Cinta Suami Berpada-pada Supaya Tak Merana

 

DCCK 30 APRIL 2017                              

“UCAPAN tahniah kepada pasangan yang berkahwin tak kira siapa pun yang kita sering dengar, mereka mendoakan agar si pengantin kekal aman bahagia hingga ke Jannah. Kalau setakat ucapan bolehlah kita terima, tetapi dalam kehidupan kita kena fikir lebih mendalam apakah perkahwinan itu akan bahagia hingga ke penghujungnya?

“Sebab kita tahu hanya Allah lebih mengetahui setakat mana jodoh kita. Jika kita  faham hakikat ini, maka kita mesti sentiasa ingat, bahawa suami hanyalah dipinjamkan sementara oleh Allah, jadi kita kena ingat dan bersedia, apa-apa pun boleh berlaku. Kita hanya menumpang kasih suami, belum tentu suami mengasihi kita sepenuh hatinya.

“Jika kita faham jodoh pertemuan ketentuan Allah maka kita mesti belajar erti kehidupan sebenar bahawa pelbagai perkara boleh menerjah ke alam perkahwinan kita dan kita mestilah bersedia menerimanya dengan hati terbuka;’’ itu kata nasihat Nurhidayah ketika berbual di telefon melahirkan rasa keciwa dengan sikap kebanyakan wanita muda kini, sanggup bermati-matian mencintai suaminya akhirnya dikeciwakan.

“Saya boleh beri nasihat sebab saya sudah mengalaminya. 25 tahun dulu saya masih muda, saya pun meletak seribu harapan kepada suami saya, Jay dan cintakannya sepenuh dan sentiasa berharap cinta kami tak akan putus walaupun dia sudah mati. Tetapi dipertengahan jalan saya dikeciwakan apabila Jay nak kahwin lagi, lebih dahsyat pilihannya isteri orang.

“Bila rahsia terbongkar, saya rasa dunia ini macam nak kiamat. Sebabnya, saya terlalu cinta dan percayakannya, malah selama ini saya banyak berkorban untuknya. Saya jadi penjamin supaya Jay boleh buat pinjaman bank kerana dia nak buat bisnes. Barang kemas saya juga tergadai, semua saya lakukan kerana yakin dan percaya Jay cintakan kita sepenuh hati.

“Setelah semuanya Jay dapat dan hidup senang, dia boleh beritahu saya dia bosan dengan perangai saya suka control dia, katanya dia benci saya sebab suka tanya apa dia buat? ke mana dia pergi? Katanya dia lemas hidup dengan saya, dia hendak sedikit kebebasan dari saya. Dia tak tahan hidup terkongkong dengan saya.

“Amboi! Sedapnya cakap! Bila bisnes dah berjalan lancar mulalah dia kata saya membosankan dan melemaskan. Tetapi dia ingat tak ketika dia nak berhenti kerja nak masuk bisnes dulu dengan siapa dia bertanya, dengan siapa dia minta pendapat dan minta tolong juga dengan siapa dia berjanji tidak akan lupakan jika bisnesnya maju dan lebih penting dia minta saya jadi penjamin dia buat pinjaman bank. Bukan sekali, dua kali.

“Kalau wanita lain, mungkin dia boleh tinggalkan saya, tetapi dia silap, saya tak boleh terima kenyataan bahawa saya ini melemaskan dan membosankan dia. Saya tak mahu ditinggalkan dan terpaksa bayar hutangnya, macam mana masa depan saya dan 3 orang anak saya. Mereka nak belajar, nak makan pakai. Takkan kerana ayahnya dah berjaya maka anak-anak jadi korban.

“Saya hairan mula-mula berniaga dulu dia taklah sesombong sekarang. Dia ingat anak-anak dan sentiasa balik rumah biarpun sudah larut malam. Walaupun saya risau dia selalu balik lewat, tetapi bila dia jelaskan saya boleh terima dan percaya dengan kata-katanya.

