Jangan Ditagih Kasih Sayang Anak

 

DCCK 7  MEI  2017  Gambar adalah hiasan semata-mata

“BERTUAHLAH kepada sebahagian besar kaum wanita yang membesarkan anak-anak bersama suami hingga ke akhir hayat. Tidak seperti saya, bukan menyesal, tetapi sekadar menceritakan diri sendiri yang kurang bernasib baik. Saya membesarkan anak sendirian sebagai ibu tunggal setelah kematian suami ketika anak-anak masih kecil lagi.

“Saya ditinggalkan dengan 4 orang anak yang sulung tingkatan 2 sementara yang kecil darjah 3. Suami meninggal sakit jantung. Nasib baik saya bekerja, jika tidak tak tahulah apa nasib saya ketika itu, kerana suami bukan kakitangan kerajaan saya tak ada pencen, tetapi ada simpaan KWSP yang tak seberapa.’’ Itu cerita Huzaimah dalam emelnya. Katanya dia tidak menyesal tetapi sedih dengan apa yang berlaku.

“Oleh kerana arwah suami masih ada ibu bapa masih hidup lagi, maka sudah pastilah duit KWSP tinggalan arwah turut diberikan kepada mertua (ibu bapa arwah) mengikut faraid. Yang sedihnya wang  KWSP mereka tagih, tetapi tanggungjawab membesarkan anak-anak tak ada seorang pun adik beradik arwah bercakap soal menjaga anak-anak yatim. Mereka seolah-olah cuma mahu pastikan saya serahkan wang arwah mengikut faraid dan betul.

“Dan mereka serahkan tugas besarkan dan sekolahkan anak-anak arwah kepada saya sahaja. Bab lain mereka tidak mahu tahu dan tidak bertanya langsung, seolah-olah tugas besarkan anak tugas saya ibunya. Pandai sayalah besarkan anak-anak.

“Walaupun sedih, namun saya nekad akan besarkan anak-anak sendiri, biar gaji saya kecil, biar terpaksa duduk rumah flat sahaja, yang penting, saya mesti besarkan anak-anak dan beri mereka pelajaran setakat mana yang boleh.

“Bulan berganti tahun, anak-anak terus membesar dan saya bersyukur kepada Allah dengan serba kepayahan anak-anak boleh belajar dengan baik, si abang dapat masuk kolej perguruan, dua orang lagi berjaya masuk ke sekolah berasrama penuh, jadi di rumah tinggalah saya dengan anak bongsu ketika itu bersekolah menengah rendah.

“Sebagai balu ketika besarkan anak-anak, pelbagai godaan, gangguan saya lalui. Biasalah bila dah tak ada suami, ramailah suami orang, duda dan tak kurang bujang telajak yang mengganggu mengajak saya kahwin.

“Tetapi semuanya saya tolak dengan baik. Niat saya satu, saya mesti besarkan anak-anak dan beri mereka pelajaran selagi mereka mampu. Kahwin lagi bukan jalan mudah untuk saya besarkan anak-anak. Bersuami baru akan lebih menyusahkan hidup saya.

“Sebelum kahwin semua lelaki berjanji mahu jaga anak-anak tiri, tetapi itu semua bohong, sebab mereka ada anak sendiri, jadi untuk apa beri anak orang lain makan, lebih baik besarkan anak-anak sendiri.

“Seperkara lagi bermadu bukan mudah, saya tak sanggup berperang dengan wanita lain, dan dituduh merampas suami mereka. Sebelum kahwin ramai lelaki berjanji boleh lembutkan hati isterinya, tetapi yang sebenarnya dia akan jadi `lembut lidah, lemah kaki bila isterinya menyerang dan melancarkan perang.’ Kekuatan azam saya besarkan anak-anak membuat saya berjaya menangkis setiap lamaran, gangguan dan godaan yang datang.

