Kalau Suami Tak Bagi Nafkah Tuntut Pada Waris

DCCK 23 APRIL 2017

 

“SAYA ingin bertanya apakah hukum undang-undang keluarga Islam kita ini berubah-ubah dulu lain, sekarang lain? Sebabnya, dulu bila bekas suami kata dia tak ada kerja, maka dia tak boleh beri nafkah, maka dia terlepas daripada jalankan tanggungjawabnya beri nafkah anak-anak. Tunggang langganglah saya bekerja membesarkan 4 orang anak yang masih kecil.

“Tetapi semenjak dua menjak ini saya terbaca dalam akhbar dan ada pulak ustad beritahu dalam ceramahnya, kalau suami tak mampu beri nafkah anak-anak setelah bercerai, mungkin kerana dia tidak bekerja atau sakit, maka bekas isteri boleh tuntut  nafkah daripada ibu bapa mertua, adik beradik bekas suami mahupun pakciknya.

“Persoalannya kenapa dulu hakim ke? peguam ke? mahupun pegawai di mahkamah syariah tak sebut saya boleh tuntut nafkah pada waris bekas suami? Malah kata mereka, kalau suami tak mampu nak buat macam mana? Langsung tak sebut saya boleh tuntut nafkah pada waris, Ini yang saya rasa pelik. Apa hal ni?’’ Itu kata Puan Sal ketika menghubungi penulis bertanyakan tentang perjumpaan Kumpulan Sokongan Ibu Tunggal (KSIT).

“Saya diceraikan dengan 4 anak, alasan suami saya tak layan makan minumnya. Tetapi sebenarnya waktu dia ada kekasih. Ini bukan cerita rekaan, saya jumpa sendiri bukti kasut, blaus dan pakaian dalam wanita dalam kereta suami, bila tanya dia kata kepunyaan isteri kawannya, sebab kawan pinjam keretanya.

“Bab jumpa benda-benda wanita dalam kereta dah banyak kali tetapi saya sabar, sambil berdoa supaya suami berubah. Tapi hampa, sebaliknya menjadi-jadi. Saya sedar kalau saya berkeras  saya akan diceraikan. Ke mana saya nak pergi? Saya tak ada kerja, dulu kerja kilang, tetapi selepas beranak pinak suami suruh berhenti, katanya dia boleh tanggung makan minum saya, tak pulak saya sangka begini jadinya.

“Namun sesabar saya akhirnya meletup jugak, bila makan minum di rumah dikurangkan, belanja sekolah anak-anak disekat. Jadi apa harus saya buat? Nak diam juga? Bila saya melenting, inilah peluang dia ceraikan saya.

“Memang saya takut kena cerai, kerana saya tak ada kerja, tak duit. Cerai di tangan suami, itu haknya. Menangis air mata darah pun saya tetap diceraikan. Maka mulalah episode terseksa dalam kehidupan kami anak beranak.

“Atas nasihat adik beradik saya buat tuntutan ke Mahkamah Syariah. Kemudian mahkamah suruh dapatkan peguam tapi saya tak mampu, suruh pulak runding dengan Biro Bantuan Guaman. Tapi perjalanan biro guaman memang lembab. Panggil bekas suami datang mahkamah sekali pun dia tak datang. Sementara itu anak-anak nak makan, nak sekolah, saya terjerat. Sebab saya tak ada duit dalam tangan. Untung emak bantu. Adik beradik pun bersimpati.

“Saya pernah pergi tempat suami bekerja. Setelah lebih setahun bercerai, orang pejabat dia kata, bekas suami dah berhenti dan bekerja di Sabah. Terkejut berok saya. Nak cari macam mana? Tanya pulak mak mertua, beliau pulak kata dia tak tahu mana anaknya bekerja.

“Kerana terlalu susah saya minta tolong bantuan mertua. Dia kata dia pun tak ada duit. Anak anaknya pun susah. Sedangkan saya tahu bekas mertua ada kebun sawit, 3 ekar, dan ada tanah yang disewakan kepada sebuah syarikat untuk parking lori-lori mereka.

“Kalaulah ketika itu saya tahu emak mertua boleh disaman dan dituntut beri nafkah cucu-cucunya dah tentu saya buat. Tetapi ketika itu hakim ke, peguam ke tak beritahu hak saya. Sedih dan sakitnya hati kerana penganiaan suami terhadap saya dan anak-anak hanya Allah yang tahu betapa kejamnya mereka kepada darah daging dan waris mereka sendiri.

“Saya rasa pelik suami bila bencikan isterinya, si isteri bukan sahaja dicerai, malah ditinggalkan bontang macam buang kain buruk, sedangkan dia menganiaya anak-anaknya sendiri dengan tidak beri nafkah langsung. Sedangkan anak-anak zuriat mereka yang bakal mendoakan dia bila dia mati dan dalam kubur nanti.