“Tetapi selepas pinjaman kedua dan dia dapat pulak tender lebih besar, ada pulak orang lain jadi rakan kongsinya, dia sudah berubah. Memanjang sibuk. Anak-anak susah nak jumpa. Hinggakan anak nak minta duit terpaksa hantar SMS itupun belum tentu dapat, sebaliknya suruh minta pada saya. Sekali dua bolehlah saya bantu, kalau selalu, parah juga.

“Perubahannya membuat saya tertanya-tanya. Apa dah jadi? Tetapi saya tak berdiam diri, saya buat siasatan, kata orang tak ada bukti jangan percaya. Waktu itu rasa bosan suami balik rumah sudah menjadi-jadi, memanjang ada mesyuarat dan sibuk outstation uruskan pelbagai benda. Macamkan dia tak ada pekerja di pejabat yang boleh bantu dia.

“Siasat punya siasat saya dapat tahu dia bercinta dengan isteri orang. Hah! terkejut beruk saya, ini kes teruk. Takkan suami wanita ini tak tahu isterinya buat hal. Kalau suami saya selalu outstation isteripun pun ikut sama, begitu juga selalu balik kerja lewat, takkan suami dia boleh diam dan percaya pembohongan isterinya. Sedangkan mereka sudah ada 2 orang anak yang masih kecil, kahwin pun tak sampai 8 tahun. Tentu masih ada manisnya lagi, ini suaminya langsung tak syak ke isterinya main kayu tiga?

“Walaupun kegilaan Jay berlaku lebih 10 tahun lalu, tetapi hati seorang wanita tentu tercabar dan rasa amat keciwa. Selama ini hidup kami sama-sama susah, tapi bila dah senang sikit dia nak tinggalkan saya. Saya keciwa kerana setelah berjaya nak cari ganti saya, masa dia susah dulu tak ada pulak wanita lain yang hendak bantu dia. Inilah yang dinamakan ujian Allah, kita tak boleh kekal bahagia selamanya, sedangkan air laut pun ada pasang surutnya, inikan pula kehidupan.

“Saya sedar Jay fikir saya boleh ditipu dan takut kena cerai, maka tentu saya sedia bermadu, tetapi dia tersalah orang. Dalam siasatan itulah saya berjaya mengikori wanita itu. Saya boleh serang dia di pejabat. Saya boleh malukan dia. Tetapi saya ada maruah, saya tak mahu kerana seorang lelaki, saya dituduh hilang akal kerana serang orang di khalayak.

“Dengan seribu kesabaran saya jumpa wanita itu saya tanya apakah benar dia ingin berkahwin dengan Jay. Saya tanya juga apakah dia bersedia bercerai dengan suaminya? Dan mahukan dia bermadu.  Dipendekkan cerita saya ingatkan wanita itu, jika dia tak putuskan hubungan dengan Jay, maka saya akan ceritakan bongkar rahsianya pada suaminya.

“Waktu itu saya sudah siasat habis siapa suaminya, di mana suaminya kerja, sebagai apa, orang negeri mana, mana kampungnya? Dan saya tahu siapa ibu bapa mertuanya. Jika dia masih berdegil saya sendiri akan bocorkan rahsianya kepada mertua dan ibu bapanya sendiri.

“Memang tindakan saya kejam, tetapi demi menyelamatkan rumahtangga saya, saya terpaksa. Pada suami juga saya sudah buat persediaan akan ceritakan kepada anak-anak dan kepada keluarganya, biar emaknya tahu siapa anaknya yang sebenar. Dan saya nekad menjual semua perabut dalam rumah supaya jiran tahu apa yang berlaku dalam keluarga kami.

“Memang  saya nak malukan dia, sebab dia hendak hancurkan hidup saya dan sebelum dia tinggalkan saya tanpa nafkah anak, maka saya mesti bertindak jual semua perabut, yang ada antaranya barangan kegemaran yang menjadi koleksinya.