“Sambil besarkan anak, saya sentiasa menasihatkan mereka belajar sungguh-sungguh dan mesti bersikap tolong menolong antara adik beradik. Saya bersyukur memang hubungan anak-anak saya begitu erat. Dan saya lihat anak-anak saya saling bekerjasama.

“Nak jadikan cerita anak sulung saya lulus jadi guru. Gembiranya hati hanya Allah sahaja yang tahu. Segala usaha saya menampakkan hasil. Walaupun dihantar bertugas di negeri lain, tetapi saya bersyukur, dia sentiasa ingat kami dan pulang bila ada kelapangan.

“Tetapi kita merancang Allah menentukan, tak sampai setahun bekerja, tiba-tiba si along beritahu dia hendak kahwin. Terkejut saya umur masih muda dah nak kahwin. Saya nasihatkan along supaya bekerja 2 atau 3 tahun dulu, simpan duit sebelum kahwin. Sebab saya tidak ada simpanan bagaimana nak buat kenduri apa lagi hantaran.

“Harapan saya jika along ada sedikit simpanan bolehlah bantu saya. Tetapi dia bersungguh-sungguh nak kahwin. Alasannya takut ditukar ke tempat lebih jauh. Saya ingatkan along tentang janjinya untuk bantu adik-adik yang belajar. Tetapi along berkeras.

“Keciwanya hati hanya Allah sahaja yang tahu, hampir berkecai harapan saya. Sebab ketika itu saya sedang kalut menyediakan perbelanjaan 3 orang lagi anak perempuan yang masih belajar, seorang darinya nak masuk university. Perbelanjaan yang mesti saya sediakan memang banyak. Waktu itu tak ada pinjaman PTPTN seperti sekarang, kalau ada tawaran, semua kena bayar dulu sebelum dapat bantuan.

“Ketika saya kalut, mana nak sediakan duit untuk anak-anak belajar sementara si along sibuk nak kahwin. Katanya dia tak mahu bertunang lama, cukup dua bulan mereka nak kahwin. Lagi parah, mana saya nak cari duit dalam sekelip mata.

“Ketika itu saya perhatikan anak-anak perempuan mula dah risau. Mereka ada bertanya dengan along pasal along nak kahwin. Tapi along kata jodohnya dah sampai, dia tak mahu tukar ke negeri lain. Dia selesa mengajar di tempat yang dia tempatkan sekarang, Lagi pun kataya duduk di KL banyak guna duit, kalau duduk di negeri, tak perlu belanja besar. Dan dia selesa bekerja di pantai timor.

“Kata along lagi cukup setahun dia bekerja dia akan buat pinjaman bersama bersama bakal tunangnya untuk hantaran, saya tak perlu risau, semuanya mereka akan bereskan. Kata along tak perlu buat kenduri pun, semua pihak perempuan akan sediakan.

“Ya Allah sampai begitu sekali along terdesak hendak kahwin segera. Saya nasihatkan along dia masih muda dan bakal tunangnya pun sebaya. Along nekad hendak kahwin segera. Kerana kehendak anak saya turutkan juga, saya bersama rombongan pergi meminang, takkan saya nak buang adat Melayu kita. Lagi pun lebih baik kita berkenalan sesama keluarga. Saya kikis semua perasaan keciwa dan hampa, demi anak saya turutkan. Saya tak mahu along keciwa kerana saya tidak pergi meminang.

“Bukan nak mengumpat, kehadiran saya dan rombongan disambut biasa sahaja, kata mereka, daerah mereka tak buat adat meminang cukup sekadar nikah sahaja, itu pun sudah terbaik bagi mereka. Jadi kehadiran kami cuma disambut oleh adik beradik dan ibu bapa perempuan sahaja tidak ada orang lain, walaupun jiran tetangga. Kata mereka bertunang hanya untuk keluarga, bukan untuk orang luar. Kami akur, jika begitu adat mereka.

“Selesai majlis perkahwinan dua bulan kemudian, adalah dua kali menantu datang bertandang ke rumah kami. Tak tidur pun di rumah kami maklum rumah kami kecil. Katanya tidur di rumah emak saudara yang tidak jauh dari rumah kami.

