Diceraikan Kerana Gangguan Tangan Halus

DCCK 6 OGOS 2017        GAMBAR HANYALAH  HIASAN SEMATA-MATA

“DARI sebelum berkahwin, hinggalah kita wanita beranak pinak, telinga mereka sering dipasak dengan pelbagai nasihat, samada dari ibu bapa, mahupun daripada para ustad yang sering berceramah tentang resepi membahagiakan keluarga. Rasepi pertama isteri mesti  menghormati suami, kedua jangan melawan dan  ketiga mesti berkorban apa sahaja untuk suami, kerana syurga isteri di bawah tapak kaki suami. Kata mereka jika semua ini dilaksanakan barumah rumahtangga aman damai, bahagia hingga ke jannah.

“Malangnya kita jarang dengar nasihat para ustad supaya suami melayan isteri dengan baik, bertanggungjawab, dan menjalankan kewajipan sebagai ketua dengan memberi makan minum serta pakaian dan tempat tinggal kepada anak dan isterinya. Sebaliknya isteri dinasihatkan supaya bantu bantu jika suami perlukan bantuan dan kurang mampu.

“Kerana terlalu menghormati, dan berkorban inilah juga banyak berlaku kes suami tidak menjalankan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga dengan baik kepada anak isterinya, baik semasa bersuami isteri lebih teruk selepas bercerai.’’ Itu cerita Norshima yang ditemui semasa menghadiri kelas khidmat guaman secara percuma anjuran Kumpulan Sokongan Ibu Tunggal (KSIT) di Bangi baru baru ini.

Ketika kami berbual panjang Norshima beritahu, dia telah berkorban demi kebahagiaan keluarga, sanggup berhenti kerja kerana mengikut suami belajar keluar megara melahir dan membesarkan anak-anak, tetapi setelah segala-galanya berhasil, pengorbanan saya itu langsung tidak dipedulikan, sebaliknya, saya dimadukan dan selepas beberapa bulan kerana isteri baru tidak mahu bermadu, dia diceraikan. Adakah ini adil?

“Memang saya tak tahu awalnya suami saya Iwan sudah berkahwin baru, kerana dia seorang suami yang baik, sentiasa rapat dengan anak-anak, bekerja keras, tetapi mungkin kerana kelembutan dan kelemahannya inilah punca dia mudah lemah  kepada pujukan wanita, akhirnya dia nikah lagi. Segalanya berlaku dengan pantas dan dalam masa tak sampai setahun tanpa saya sedari selepas dia berkahwin saya diceraikan.

“Tak perlulah saya ceritakan apa tugasnya, memadailah jika saya katakan tugas Iwan banyak berurusan dengan soal pendidikan. Dia seorang yang kuat dan rajin bekerja banyak masanya tertumpu kepada pekerjaannya selain belajar.

“Kerana itu tak hairanlah dia dapat banyak anugerah kecemerlangan di tempat dia bekerja semuanya kerana kerja kerasnya lengkap dengan tawaran hadiah yang menggalakkan. Kerana dia bekerja keras saya tidak banyak meminta dia bantu saya uruskan anak anak baik sakit pening dan sebagainya, semua saya buat sendiri, sebab dia sibuk bekerja.

“Tetapi kerana hasil kerja keras, hadiah dan anugerah yang diperolehinya itu dalam diam dia jadi tarikan dan minat pelajarnya mencintainya dalam diam bernama Nory seorang ibu tunggal dengan 4 orang anak. Para pelajar Iwan terdiri daripada pelajar yang bekerja sambil belajar, dan Nory salah seorang daripadanya.

“Pada awalnya saya tak tahu dan tak sedar tentang hubungan mereka hinggalah satu hari Iwan beritahu dia akan keluar negara kerana tugas selama 2 minggu, saya tawarkan diri hendak ikut kerana saya tak bekerja. Tapi Iwan tak izinkan, sebaliknya dia beritahu dia ada satu lagi lawatan sambil bekerja di luar negaa juga selama 4 minggu, ketika itu dia akan bawa saya bersama anak-anak, kebetulan cuti sekolah, saya bersetuju.

