Hakim Tetapkan Nafkah Selepas Cerai Dilafazkan

 

DCCK  9 Julai 2017   Gambar hanyalah hiasan semata-mata

“PERJUMPAAN Hari Raya dikalangan adik beradik, saudara mara, ibu ibu saudara, sepupu sepapat saya baru-baru ini yang sepatutnya berjalan meriah dan penuh rasa gembira dalam suasana raya, tetapi rumah ibu saudra saya bertukar jadi tak keharuan, hingga ada yang terasa hati dan berasa sedih sebab terasa disindir.

“Ceritanya mudah sangat, sebelum kehadiran saya dan anak-anak, rumah ibu saudara saya datang sepupu saya yang cukup glamour kerana menjadi perhatian ramai sebab kahwin dengan suami orang bergelar datok, tetiba aja dia menyebut dirinya datin bila memanggil anak-anak saudara apabila hendak beri duit raya. Kalau sebelum ini perangainya ramah tamah dan suka bertegur sapa, tetapi hari itu dia jadi penyengap, asyik duduk berkepit dengan suaminya.” Itu cerita Rosnaini dalam emelnya.

“Punca keriuhan berlaku, apabila si datin ini nampak sepupu kami seorang ibu tunggal datang dengan 3 orang anaknya. Dan si datin mula tunjuk muka masam, lantas mengajak suaminya segera pulang. Sebab dia tak suka dengan si ibu tunggal ni. Kerana dulu si datin ini pernah dinasihatkan supaya jangan kahwin suami orang.

“Bila si datin balik sepupu lelaki kami mula `jolok sarang tebuan.’ Mereka puji si datin melambung-lambung, katanya bukan sahaja bergelar datin tetapi hidup senang lenang, dapat duduk rumah banglo, ada kereta besar dan sering ikut suami melancong keluar negara. Lebih memedihkan telinga katanya `apa salah berpoligami jika suami mampu ?’’

“Si ibu tunggal, Suriani jawab, don’t judge a book by its cover. Dan kalau tak tahu cerita jangan cakap. Mungkin dia hidup senang, macam mana dengan madunya. Fikirlah kahwin tak sampai setahun suami sanggup suruh isteri tua pindah duduk rumah teres 2 tingkat, sedangkan mereka lebih 30 tahun kahwin. Isteri baru duduk banglo. Adil ke?

“Lebih menyakitkan hati suami bohongkan isteri suruh pindah konon nak buat ubahsuai rumah banglo, sedangkan dia dah merancang nak masukkan isteri barunya. Bila isteri mengamuk, suami kata rumah tu masih berhutang bank dan dia tak akan bayar pinjaman bank kalau isteri tuanya mahu duduk banglo tersebut. Adil ke?

“Walaupun bukan bertengkar, tetapi bila bercakap dengan nada tertawa dan penuh sindiran, tentu Suriani terasa hati. Sebab dia minta cerai kerana tak mahu dimadu. Sekarang hidupnya tertekan sebab suami tak mahu bagi nafkah. Dua tahun berlalu, masih turun naik mahkamah. Suami tak datang mahkamah bila tuntutan nafkah dikemukakan. Duit banyak dah habis kerana bayar peguam, tetapi hasil zero.

“Apabila saya datang perdebatan dengan sepupu lelaki mula kendur. Ada yang minta diri mahu pulang. Suriani yang tadinya marah mula mengalirkan air mata apabila saya masuk sebab kami senasib. Dah bercerai tetapi masih terpanggang kerana tuntutan nafkah masih belum bekas suami bereskan.

“Kalau bekas suami Suriani enggan beri nafkah, bekas suami saya pulak mendakwa dia tak ada kerja jadi macam mana nak bagi nafkah? Peliknya tak bekerja pun masih mahu kahwin. Rupanya ada wanita yang desperado mahu bersuami walaupun tak bekerja. Betul atau tidak saya belum dapat pastikan lagi. Tetapi yang pasti tuntutan nafkah masih terpanggang kerana  dia tak mahu pergi ke mahkamah. Katanya, “apa hakim boleh buat kalau dia tak datang?’’