“Bagaimana pun saya tak kata wanita itu seorang sahaja yang miang, gatal menggoda Jay, sebab saya tahu jika Jay sendiri tak gatal menggoda, takkan berani wanita itu menggodanya. Tentu lelaki yang memulakan langkah, dan langkahnya bersambut. Terang-terang saya kata Jay dah tua tak sedar diri, anak dah besar panjang masih nak kahwin lagi.

“Saya tanya Jay apa sebab dia nak kahwin lagi, apakah saya kurang melayan nafsu zahir batinnya?  Saya kira saya masih mampu, malah selama ini walaupun sibuk bekerja, saya sentiasa melayannya termasuk makan minumnya. Hinggakan dia nak bancuh air teh pun tak tahu, apa lagi nak senduk lauk dalam periuk. Sebab semua saya sediakan, dia datang ke meja semua sudah terhidang dia cuma duduk cuci tangan terus suap makan. Begitulah layanan saya.

“Saya tanya Jay juga apa kurangnya saya adakah saya tak cantik? Gemok sangat ke? kurus sangat ke? Saya kira kalau saya pakai cantik-cantik tentu ada jantan lain di luar saya yang suka nak layan apa lagi berkawan dengan saya. Sebab saya masih segak. Bukan memuji tetapi nak bagi kesedaran kepada Jay yang dah jadi macam kambing tua tak sedar diri.

“Kalaulah ketika itu ditakdirkan kami bercerai juga. Saya rasa mungkin emak mertua saya boleh kena stroke, sebab dia punya sayang dan percayakan anaknya terlalu baik. Dia tak tahu anaknya `diam-diam pucuk lepu.’ Miang keladi!  Ya Ampun.

“Peristiwa itu memang buat saya menangis dalam hati, walaupun saya keras hati, tapi rasa keciwa dan kehampaan membuat jiwa saya hancur berkecai. Sapa tak keciwa jika suami kita yang dah dekat 50 tahun ini bercinta dengan isteri orang yang berumur belum pun 30 tahun. Lagi mendidih darah saya wanita itu isteri orang. Nasib baik saya tak hilang akal, kalau tidak mungkin wanita itu saya keroyok dan lawan gusti dalam pejabat. Biar dia malu.

“Saya beri amaran pada wanita itu, hari ini dia ganggu suami orang, esok lusa mungkin suami dia pulak digoda oleh wanita lain, ketika itu dia akan rasa padahnya. Walaupun saya bercakap dengan nada keras tetapi dia tak melawan, mungkin kerana malu kena serang.

“Walaupun peristiwa ini sudah lama berlalu, tetapi saya tak boleh lupakan, hati saya sudah terluka, sudah pecah, kalau guna gam gajah ke? Atau gam kapal pun takkan boleh kembali cantik bertaup seperti dulu, masih ada serpih yang tercicir. Inilah padahnya kalau beri kasih sayang sepenuh hati kepada suami. Belum tentu dia balas sepenuh hatinya.

“Seperkara lagi, kalau nak tolong suami, buat bisnes ke? tolong keluarganya ke? Kita kena hati hati dan kalau sayangkan suami pun jangan bagi kasih 100% simpan sedikit kasih sayang itu paling kurang 40% untuk diri sendiri. Sebab kalau kita dikeciwakan pun satu ketika nanti, kita tak mati tegak. Sebab kita sudah beringat dari awal. Sayangkan diri kita sendiri dulu sebelum kita sayangkan suami, sebab belum tentu suami sayangkan kita 100%.

“Kerana biasanya ketika dia susah dia ingat kita tetapi setelah dia senang kita bakal digantikan, ditinggalkan atau dimadukan untuk keselesaan, kebahagian dan kesenangan dirinya sendiri.” Itu nasihat Nurhidayah khususnya kepada wanita muda yang baru memasuki gerbang perkahwinan, sayangkan diri anda dulu sebelum sayangkan suami.