IPO Macam Gusi Tak Bergigi , Pistol Tak Berpeluru

DCCK  4 JUN  2017

 

DALAM perjumpaan bulanan Kumpulan Sokongan Ibu Tunggal (KSIT), tidak pernah terlepas daripada mendengar aduan demi aduan betapa susah dan sukarnyanya untuk mendapatkan IPO atau Perintah Perlindungan Interim(sementara), sedangkan kita tahu Kementerian Kebajikan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sentiasa mewar-warkan bahawa wanita yang merasa diri atau anak-anak mereka teraniaya atau diancam, maka mereka boleh buat aduan mendapatkan IPO, tetapi sayangkan permohonan mendapatkanya tidak semudah yang diperkatakan.

Memang sedih dan keciwa apabila ramai wanita khususnya ibu-ibu tunggal melahirkan rasa hampa apabila aduan mereka tidak pernah mendapat layanan dari pihak tertentu khususnya pegawai dari JKM, apatah lagi dari Polis.

Ibu-ibu tunggal ini mendakwa IPO bukan sahaja sukar diperolehi, sebaliknya ia hanya cantik  atas kertas yang tertera dalam Undang-Undang Akta Keganasan Rumahtangga, tetapi terlalu sukar dilaksanakan. IPO ini seolah-olah main tarik tali antara dua jabatan ini yang menyukarkan ibu-ibu tunggal mendapatkannya. Terlalu banyak persoalan dan  tolak menolak antara JKM dengan pihak Polis.

Ini adalah antara kelohan yang didengar dari luahan ibu tunggal dalam perjumpaan bulanan Kumpulan Sokongan Ibu Tunggal di Bangi baru-baru ini. Permasalahan untuk mendapatkan IPO ini telah membawa penulis melihat Undang-undang tersebut.

Seperti kita sedia maklum kerajaan telah membuat Undang-undang atau Akta Keganasan Rumah Tangga yang diluluskan oleh Parlimen sejak tahun 1994 dan berkuatkuasa mulai Jun tahun 1996, ia  mempunyai falsafah membendung kecenderungan berlakunya keganasan dalam sesebuah keluarga. Tak kira terhadap wanita atau anak-anak.

Akta ini juga sebagai instrument untuk mangsa keganasan mendapatkan perlindunagan secara segera apabila berlaku keganasan ke atas dirinya. Boleh juga berlaku jika si pengadu khsusunya ibu tunggal atau si pengadu merasa dirinya diancam atau diugut.

Akta ini juga mengambil pendekatan undang-undang jenayah iaitu jika berlaku kesalahan kepada seseorang maka di bawah akta ini si pesalah boleh ditafsirkan sebagai orang yang telah melakukan kesalahan jenayah maka DIA boleh dihukum dalam Kanun Keseksaan.

Walaupun pengadu terdiri daripada wanita khususnya ibu-ibu tunggal, namun akta keganasan ini terpakai kepada semua rakyat Malaysia. Tanpa membezakan agama, bangsa, jantina, keturunan dan tempat kelahiran. Ia juga bertepatan dan selaras dengan peruntukan kesamarataan yang dinyatakan di bawah Perkara 8 Perlembagaan  bahawa semua orang sama rata disisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan disisi undang-undang’

Cantik sungguh Undang-Undang Keganasan Rumahtangga ini apabila kita melihat ia memberi perlindungan kepada seseorang apabila dia merasa dirinya takut dicederakan secara fizikal. Juga apabila seseorang itu merasa dirinya terancam atau dipaksa melakukan perbuatan seksual atau sebagainya dan di mangsa tidak mahu melakukannya.

Juga menjadi kesalahan di bawah akta ini jika si mangsa biasanya wanita dan anak-anak di kurung di dalam rumah tanpa kerelaannya. Atau si mangsa merasa sedih dan terganggu fikirannya bila berlaku khianat yang merosakkan harta benda miliknya (mangsa).

Oleh kerana itu, jika seseorang itu khususnya wanita mahupun ibu tunggal merasa dia diancam  seperti yang disebutkan di atas, maka dengan sendirinya dia  berhak dan boleh mendapatkan perlindungan di bawah akta Keganasan Rumahtangga yang membolehkannya mendapatkan IPO (Perintah Perlindungan Interim) (Sementara)

“Apabila kejadian jenayah atau ancaman ini berlaku ke atas mangsa, maka dia boleh terus membuat aduan kepada Polis atau melalui Pegawai Kebajikan untuk mendapatkan IPO  yang dikeluarkan oleh Mahkamah Sivil sementara menunggu pihak polis menjalankan penyiasatan mengenai kesalahan keganasan tersebut.