“Sepupu kami ini masih bujang tapi mulut laser, dia belum kahwin tetapi penyokong kuat poligami. Dia lambat kahwin sebab nak cari isteri yang boleh tanggung diri sendiri dan tak menyusahkan dia. Dia mahu berpoligami, sebab wanita sekarang semua bekerja jadi apa salah tanggung diri sendiri, daripada hidup sendirian lebih baik kahwin ada anak untuk jaga mereka bila tua nanti.

“Saya tak faham apakah dia bergurau dalam isu poligami ini. Tetapi yang jelas dia memang marah kalau ada wanita bercerai kerana suami nak kahwin lagi. Katanya poligami tidak merugikan tetapi menyenangkan wanita sendiri dalam menguruskan suami.

“Bab ini saya tak setuju, sepatutnya menjadi tanggungjawab suami menguruskan keluarga, bukan isteri. Saya dan Suriani minta cerai sebab kami tahu bekas suami memang tak mampu tanggung makan minum kami anak beranak. Kerana selama ini kami banyak membantu, kerana pendapatan suami tak sebanyak mana, tetapi jika kahwin dua apakah dia mampu tanggung kami anak beranak? Jadi daripada bergaduh pasal tak cukup duit lebih baik bercerai. Masalahnya bekas suami jadikan cerai sebagai melepaskan dirinya daripada menanggung makan minum anak-anak.

“Kami tak mahu berbicara pasal poligami, itu hak suami kalau dia mampu tanggung 2 orang isterinya. Dan kerelaan isteri-isterinya bermadu. Tetapi tolong jangan aniaya isteri pertama semata-mata kerana dia hendak memenuhi nafsunya berkahwin dua.

“Sebab kami tahu madu si datin tidak puas hati mengapa dia mesti keluar dari rumah banglo. Sedangkan dia berkorban masa dan tenaga lebih 30 tahun menguruskan kehidupan terbaik untuk suaminya. Hasilnya dia dipinggirkan bila suaminya ingin kahwin wanita muda. Anak-anak lebih keciwa, hinggakan anak bongsunya sanggup berhenti kolej untuk cari kerja, hanya kerana dia susah dapat duit daripada ayahnya, kerana ayahnya kata dia tak ada duit sebab sudah bersara. Tetapi kalau tak ada duit mengapa kahwin baru?

“Sebenarnya cerita bekas suami tidak mahu beri nafkah kepada anak-anak bukan benda baru, sudah berlanjutan bertahun-tahun lamanya. Persoalannya mengapa Hakim Mahkamah Syariah boleh tutup mata tentang masalah ini. Sebab yang teraniaya bukan si isteri tetapi masa depan anak-anak mangsa perceraian. Masa depan mereka gelap kerana perbuatan ayah yang tidak bertanggungjawab .

“Lebih jelas perbuatan ayah seperti ini memang mahu menganiaya bekas isterinya dengan bebanan tanggungjawab yang besar. Malah ada bekas suami mendakwa lepas bercerai anak-anak bukan tanggung jawab mereka lagi. Sebab mereka mahu lepas tangan. Kalau pun ada ayah yang mahu beri perhatian kepada anak-anaknya hanya selepas si anak sudah masuk kolej ataupun bekerja. Ketika itu dia datang untuk mengakad nikahkan anak perempuannya. Dia cuma mahu tunjuk kuasa sebagai ayah bukan tanggungjawab.

“Oleh kerana masalah beri nafkah anak-anak menjadi masalah besar dan menyusahkan hidup ramai ibu-ibu tanggal maka kami cadangkan supaya Hakim Mahkamah Syariah seluruh Malaysia mengadakan satu peruntukan atau undang-undang supaya setiap suami sebaik sahaja menceraikan isterinya mesti buat akuan bertulis membenarkan gajinya dipotong untuk nafkah anak-anak. Dan ketetapan ini dimasukkan dalam akuan perceraian dan sekeping akuan bertulis juga ditujukan kepada majikan supaya potongan gaji segera dibuat.

“Amalan kini, selepas bercerai, bekas isteri terpaksa buat tuntutan baru di mahkamah tuntut bekas suami beri nafkah anak. Biasanya selepas bercerai bekas suami tidak mahu lagi jejak ke mahakamah apa lagi benarkan gajinya dipotong untuk nafkah anak. Kerana itu bekas isteri terpaksa turun naik mahkamah bertahun-tahun untuk tuntutg nafkah. Biasanya gagal, dan bekas suami bebas daripada tanggungjawah atas amanah Allah ini.

