Jangan Takut Jadi Ibu Tunggal Biar Suami Kahwin Lagi

DCCK  12 NOVEMBER 2017

“SEHINGGA kini, dengan usia lebih 50 tahun saya masih tak faham dan tak dapat menyelam hati sanubaru suami saya, apa lagi yang dia cari untuk berkahwin satu lagi, atau memancing serta menggoda kaum wanita untuk menjadi kekasihnya. Bukan seorang tapi sudah ramai wanita  telah digodanya. Betul-betul saya tak faham!

“Ini bukan kali pertama dia berjaya menggoda isteri orang. Setakat yang saya tahu sudah empat wanita masuk perngkapnya. Tapi nampaknya yang terakhir ini, dia terperangkap. Miangnya menjadi-jadi hingga tak tahu membezakan dosa atau pahala, isteri orang atau anak dara. Apa yang dia suka dia terus goda konon mencari cinta.’’ Itu cerita puan Norhawa ketika bertanyakan tentang KSIT dan apa yang boleh membantunya.

“Kami sudah berkahwin lebih 30 tahun, sudah ada 4 orang anak, yang bongsu dah masuk kolej,  yang sulung sudah berkahwin dan kami sudah bercucu pun, tetapi miang Ezain dah melampau-lampau. Semakin lebat uban kepala semakin menjadi-jadi miangnya.

“Dulu dia suka pasang kekasih konon tuduh saya tak layan dia, sibuk bekerja, sibuk dengan anak bersekolah hinggakan saya tak nak ikut dia berjalan ke sana sini, tak boleh temankan dia berkursus dan seminar keluar daerah. Ok saya faham, saya atasi masalah ini dengan ambil pembantu rumah orang tempatan.

“Tujuan saya bila ada pembantu rumah bolehlah dia jaga makan minum anak-anak di rumah sepeninggalan saya ikut Ezain ke luar daerah, ataupun keluar negara. Tetapi lepas 6 bulan pembantu rumah minta berhenti, saya tanya mengapa nak berhenti, dia bagi alasan emak suruh balik, emak sakit dan macam-macam. Saya terpaksa lepaskan.

“Bukan seorang pembantu tempatan, dua orang itulah juga alasannya. Akhirnya kerana geram saya ambil pembantu orang seberang. Anak pulak mengadu ayah sering balik rumah waktu lunch, dan bila saya keluar kerana seminar dan berkursus 4 atau 5 hari di luar daerah. Anak-anak kata mereka berasa pelik dengan perangai pembantu yang suka sangat bila ayah di rumah.

“Mereka yang cadangkan saya hentikan pembantu, sebab mereka boleh urus diri sendiri. Bukan seorang 3 orang bertukar ganti. Tetapi anak-anak tak ceritakan apa yang membuat mereka tak sukakan semua pembantu rumah tersebut. Saya hentikan. Kini pembantu saya datang seminggu sekali bantu saya bersihkan rumah.

“Saya tak boleh banyak tanya masalah pembantu dengan anak-anak, sebab saya tahu perangai suami saya ini memang miang. Dan saya tak mahu jatuhkan maruah ayah mereka. Sebenarnya sejak anak masih kecil. Ezain dah tunjuk belang miang keladinya. Saya tak boleh nak kawal, dia bukan robot, saya berserah kepada Allah, dengan harapan dia berubah bila usia semakin tua. Saya juga terpaksa bersabar kerana anak bertambah ramai.

“Kalau pasal teman wanita memang sering berganti, bila kita tanya dia nafikan, tuduh orang buat fitnah. Tapi saya tahu bukan fitnah, memang dia miang. Akhirnya ketika berusia 45 tahun, saya dapat tahu dia nikah di sempadan. Juga kawan beritahu, tapi dia nafikan.

“Bila dah kahwin dia tak pernah ajak saya temankan dia kalau dia berseminar ke luar negara, tentulah dia bawa isteri muda. Tapi dia tetap nafikan. Akhirnya kerana tak tahan saya pergi tanya wanita itu sendiri, rupanya wanita itu baru bercerai, kerana hubungan dengan Ezain. Suaminya dapat tahu dan mereka bergaduh dan bercerai. Belum pun habis edah dia nikah dengan Ezain di sempadan. Saya tak tahu apa caranya tapi mereka dah nikah.

