Campur Tangan Mertua Runtuhkan Keluarga Kami

 

13 OGOS  2017  GAMBAR ADALAH HIASAN SEMATA-MATA

SUATU ketika dahulu kita sering mendengar salah satu sebab kehancuran rumahtangga adalah berpunca daripada campur tangan ibu bapa mertua dalam menentukan perjalanan hidup anak menantu mereka. Tetapi masalah itu hilang beberapa ketika setelah ramai anak-anak berusaha membentuk dan menentukan arah tuju keluarga mereka sendiri.

Tetapi sejak akhir akhir ini, kita dengar semula dakwaan anak-anak bahawa campur tangan ibu bapa  mertua mereka punca keluarga mereka hancur, sebab mertua suka dan cuba membentuk kehidupan anak-anaknya mengikut cita rasa mereka. Mereka mengajar pengalaman sendiri diguna pakai  dalam kehidupan anak anak. Dengan niat kehidupan anak anak mereka akan aman bahagia hingga ke jannah. Itu cerita Noratikah ketika membincangkan masalah yang dia hadapi hingga keluarganya porak peranda.

“Saya biasa dengar dan baca antara sebab kehancuran rumahtangga disebabkan oleh campur tangan orang ketiga, suami tidak setia, pentingkan diri sendiri, kedekut berkira mengeluarkan belanja  makan minum keluarga. Jarang sekali saya baca campur tangan ibu bapa mertua. Malangnya inilah yang berlaku kepada keluarga saya.

“Saya tak sangka perkahwinan kami yang cuma memakan masa tak sampai 5 tahun boleh hancur kerana suami terlalu ikut nasihat ibu bapanya menyebabkan saya rasa tidak selesa, tertekan, malu dan dihina di khalayak. Khusus di hadapan keluarga suami saya.

“Duduk di ibu kota bukan mudah terutama setelah ada anak-anak kecil untuk dihantar, diambil di rumah pengasuh,  selain terpaksa bekerja mengikut masa yang ditentukan, bila balik terkejar-kejar memasak,  mengemas rumah, memasak, mencuci pakaian, menyidai dan menggosok di samping menjaga 2 orang anak kecil.

“Pada saya ini satu tugas yang maha besar. Sebab selain uruskan rumahtangga dan memasak, saya terpaksa menjaga, beri makan dan menguruskan anak-anak. Suami pulak kurang membantu, kalau ada pun cuma buang sampah dan memerhatikan anak-anak sementara saya memasak. Sedangkan saya penat bekerja, bangun awal pagi untuk uruskan anak-anak sebelum hantar ke rumah pengasuh. Saya betul-betul penat , tak cukup tidur bila anak sering bangun waktu malam. Keletihan sering membuat saya tidak ada selera untuk makan, hinga tertidur.

“Sebelum subuh saya dah bangus cuci pakai, menjemur dan dalam masa yang sama siapkan anak-anak untuk dihantar ke rumah pengasuh. Kerana terlalu sibuk saya sering tak dapat siapkan sarapan untuk suami saya, Ezax . Di sinilah kesilapan saya bila mertua telefon Ezax bertanyakan mengapa tak sarapan di rumah. Kerana jika minum di pejabat Ezax akan membazir wang.

“Memang Ezax tak hantar laporan harian kepada ibunya, tetapi ibunya akan telefon paling kurang 2 kali sehari bertanyakan apa dia makan untuk sarapan dan makan malam. Bila Ezax kata dia tak sarapan, orang yang akan mertua saya terkam dan salahkan adalah saya kerana tidak jalankan tugas sewajarnya sebagai isteri.

“Saya tak boleh beri alasan letih kerana kata mertua saya dulu pun dia bekerja, kena jaga anak sejak kecil, tak ada pembantu, tetapi dia boleh siapkan semua kerja rumah dengan beres. Anak anak dan suami ada sarapan, makan tengah hari disiapkan untuk anak balik sekolah dan makan malam. Jadi kalau dia boleh buat mengapa saya tak boleh buat. Dia tak mahu dengar alasan saya letih apa lagi penat bekerja dan jaga anak.