“Sampai waktunya kami anak beranak terbang ke AS, awalnya 4 minggu, tetapi jadi 2 minggu sahaja, sebab tugasnya sudah habis. Ok lah, kami balik. Tetapi bila sampai ke rumah, saya  rasakan ada sesuatu yang tak kena dengan diri saya, demam tak kebah, dan sakit sendi.

“Kalau biasanya bila saya mengadu sakit, Iwan suruh saya jumpa doctor suruh makan ubat dan dia tahu saya akan sembuh. Sebab dia sibuk. Tetapi kali ini, dia bawa saya jumpa bomoh yang dia panggil `Perawat’. Pelik pulak mengapa bukan doctor. Katanya perawat ini bagus boleh tengok saya sakit apa dan boleh sembuh. Kerana sakit saya ikut, nun dia bawa saya ke negeri Perak. Tapi saya rasa perawat ini bomoh. Macam-macam benda pelik-pelik termasuk jin jin ada  dalam badan saya. Saya tak percaya. Tapi peliknya Iwan seorang terpelajar luar negara boleh percaya dengan benda-benda tahyol karut marut itu.

“Tambah pelik bila bomoh tu kata badan Iwan dikawal oleh kuasa ghaib, tak sapa oleh buat aniaya pada Iwan. Dia tambah lagi ilmu lain yang boleh buat Iwan lebih kuat. Saya jadi pelik saya ke yang dirawat atau Iwan? Tapi perawat bomoh ini puji kekuatan dan kesaktian Iwan. Tak ada siapa boleh rosakkan tubuh badan Iwan.

“Saya tambah pelik bila dia kata badan Iwan dan kuasa kuat dan ilmu ghaib. Saya rasa bomoh dan Iwan sudah tersasul jauh dari landasan agama kerana dia bercakap pasal sihir, jin dan entah apa-apa lagi. Saya beritahu Iwan saya tak yakin dengan `perawat’ tersebut, dia marah. Dituduhnya pulak saya kaki sihir, kaki santau dan bela jin.

“Selama lebih 10 tahun kami berkahwin, tak pernah Iwan cakap pelik seperti ini, tetapi mengapa sekarang dia benar-benar berubah. Mengapa dulu dia kata saya seorang isteri yang baik, pandai urus rumahtangga , tetapi akhir-akhir ini saya dituduh bela jin, kaki sihir dan santaukan dia? Pelik memang pelik! Saya rasa ada yang tak kena dengan diri Iwan sekarang.

“Selang 2 hari selepas saya dibawa jumpa bomoh tersebut, Iwan beritahu dia terpaksa bawa pelajarnya yang sakit jumpa `perawat’ yang sama. Dua hari kemudian pergi lagi, katanya pelajarnya sakit terok. Bila saya nak ikut Iwan tak beri. Saya tanya Iwana apa hubungan dia dengan pelajar tersebut. Saya fikirkan gadis, tentu dia ada ibu bapa, dia kata dah kahwin, mana suaminya? Pelik sungguh Iwan bermati-matian hantar isteri orang berubat. Iwan diam.

“Tetapi naluri seorang isteri tak boleh tolak ketepatannya. Kehairanan membuat saya ingin menyiasat dan bertanya. Pertama saya lihat perubahan diri Iwan, saya dapat rasakan Iwan bukan Iwan yang dulu, dia suka bercakap pasal jin, sihir, santau, ilmu jahat dan dia tuduh saya sihirkan dan santaukan dia. Untuk apa kalau kena santau dah lama Iwan sakit terlentang, ini sihat walafiat, cuma fikirannya yang dia jadi resah dan tak menentu.

“Perubahan Iwan saya lihat dalam masa beberapa bulan sejak pertengahan tahun lalu memang berlain sungguh. Dia percaya tuduhan bomoh itu kata saya sihirkan dia dan bela jin. Peliknya anak dah tiga orang baru sekarang kata saya bela jin dan kaki sihir. Tapi kata bomoh tersebut jin belaan saya tak sekuat jin dalam tubuh Iwan lebih sakti. Lagi mengarut.