“Oleh kerana terlalu marah dengan perangai bekas isterinya, lelaki tersebut buat aduan dengan pejabat agama. Kerja Ezain hampir melayan kerana tuduhan dan tuntutan hingga ke mahkamah syariah. Memang memalukan. Untuk menutup semua permasalahan, Ezain terpaksa guna wang untuk tutup masalah. Berakhir dengan mereka bercerai.

“Amanlah seketika hidup saya apabila Ezain bimbang kesnya sampai ke atas. Walaupun dia tak buat hal lagi, tetapi hidup saya tak tenteram sebab dia tuduh saya merosakkan hidup dan masa depannya, ugutnya, kalau dia dibuang kerja, saya juga akan terlibat dan hidup kami akan susah. Apakah itu yang saya mahu soalnya? Saya katakan masalah ini tidak timbul jika dia tidak buat perangai goda isteri orang. Elok-elok wanita tersebut ada suami ada anak-anak, yang dia goda sehingga mereka bercerai mengapa?

“Keadaan Ezain aman cuma seketika, bila betukar kerja ke tempat baru, dia buat hal lagi. Agaknya dah jadi hobi dia suka goda wanita, tak kira isteri orang atau anak dara. Peliknya ada pulak wanita yang termakan godaannya. Sebenarnya saya dah tak larat menasihatinya, kadang kala saya pulak malu dengan anak-anak dengan perangai Ezain.

“Bertambah sedih Ezain memang tak rapat dengan tikar sembahyang, solat cuma pada hari Jumaat dan pada Hari Raya. Kalau cuti langsung tak pergi. Tetapi kalau bosnya ajak berbuka puasa di rumahmnya dia pergi untuk berbuka puasa, terus solat maghrib, solat esha dan tarawikh sekali. Tetapi bab puasa tu sering kali terlepas alasannya letih. Pada anak-anak saya kata ayahnya tak bangun sahur sebab kenyang. Saya jaga maruah ayahnya.

“Saya berusaha menyedarkan masalah miangnya, saya ajak ke mekah buat umrah atau haji, tapi dia tolak dan bertangguh. Namun akhirnya kami pergi juga umrah bila ramai kawannya dah ke Mekah. Harapan saya dia berubah. Tetapi untuk beberapa bulan aja. Lepas tu dia buat balik.

“Tahun lalu saya dapat tahu dia nikah lagi, umur dah lebih 50 tahun. Juga nikah di Siam, saya dah tak peduli. Anak-anak suruh sabar. Tetapi saya dah tak boleh sabar,  saya minta cerai. Sebab saya tak mahu saya hilang segala-galanya. Kerana baru-baru ini dia beli sebuah apartmen untuk isteri barunya. Sebelum itu dia jualkan tanah pembelian kami bersama terletak di HL tanpa pengetahuan saya. Jual senyap-senyap

“Memang dia pemilik tanah tersebut, tapi dibeli ketika kami bersama, paling tidak dia beri sedikit hasil jualan tanah tersebut, sebaliknya dia beli apartmen dan kereta untuk isteri barunya. Kalau puan di tempat saya, sakit hati tak? Maka sebab itu saya minta cerai. Saya dah tak peduli dia nak kahwin 4 ke 5 ke itu hak dia, tapi bebaskan saya, sebab saya tak mahu dia jual semua harta pembelian kami bersama untuk kegunaannya sendiri.

“Kami bukan kaya, tetapi hasil simpanan dan jimat cermat saya, saya dapat beli sebuah rumah teres murah dan sebuah rumah teres dua tingkat di mana kami tinggal sekarang. Masalahnya hanya rumah murah itu sahaja nama saya seorang, sebab dulu Ezain tak suka saya beli rumah murah, jadi saya beli juga dan saya terpaksa gunakan duit sendiri.