“Mertua saya ajar saya siapkan sarapan, makan tengah hari dan malam untuk 5 hari dalam seminggu, kemudian masukkan dalam bekas dan bekukan dalam peti sejuk. Semua benda itu boleh dibuat pada hari Sabtu atau Ahad. Jadi bila balik taklah terkejar-kejar siapkan makanan untuk mereka. Saya tak mampu nak buat seperti dia buat, sebab dia bukan kerja di KL. Jam 5 petang dah sampai rumah, boleh siapkan semua kerja rumah.

“Berbanding saya jam 7 atau dekat 8 kalau hari hujan baru sampai rumah, lepas ambil anak di rumah pengasuh. Sampai rumah nak masak pulak. Suami tak bantu ambil anak-anak di rumah pengasuh.  Kadang kala lewat bila ada meting. Mertua tak suka saya beli makanan di luar, katanya membazir, tak sedap dan tak bersih.

“Kerana benda-benda kecil seperti inilah hubungan saya dan mertua renggang. Katanya saya malas masak, tak tahu kemas dan tak menyapu rumah. Rumah bersepah. Saya mengaku semua itu betul, tetapi nak buat macam mana anak-anak nak sukakan barang permainan mereka. Jadi dalam masa yang singkat balik dari rumah pengasuh sebelum tidur itulah masa mereka nak bermain di rumah. Habis kalau saya kawal semua tak beri mereka bermain, mereka ganggu saya di dapur, kerana saya perlu siapkan makan malam, menyapu dan sebagainya.

“Seperkara lagi perangai ibu bapa mertua dan adik beradik ipar saya mereka suka datang ke rumah bila bila masa mereka suka, sebab mereka ada kunci rumah. Ada kalanya sedang saya duduk berehat kepenatan sambil bermain dengan anak-anak itulah ketikanya mereka dating. Bila rumah berserabut tak berkemas Ezax pasti kena leter. Leterannya itu memang sengaja ditujukan kepada saya, tambah marah bila mereka lihat Ezax makan nasi bungkus atau lauk yang dibeli di pejabat. Katanya Ezax tak tahu jaga kesihatan.

“Biasa juga mereka datang ke rumah waktu kami bekerja, ketika itulah mereka akan periksa keadaan rumah saya, dia kata bersepah, tak tersusuh, tak menyapu dan tak mob. Kata mak Ezax rumah mesti disapu dan dimop setiap hari, sebab ada anak-anak kecil, takut mereka kena sakit lelah kalau rumah kotor, banyak lalat, semut. lipas ataupun tikus.

“Pendek kata setiap kali mereka datang ke rumah, saya boleh dapat sakit jiwa kalaupun bukan sakit jantung. Serba salah, pendek kata rumah saya tak pernah dikatakan bersih, sentiasa kotor, berabuk. Yang menghairankan saya mertua saya tak pernah nasihatkan Ezax bantu saya bersihkan rumah, kata Ezax kerja bersihkan rumah, mencuci pakaian, memasak dan menguruskan anak-anak itu kerja seorang isteri bukan suami. Habis, suami buat apa?

“Bila sering kena sindir, diperli, sebagai serang pengotor sakit juga hati, dan saya tak suka bandingkan saya dengan dirinya yang banyak masa uruskan rumah. Terlebih istimewa mertua saya suami isteri rajin bersihkan rumah. Mungkin pak mertua saya terpaksa ikut perintah isterinya. Sebab dia tak banyak cerita, dia ikut apa sahaja cakap isterinya.

“Kadang-kala bila di rumah saya pak mertua tolong masak, menyapu dan mop lantai. Peliknya suami saya Ezax tak pernah buat macam tu, dia cuma tahu bermain dengan anak-anak. Lepas makan dia tak pernah cuci pinggan makannya sendiri berbeza dengan bapaknya. Agaknya Ezax tidak diajar berkemas rumah seperti mak dia ajar ayahnya.