“Kata along mereka tak boleh balik selalu, alasannya jauh. Kalau dulu along balik setiap bulan, selepas kahwin, along balik bila ada kelapangan. Pernah saya panggil along balik kerana urusan persekolahan adiknya, mereka balik bertiga, ketika itu along dah ada anak, tetapi istri dan anaknya tidak tidur di rumah kami, mereka tidur di hotel.

“Tak sampai sejam along di rumah, sedang kami makan bersama anak beranak, isterinya telefon suruh balik ke hotel cepat, sebab anak tak berapa sihat. Oleh kerana along masih berbual maklum dah lama tak jumpa anak beranak, sebab banyak perkara nak dibincangkan, sekali lagi isterinya telefon suruh balik cepat.

“Kerana tak mahu timbulkan masalah, along segera pulang. Esok pagi along datang lagi sebab petangnya dia hendak ke rumah ibu saudara isterinya di PJ. Dia datang sendirian lagi, saya tanya mana isteri dan anaknya, along beri alasan anaknya tak berapa sihat. Mungkin selepas ke rumah ibu saudara isterinya, dia akan singgah ke rumah kami.

“Tetapi malamnya along telefon dia tak dapat datang, masih di rumah ibu saudaranya, dan esok mereka terpaksa pulang awal. Ini bukan pertama kali along datang sendirian tanpa anak isterinya ke rumah kami, sudah banyak kali, dan setiap kali along datang telefon akan berbunyi suruh cepat balik. Kadang kala dia cuma datang ke PJ tak sempat singgah ke rumah kami sebab kereta penuh dengan mertuanya dan adik-adik iparnya.

“Walaupun dalam setahun banyak kali along dan keluarganya datang KL, tetapi cuma  2 atau 3 kali sahaja along singgah ke rumah kami. Sibuk, tak sempat, tambah pulak anak bertambah 2 orang, memang sentiasa sibuk.

“Sebenarnya teringin juga nak bermanja dengan cucu, tetapi tak berkesempatan, mereka sentiasa sibuk, dan datang ke rumah kami memang menyulitkan, sesak dan panas. Isteri along takut anaknya demam dan batuk. Biasanya bila Hari Raya dapatlah kami melihat anak-anak along, tetapi tak dapat nak bermain, mereka takutkan kami, sebab tak kenal.

“Harapan saya tertumpu kepada dua orang anak perempuan yang sekarang sudah bekerja, dan mereka berkongsi beli rumah yang lebih selesa untuk kami tinggal bersama. Tetapi saya risau juga mereka belum mahu berkahwin. Nak disuruh kahwin pun takut, bimbang terjadi seperti apa yang berlaku pada along. Namun saya tidak pernah harapkan mereka balas budi saya besarkan mereka. Cukup sekadar datang menjengok dan bertanya khabar.

“Apa yang saya luahkan ini hanyalah sekelumit rasa keciwa dengan sikap anak yang lupakan keluarganya setelah berkahwin, namun saya tetap salahkan diri sendiri kerana terlalu mengharapkan kasih anak setelah mereka berkahwin. Tetapi salahkah saya harapkan kasih sayang anak yang saya besarkan sendiri dengan pengorbanan dan penuh kasih sayang?

“Di sini saya ambil kesempatan nasihatkan semua gadis setelah berkahwin, tolong jangan  terlalu kongkong suami anda dan sayangi ibu bapa mereka seperti anda sayangkan suami anda. Anggaplah mertua anda seperti ibu sendiri. Sebenarnya banyak lagi yang tersemat di hati ini tetapi cukuplah sekelumit luahan rasa saya zahirkan bagi melepaskan sakit dan sesak di dada,’’ Itu cerita  Huzimah melahirkan rasa hatinya yang terluka. Semoga kita mendapat iktibar daripada masalahnya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Carian pelawat:

  • cerpen romantis kahwin paksa dengan ustaz jadi cinta
  • ratapan arwah intisari