“Tetapi beberapa tahun kemudian Ezain beli rumah teres 2 tingkat atas nama dia sendiri. Katanya dia sukakan rumah tersebut dan terletak di kawasan terkenal. Janjinya dia akan bayar ansuran bulanan rumah itu. Tetapi untuk dua tahun pertama sahaja. Selepas itu setiap bulan dia minta duit saya untuk bantu bayar ansuran rumah tersebut. Alasannya duitnya tak cukup kerana perlu bantu keluarga di kampung.

“Ugutnya kalau saya tak bantu dia akan jual rumah tersebut. Dan kami kembali menyewa. Rasanya rugi juga, jadi saya terpaksa bantu dia bayar. Sedangkan dia jarang-jarang beli barangan keperluan dapur untuk makan minum kami anak beranak. Alasannya saya ada duit sewa rumah murah, jadi gunakan duit tersebut. Begitu juga perbelanjaan sekolah harian anak-anak, dia  serahkan kepada saya. Sebab dia memanjang tak tada duit, dia cuma beri perbelanjaan anak-anak untuk Hari Raya dan persekolahan awal tahun sahaja, yang lain ikut pandai saya ajalah.

“Saya tahu dia mampu, tetapi dia banyak gunakan duit untuk enjoy dengan kekasihnya. Kini ansuran rumah ini sudah selesai. Dan inilah yang membimbangkan saya jika satu hari nanti dia jual rumah ini tanpa pengetahuan saya. Dan duitnya untuk kegunaannya sendiri.

“Memandangkan masalah inilah maka saya rasa lebih baik kami bercerai. Saya tak perlu bimbangkan dia lagi, sebab dia dah kahwin ada orang yang boleh jaga makan minum dan sakit peningnya. Dan lebih penting hati saya sudah lama hilang rasa cinta dan kasih kepadanya kerana perbualannya kepada saya selama ini. Tetapi dia tidak mahu ceraikan saya.

“Saya minta dia buat pilihan kalau tak mahu ceraikan saya, tolong beri nafkah saya dan anak-anak secara tetap setiap bulan mengikut kiraan saya, yang selama ini dia beri ikut suka hatinya, sebab alasannya kerana saya bekerja dan ada duit!

“Lebih penting saya tak mahu penat lelah saya bayar ansuran rumah kami ini, akhirnya dia berikan kepada isteri barunya, sedangkan dia langsung tidak menyumbang. Kata Ezain rumah ini rumah dia, nama dia seorang dan saya tak ada hak. Jadi dia boleh jual atau beri kepada sesiapa itu suka hatinya. Kerana itu jugalah dia jual tanah di HLsenyap sebab katanya saya tak ada hak. Sedangkan tanah tersebut harta sepencarian.

“Memang saya tak berhak atas rumah tersebut selagi saya masih jadi isterinya. Jadi untuk pertahankan hak, maka saya mohon diceraikan, setelah bercerai baru saya boleh tuntut hak saya. Saya nak tanya apakah tindakan saya ini betul?

“Kini saya sedar, selama ini saya terlalu ikut cakap dan memperbodohkan diri sendiri, suami saya bukan seorang yang bertanggungjawab apa lagi bertimbang rasa selama lebih 30 tahun kami berkahwin. Dia terlalu berkira terlalu kedekut. Kerana itu tak salah jika saya pertahankan hak saya dan anak-anak saya sebelum terlambat.

“Selama berkahwin saya hanya fikirkan suami dan anak-anak. Menitikberatkan masa depan anak-anak hingga terlupa menjaga hak saya sendiri. Sementara suami langsung tidak hargai pengorbanan saya. Kelemahan saya kerana terlalu percaya dan sayangkan suami, ini balasan yang sama terima. Kesetiaan saya dibayar dengan air mata dan penyesalan yang teramat.’’

Itu cerita Norhawa panjang lebar.  Nasihatnya kepada wanita, jika suami ada tanda tanda nak beristeri lagi, biarkan dia kahwin, jangan ditahan, sebab dia tidak menghargai pengorbanan anda. Jadi lebih baik anda berpisah. Anda bentuk dan buka lambaran baru dalam hidup anda, supaya anda tidak menyesal sepanjang hayat.