“Apa yang buat saya lebih sakit jiwa, mertua saya mahu saya ikut semua cakapnya, dari berkemas rumah, memasak, menjaga anak hinggakan kepada menamakan anak-anak saya. Bayangkan sebagai pasangan suami isteri sepatutnya kamilah yang meletakkan nama anak-anak kami, tetapi mertua saya tak suka, dia mahu namakan anak-anak kami, mengikut katanya nama itu baik untuk masa depan anak kami.

“Kalau dia cuma namakan anak sulung saya sahaja saya masih boleh bersabar lagi, tetapi anak kedua saya pun dia pastikan ikut nama pilihannya, jadi apa peranan saya sebagai ibu? Ezax tak ikut nama pilihan saya, sebaliknya ikut kehendak ibunya.

“Bukan itu sahaja,  beli rumah pun dia yang buat pilihan. Dia tentukan rumah jenis apa, di kawasan mana dan berapa harganya. Kalau dia bantu tambah duit muka ok juga, tetapi dia tak bantu sesep pun. Itu bab pilih rumah, bab menentukan perabut juga mertua juga yang buat keputusan. Kalau dia suka warna putih, saya tak boleh bantah. Ini sudah lebih.

“Bagaimana pun emak saya sentiasa nasihatkan saya supaya bersabar. Tetapi sampai bila. Adakah kerana saya ini bukan isteri pilihannya maka saya diseksa seperti ini, sebab mertua saya tak pernah campur tangan atau mengatur kehidupan adik ipar saya, anaknya yang kedua. Malah mertua saya jarang ke rumah mereka. Adakah kerana menantu pilihan dan satu negeri.

“Berbanding saya yang sentiasa ditunjuk diarah supaya buat semua mengikut kehendaknya. Kalau mertua saya terlupa, adik ipar perempuan saya pulak tolong peringatkan, mulalah mertua saya berleter. Boleh dikatakan setiap kali mereka datang saya boleh cepat dapat sakit jiwa.

“Akhirnya kerana tunjuk ajar dan titah perintah seperti inilah membuatkan saya sering `hangin’ dengan Ezax. Saya tak nafikan kami sering perang dingin. Akhirnya meletuslah gunung berapi yang selama ini `mendiamkan diri’. Bila sama sama tegang, akhirnya Ezax ceraikan saya. Walaupun awalnya saya menangis, kesal, dan sedih, tapi emak saya nasihatkan saya bersabar mungkin ada rahmatnya selepas ini.

“Kini setahun berlalu, permohonan saya dapatkan nafkah anak-anak masih belum berjalan sepenuhnya. Jumlah nafkah yang diberikan untuk 2 orang anak memang tak cukup. Bayangkan RM400 cukupke untuk kami duduk di KL ni? Upah pengasuh sahaja dah menjangkau RM600 sebulan. Belum masuk, susu, lampin pakai buang, pakaian dan kos perubatan. Bila saya minta tambah, Ezax ugut akan ambil anak suruh emaknya jaga.

“Di mahkamah hakim boleh cakap cukuplah jumlah tersebut sebab bekas suami sudah kahwin dan dah ada anak. Dia tak mampu. Bayangkan perasaan saya bila hakim cakap macam tu. Bukankah tanggungjawab beri makan minum anak-anak terpikul di bahu suami? Ezax boleh cakap, oleh kerana anak kami bersama, maka saya pun mesti bertanggungjawab kepada anak-anak. Ezax memang tak tahu hukum.

“Namun saya tak salahkan suami sahaja, sebab memang orang lelaki nak lepaskan diri dari tanggungjawab, sepatutnya hakim, peguam, ustad, penasihat keluarga menasihatkan para suami, apa makna amanah yang diberikan oleh Allah kepada se orang suami sebenarnya. Fikir-fikirkanlah.’’ Itu cerita Noratikah ketika bertanya tentang khidmat nasihat peguam dari Kumpulan Sokongan Ibu Tunggal (KSIT). Jika ada antara anda yang berminat ingin tahu tentang khidmat peguam secara percuma sila telefon 019-2393419. Perjumpaan KSIT diadakan setiap bulan kepada anda yang berminat.