“Mengikut Akta ini juga ia bertujuan menghalang berlakunya keganasan rumahtangga terhadap pengadu atau si mangsa. Bagaimana pun IPO ini akan terhenti berkuat kuasa setelah pihak polis selesai menjalankan penyiasatan terhadap yang dituduh.

“Selain itu mahkamah juga boleh memasukkan peruntukan bahawa orang yang dituduh tidak boleh menghasut atau menyuruh orang lain melakukan keganasan terhadap orang yang dilindungi bagi pihak dirinya.

“Jika kita melihat daripada undang-undang Keganasan Rumahtangga ini ia memang cukup cantik dan boleh beri perindungan kepada pengadu. Tetapi kenyataannya ia tidak semudah yang tertulis.’’ Kata Encik Hanifah Syed Muhammad seorang peguam syarie dan sivil yang merupakan penasihat undang-undang KSIT dalam perjumpaan tersebut.

“ Masalah sering berlaku apabila wanita khususnya ibu ibu tunggal membuat aduan, mereka akan jadi seperti bola ditendang ke sana sini dan kadang-kadang ditolak sesuka hati tanpa sebab tertentu oleh mereka yang sepatutnya bertindak beri perlindungan kepada pengadu.

“Inilah masalah yang dihadapi oleh puan JJ terang-terang beliau membuat laporan kepada polis, bukan sebuah tetapi 5 balai, tetapi semua pegawai yang bertugas di balai tersebut tidak mahu menerima laporan, kerana suami puan JJ juga anggota polis . Ada juga balai yang menerima laporan beliau tetapi apabila ditanya untuk mendapatkan salinan, pegawai petugas mendakwa mereka tidak terima laporan. Pelik, memang menghairankan.

“Disebabkan sukarnya mendapatkan IPO kerana suaminya telah melakukan penganiayaan seksual terhadap anak perempuannya, puan JJ telah membuat aduan ke Bukit Aman sekali lagi beliau di minta membuat laporan baru di balai. Malangnya sekali lagi laporannya dihilangkan. Jadi kepada siapa puan JJ harus dapatkan perlindungan anaknya yang masih kecil itu?

“Lebih mengeciwakan ketika beliau buat aduan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat, pegawai JKM menolak aduan beliau atas alasan mereka tidak boleh terima laporan kerana polis tidak buka kertas siasatan. Beginilah nasib Puan JJ macam bola.

“Kerana tidak ada laporan, bekas suami beliau sentiasa mengambil anak-anaknya sesuka hati pada bila-bila masa kerana tidak ada tegahan langsung. Dan kebimbangan sentiasa bersarang di dalam hati puan JJ tentang keselamatan anak perempuannya yang masih kecil itu.

“Namun akhirnya beliau berjaya mendapatkan IPO yang dikeluarkan oleh majestrate. Dengan IPO tersebut beliau membuat aduan ke Mahkamah Syariah kerana kesnya sedang berlangsung. Tetapi sekali lagi beliau menghadapi masalah besar apabila Mahkamah Syariah tidak terima IPO tersebut sebaliknya membenarkan bekas suaminya mengambil anaknya pada bila-bila masa.

“Jelas sekali IPO yang dikeluarkan oleh Mahkamah Sivil tidak diguna pakai di Mahkamah Syariah. Kerana di tolak. Sebaliknya memberi hak kepada si ayah terus mengambil anaknya, kerana anak-anak itu yang menjadi tangguangjawab si ayah.’’

Persoalannya jika sesorang ayah itu bertanggungjawab kepada anak-anaknya, adakah dia berhak melakukan jenayah seksual ke atas anak perempuannya?

“Menurut Encik Hanifah lagi, bukan  puan JJ seorang sahaja menghadapi masalah seperti ini, beliau percaya banyak lagi kes seumpama itu berlaku di merata tempat di negara ini. Di sebabkan kerenah, masalah, kepayahan dan kesulitan seperti yang dihadapi oleh puan JJ maka kerana itu kita sering terbaca di akhbar, ayah merogol anaknya sendiri sehingga melahirkan anak, ayah menganiaya anak-anak perempuannya. Bukan si ibu tidak tahu tetapi kepada siapa dia mesti mengadu jika masalah seperti dihadapi oleh puan JJ terpaksa mereka tempuhi.’’