“Kerana itu saya dan Suriani cadangkan ketika percerian berlaku di mahkamah ibu bapa dan adik beradik si lelaki diwajibkan hadir. supaya mereka jadi saksi dan bertanggungjawab beri nafkah kepada cucu-cucu atau anak-anak saudara jika anaknya tadi gagal beri nafkah. Kerana biasanya si ayah akan melarikan diri daripada tanggugjawab ini.

“Jika dalam hukum faraid sekiranya berlaku kematian ke atas seorang lelaki maka harta peninggalan si mati boleh dituntut oleh ibu, ayah si mati termasuk adik beradik si mati. Terutama jika si mati tidak ada anak lelaki. Kerana menurut hukum, jadi tanggungjawab mereka menjaga anak-anak aruah tetapi mengapa dalam kes perceraian mereka tidak mahu bertanggungjawab? Bab ini mesti ditegaskan oleh hakim supaya mereka  faham, jangan kerana harta mereka sanggup berebut, tetapi bila tanggungjawab mereka lari.

“Satu perkara lagi sebaik sahaja perceraian dilafazkan maka hakim mestilah tetapkan jumlah nafkah untuk anak-anak mengikut kemampuan si ayah. Supaya tidak menyusahkan bekas isteri menanggung anak-anak yang ditinggalkan. Tetapi jika bekas isteri ataupun bekas suami tidak bersetuju dengan jumlah nafkah yang ditetapkan maka salah satu pihak boleh buat memohon perbicaraan nafkah yang baru. Tujuan hakim tetapkan nafkah adalah untuk bantu ibu tunggal menanggung makan minum anak-anaknya.

“Selain itu supaya si anak mendapat hak dan nafkah daripada ayah mereka sebaik sahaja ibu mereka diceraikan. Tidaklah terputus makan minum anak-anak akibat perceraian ibu ayah mereka. Tujuan potongan gaji dibuat semata-mata beri perlinddungan kepada anak-anak demi masa depan mereka. Jika si ayah tidak bergaji tetap buat bisnes dia mesti menyalurkan nafkah kepada mahkamah syariah, supaya bekas isteri boleh mendapatkannya.

“Tetapi jika si ayah tidak bekerja maka warisnya sama ada ibu, ayah atau adik beradik si lelaki akan diminta beri nafkah kepada kepada bekas isteri. Kerana anak-anak tersebut adalah waris mereka dan jadi tanggungjawab  mereka dunia dan akhirat.

“Masalahnya masih ramai ibu bapa tidak tahu tentang masalah nafkah untuk cucu-cucu mereka. Malah ada nenek dan datuk 0yang menggalakkan anak lelaki mereka supaya jangan beri nafkah kepada bekas isterinya dengan niat menyusahkan lagi hidup bekas isteri tadi.

“Harapan kami ibu-ibu tunggal supaya masalah tanggungjawab beri nafkah ini mestilah diceritakan kepada seluruh ahli keluarga ketika majlis pernikahan dijalankan, supaya mereka faham. Supaya mereka tidak buta hati mengikut hawa nafsu sendiri. Demikian cerita Rosnaini panjang lebar dengan harapan setinggi gunung.

Sebenarnya menjadi barapan kami ahli-ahli Kumpulan Sokongan Ibu-ibu Tunggal (KSIT) supaya satu peruntukan dibuat dalam undang-undang Keluarga Islam supaya Hakim berkuasa membuat arahan memotong gaji si suami sebaik sahaja perceraian dilafazkan. Supaya anak-anak mangsa perceraian ini tidak teraniaya kerana si suami enggan beri nafkah.

Undang-undang ini mesti jalankan segera demi menyelamatkan ramai ibu-ibu tunggal yang menghadapi masalah mendapatkan nafkah anak-anak. Berlaku adilkah kepada kaum wanita yang malang demi masa depan anak-anak yang menjadi generasi dan pewaris bangsa dan agama Islam pada masa depan.