnya saya berkongsi sewa rumah dengan seorang kawan lain. Walaupun tak lengkap, tetapi mencukupi dengan peralatan memasak, set di ruang tamu, dan di bilik tidur.

“Namun janganlah anda fikirkan semua yang terbaik, sebaliknya mencukupi untuk kegunaan seorang gadis yang rajin ke dapur kerana memang hobi saya suka memasak, dan kebetulan rakan kongsi saya pun rajin ke dapur, jadi memang peralatan memasak di rumah saya mencukupi. Sebab rumah kami sering ramai didatangi tetamu. Kalau tidak dari keluarga saya,  emak dan ayah yang datang termasuk adik beradik bila cuti sekolah. Keluarga kawan saya juga kerap datang.  Kerana itu tak hairanlah peralatan rumah saya mencukupi.

“Masa berlalu begitu pantas lepas setahun saya mula melahirkan anak pertama dan dituruti dua orang lagi kemudiannya. Sepanjang perkahwinan saya, memang kami sering balik kampung saya, kerana Zairil sendiri tidak mahu pulang ke Sabah, kerana katanya dia tidak mempunyai sapa sapa di kampung, kerana adiknya sendiri datang dan bekerja di KL.

“Jadi Zairil suka balik kampung saya termasuklah anak-anak. Bagaimana pun setiap bulan dia hantar sedikit duit untuk emak angkatnya. Kerana katanya kalau tidak ada emak angkatnya yang mengambil dan membesarkan dia dua beradik, pasti dia sendiri tidak tahu apa akan terjadi pada dirinya. Mungkin dia jadi pengganggor yang tidak ada masa depan.

“Demikianlah aman bahagianya hidup kami, kalaupun ada selisih faham cuma perkara kecil yang boleh kami atasi kemudiannya. Tetapi ketika usia anak-anak semakin membesar, yang sulung mula masuk ke sekolah menengah rendah, dengan tidak di sangka-sangka tanpa ribut dan taufan sedikit demi sedikit cara hidup Zairil mula berubah, dia jadi malas balik ke kampung setiap kali anak-anak cuti sekolah, sebaliknya dia suka menyendiri di rumah. Kemudian berlaku lagi perubahan lebih besar dia mula suka balik ke Sabah.

“Kalau balik 3 atau 4 bulan sekali, pada saya itu tidak jadi masalah, tetapi kalau sebulan dua kali ini sudah tentu ada masalah lain. Bila saya tanya mengapa tiba-tiba dia suka balik ke kampung, katanya tidak ada siapa boleh larang dia balik kampung. Sebaliknya itulah tempat asal usulnya. Apa salahnya dia kembali ke tanah tumpah darahnya.

“Memang tak ada salahnya, dan saya tidak pernah sekat atau larang, tetapi kelainan itulah yang memuskilkan diri saya, bila saya tanya tidak ada jawapan yang saya terima sebalik saya akan ditengking dan dimarahi, konon saya menghalang kebebasannya! Lain sangat bunyinya.

“Kalau kampung tu dekat memang  tak jadi masalah, tetapi jauh, tambang kapalterbang sahaja tentu memakan belanja yang tinggi, kalau sebulan 2 kali lebih teruk lagi yang boleh mengganggu perbelanjaan harian keluarga, itu yang membuat saya bertanya.

“Kehairanan membuat saya jalankan siasatan. Berapa lama Zairil boleh berbohong dan sembunyikan perbuatannya daripada saya. Akhirnya saya dapat tahu dia sedang mabuk cinta dengan seorang wanita di sana.

“Selidik punya selidik saya dapat tahu wanita itu adalah bekas kekasihnya. Dulu Zairil amat mencintai wanita tersebut, tetapi disebabkan ketika itu dia belum bekerja dan hidup pun susah maka cintanya ditolak. Khabarnya wanita itu kahwin lain. Kini wanita itu sendirian di Sabah, saya tak pasti sama ada dia masih berkahwin atau bercerai, tetapi mereka kembali menjalin cinta. Itu yang membuat Zairil rajin pulang ke kampung dan dia mula melupakan tanggungjawabnya terhadap kami anak beranak.

“Apabila rahsia ini terbongkar, maka sudah tentulah saya bertanya pada Zairil untuk dapatkan jawapannya. Malangnya dia tetap nafikan, sebaliknya mendakwa dia balik kampung untuk melihat emak angkat dan keluarganya. Peliknya kenapa dulu tidak, malah mendakwa dia tidak ada saudara mara di kampung. Kini setelah anak-anak membesar dan memerlukan banyak perbelanjaan  hidup, dia pulak banyak gunakan duit untuk dirinya sendiri.

“Perubahan ini pasti membuat saya tidak puas hati akhirnya tentulah berlaku perbalahan dan pertelingkahan antara kami. Keadaan semakin merunsingkan saya sebab tidak lama lagi dia akan bersara dari perkhidmatan dan sudah pasti dia akan dapat banyak duit sagu hati daripada kerajaan, selain pencen setiap bulan. Sedang saya berusaha memujuknya supaya ingat kepada janjinya dahulu dan tanggungjawabnya kepada keluarga, saya diceraikan dengan sedikit pertelingkahan antara kami. Alasannya dia bosan dengan persoalan saya.

“Saya ingatkan Zairil duit yang bakal dia dapat nanti belum tentu dapat tampung hidupnya kalau dihabiskan dalam sekelip mata. Pencen tentu sedikit, tetapi katanya dia akan cari kerja lain untuk tampung hidupnya. Bagaimana dengan anak-anak yang jadi tanggungjawabnya, katanya, terserah kepada saya, dia tidak boleh beri banyak, sebab dia akan pencen dan tak cukup duit.

“Katanya oleh kerana saya bekerja, maka jadi tanggungjawab saya tanggung anak-anak. Di sini letaknya kelemahan lelaki dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai  ayah. Ramai lelaki tak tahu tanggungjawab mereka sebagai ayah menurut Islam. Di sinilah peranan ustad-ustad menasihati lelaki bergelar ayah. Jangan asyik salahkan wanita tak pandai layan suami. Ingatkan bahawa mereka akan dituntut hingga ke akhirat kelak. Peguam juga jangan asyik membela lelaki semata-mata kerana wang.’’ Itu cerita Azureen yang masih terkial-kial membuat tuntutan nafkah daripada bekas suaminya.

Masalah tuntutan nafkah akan terus jadi masalah besar kepada wanita selagi hakim tidak buat keputusan potong gaji suami sebaik sahaja perceraian sah dilafazkan. Sebab tuntutan nafkah akan memakan masa lebih 2 atau 3 tahun turun naik di mahkamah, jadi sementara waktu adakah wajarkah seorang ibu dibebankan dengan tanggungjawab menyara anak-anak? Apa tugas ayah, dan apa peranan hakim dalam mengatasi masalah ini?