Kalangan mereka yang terpelajar di bandar mungkin mereka boleh berusaha selamatkan anaknya, walaupun terpaksa menghadapi seribu rintangan, tetapi bagaimana nasib wanita di luar bandar, mahukah kita melihat maksiat terus berlaku?

Sementara itu Dato Wan Halim Othman yang merupakan Penasihat dan Penaong KSIT dan juga penasihat ibu tunggl di Trengganu, memberitahu kes sama juga berlaku di Trengganu. Si ibu telah mendapat persetujuan daripada suaminya dalam majlis Sulh di mana bekas suaminya tidak akan membawa apa lagi bermalam dengan anak perempuannya. Kerana si ibu mendakwa anak perempuanya menjadi mangsa rogol ayahnya.

Tetapi apabila si ibu menceritakan ke mahkamah Syariah tentang tegahannya tidak benarkan bekas suaminya bermalam dengan anak perempuannya, malangnya Mahkamah Syariah telah menegur tindakan si ibu, sebaliknya Hakim Mahkamah Syariah telah membenarkan si ayah bermalam dengan anaknya. Kerana budak perempuan itu anaknya.

Kesimpulannya adalah jelas walaupun ada pengakuan dari si ayah dan ada IPO namun tidak dipedulikan dan ditolak, seumpama IPO ini langsung tidak berfungsi di mahkamah syariah. Dalam kes ini sia-sia sahaja si ibu dapatkan IPO, tetapi tidak diterima oleh mahkamah syariah.

Sementara itu seorang lagi ibu menceritakan walaupun dia telah bercerai dan sudah berkahwin lain, tetapi dia sering diganggu, diserang dan dimaki hamun oleh bekas suaminya yang datang menyerangnya ke rumah kerana masalah anak.

Walaupun si ibu ini sudah berjaya mendapatkan hadanah tetapi bekas suaminya akan datang ambil dan mengugut menukarkan sekolah anaknya dengan alasannya sendiri.

Beliau dinasihat mendapatkan IPO dari JKM, tetapi pegawai bertugas menolak, menyuruhnya membuat laporan dibalai polis dan meminta polis membuka kertas siasatan dahulu. Inilah masalahnya apabila tidak ada peraturan lengkap antara satu pihak dengan satu pihak lain.

Kesimpulannya, apa gunanya IPO ini jika tidak ada sesiapa pun menghormatinya?  Di sini jelas IPO dan Undang-Undang Keganasan Rumahtangga ini tidak laku  dan dipermain-mainkan, bukan oleh orang awak yang tak tahu undang-undang, tetapi oleh mereka yang melaksanakan undang-undang. Mereka langsung tidak memperdulikan kepentingan IPO ini.

Apakah setelah lahir anak haram oleh bapak haruan yang makan anak ini, barulah tindakan diambil dengan mempenjarakan `si bapak haruan’. Apakah kita mahu melihat banyak anak haram dilahirkan, atau ditanam, dibuang daripada membanterasnya dari peringkat awal.

Persoalannya jika IPO mahkamah sivil ini tidak laku di mahkamah syariah, atas sebab tertentu, maka satu undang-undang yang sama mesti dibuat atau dikeluarkan oleh mahkamah syariah supaya perintah tegahan yang sama boleh diguna pakai. Memang ayah wajib bertanggungjawab  kepada anaknya, tetapi berapa banyak ayah yang tidak bagi nafkah kepada anak-anaknya. Masalah tidak mahu bagi nafkah inilah sepatutnya diketatkan dan si ayah tidak boleh terlepas daripada tanggjawabnya beri makan, pakai dan pendidikan kepada anak-anaknya. Bukan hanya membebankan kepada bekas isteri.

Selain itu, JKM juga Polis patut ambil inisiatif adakan kursus atau seminar untuk beri banyak ilmu kepada para petugasnya. Supaya mereka benar-benar faham apa itu IPO supaya tidak ada lagi penganiayaan terhadap ibu-ibu tunggal, anak-anak dan wanita  untuk mendapatkan IPO. Jangan undang-undang hanya cantik di kertas tetepi hampas. kerana tidak dilaksanakan dengan baik. Sepatah kata Encik Hanifa, IPO ini umpama senjata yang tumpul. Atau mungkin juga IPO ini sama seperti pistol tidak berpeluru atau gusi tak bergigi. Fikir-fikirkanlah dan jangan buat IPO ini macam melepaskan batuk ditangga.