“Kehairanan membuat saya bertanya kepada rakan-rakan Iwan, mereka juga pelik. Dari situ terbongkar yang Iwan sudah berkahwin dengan Nory ibu anak 4 yang juga pelajarnya. Wanita itulah yang Iwan sering bawa jumpa bomoh tersebut. Bomoh itu rupanya kenalan Nory. Nory yang kenalkan bomoh itu pada Iwan. Nory berhenti kerja selepas nikah dengan Iwan dan dia yang ikut Iwan ketika keluar negara. Patutlah semasa ke AS dulu dia bawa saya cuma dua minggu, sebelumnya 2 minggu lagi dia bawa Nory.

“Bila saya tanya, Iwan tak nafikan, memang dia sudah nikah, selepas Nory jadi pelajarnya selama 6 bulan. Sejak berkahwin itulah Iwan selalu tuduh saya simpan kain kuning, kain putih dan macam macam benda santau yang membuat Iwan langsung tak berani makan di rumah lagi. Lagi pelik bila Nory sakit dia meracau dan sebut nama saya. Kata Iwan ketika meracau Nory boleh scan dia nampak saya jumpa bomoh. Iwan percaya.

“Balik ke rumah, Iwan mengamuk  tuduh saya buat ilmu sihir pada Nory. Saya nafikan, dan dia suruh saya bersumpah laknat. Saya ikut. Tetapi Iwan masih tak puas hati bila dia balik ke rumah Nory. Sejak duduk dengan Nory. Iwan lupa kan kami tiga beranak, sedangkan saya sedang hamil. Tapi Iwan tak percaya dia suruh buat scan buktikan saya hamil.

“ Tetapi bila hati dan jiwanya tak tenteram dia tidak boleh berfikir dengan baik. Dia sanggup ceraikan saya ketika saya hamil. Dalam kertas yang ditulisnya semasa ceraikan saya Iwan berkata `Dengan bersaksikan makluk-makhluk Allah dalam rumah ini aku ceraikan engkau.’’ Sedangkan ketika itu tidak ada sesiapa dalam bilik kami. Selepas diceraikan Iwan suruh saya keluar rumah, kerana nak bawa isteri baru dengan anak-anak tirinya. Saya berkeras tidak mahu keluar walau apa pun terjadi. Ke mana saya nak pergi dengan anak-anak kecil ini?

“Saya masih tak pasti apa yang berlaku pada Iwan. Perubahannya mendadak, cakapnya mengarut, konon isteri barunya datang dari alam ghaib. Konon bahtera Nabi Noh ada atas gunung Jerai. Konon badannya ada kuasa ghaib. Konon dosanya telah dihapuskan oleh bomoh tersebut dengan upah RM5K. Memang pelik. Tetapi dengan kekuatan ilmu yang dia ada konon, dia masih tuduh saya sihirkan dia. Memang mengarut.

“Kerana ingin tahu status saya sama ada sudah diceraikan atau tidak, saya ke mahkamah Syariah. Depan hakim Iwan masih tuduh saya perempuan sihir. Katanya dia ceraikan saya sebab dia yakin dan percaya saya sihirkan dan santau dia. Hakim terkejut dan tercengang, tetapi kerana dia bawa peguam maka sahlah saya diceraikan. Saya redha atas apa yang berlaku tetapi saya kesian dengan Iwan yang telah menyimpang dari akidahnya.

“Namun sebagai isteri saya sedih dengan apa yang berlaku, selama 15 tahun kami bahagia, tetapi semuanya hancur dalam mata, tak sampai setahun apabila Iwan bertemu Nory. Saya tidak ada masa keluar rumah tanpa Iwan sebab sibuk dengan 3 orang anak yang perlu dihantar dan di ambil ke sekolah, ke tadika, dan ke sekolah agama, selain uruskan rumahtangga, sediakan makan minum mereka. Jadi mana masa saya nak berjumpa bomoh. Lagi pun tak ada sebab kerana rumahtangga kami senelumnya aman bahagia. Namun saya redha dengan ketentuan Allah tentu ada rahmatNya nanti.’’ Demikian cerita Norshima panjang lebar untuk kita ambil iktibar.

 

.