“Lagi pelik, si emak bapak langsung tak nasihat anak lelakinya, bahawa yang dicerai itu isteri, sedangkan anak-anak tanggungjawabnya, kegagalannya beri nafkah makan pakai, dan tempat tinggal kepada anak-anak dia akan disoal di akhirat nanti. Anak- anak dan isteri adalah amanah Allah yang dipertanggungjawab kepadanya, dan kegagalannya akan dipersoalkan. Apakah itu pun mereka tak sedar?

“Ini juga menjadi tangguangjawab hakim mahkamah syariah, peguam dan ustad-ustad supaya menyedarkan suami tentang tanggungjawab seorang suami dan ayah kepada bekas isteri dan anak-anaknya. Kegagalan hakim, peguam dan mak bapak menyedarkan anak lelakinya tentang tanggungjawabnya, mereka juga akan disoal di akhirat nanti. Kalau si suami itu bodoh dan jahil agama dia mesti diberitahu jika engkar maka hukuman sewajarnya mesti dilaksanakan.

“Berbalik kisah bekas suami yang didakwa bekerja di Sabah, sebenarnya dia bohong. Dua tahun selepas bercerai, adik saya jumpa dia sudah berkahwin lagi. Bangkai gajah mana boleh ditutup dengan niru akan terhidu juga busuknya.

Untuk puaskan hati saya cari dan bertemu dengan bekas suami, bila saya minta nafkah, dia kata  tak ada kerja. Makan minumnya ditanggung oleh isteri barunya seorang janda anak dua. Wanita itu bekerja.  Saya tak percaya. Jika dia berbohong dia akan jawab depan Allah nanti, kerana tidak jalankan amanah Allah.

“Namun saya yakin dengan nasihat emak saya kini dah arwah, kata emak saya dah jalankan tugas cari dan minta nafkah dari bekas suami, bermakna jika dia tak bagi nafkah, maka dia berhutang, dia bukan sahaja berhutang dengan saya, malah dengan Allah, kerana tidak jalankan amanah Allah. Biarlah Allah sahaja membalasnya.

“Berbalik kepada kisah pahit maung hidup saya setelah diceraikan, atas nasihat emak saya mesti bangkit. Mesti bekerja cari duit untuk beri makan pakai anak-anak. Kerana emak pun bukan orang senang, emak gadaikan rantai labuhnya bagi saya duit buat modal berniaga.

“Mula-mula saya berniaga goring pisang, kuih keria dan donat, sambil buat kuih lapis talam jika ada oder. Saya berniaga depan pejabat. Ada pulak orang Cina kedai kesiankan saya dia bagi meja untuk berniaga depan kedai kopinya. Memang laku. Agaknya sebab murah.

“Ketika ke pasar beli bahan berniaga saya terjumpa kawan sekolah selepas berbual dia suruh saya hantar kuih, keria, donat, kuih rengas di tempatnya, sebab dia dapat tender kantin pejabat dan perlukan kuih. Lepas tu suruh pulak saya hantar mi siam Singapore dan mi kari.

“Sungguh saya tak sangka, ini memang rezeki anak-anak. Tak lama kemudian kawan saya ini  dapat satu lagi tender kantin pejabat. Adik beradiknya membantu. Saya tumpang rezekinya lagi. ketika itu jelas kehidupan kami yang dahulu susah kini bertambah senang, bukan senang banyak duit, tetapi anak-anak senang dapat makan dan ada duit pergi sekolah.

“Dengan duit berniaga dari rumah sewa kecil, saya pindah ke rumah lebih besar bagi mudahkan saya memasak. Tetapi tetap duduk rumah setinggan ujugak. Anak-anak tak pernah bersungut bantu saya siapkan bahan jualan, malah makan mi siam atau mi kari setiap hari pun mereka tak pernah merungut.  Malah mereka gembira dan bersyukur dapat makan. Tak payah lagi makan biskut keras cecah air kopi seperti dulu.

“Syukur berkat kerja keras, kesedaran, keinsafan, kesedihan anak-anak melihat susah payah saya  bekerja mencari rezeki membesarkan mereka, anak-anak tak ada masalah belajar. Semua 4 orang anak saya lepas seorang seorang masuk sekolah berasrama bila naik tingkatan 4. Bila semua masuk sekolah asrama dan masuk university saya kehilangalah tenaga pekerja percuma. Saya terpaksa cari pembantu gantikan mereka.

“Kini setelah semua anak-anak bekerja, saya renung kembali kesusahan saya dahulu dan kesenangan saya sekarang, walaupun saya tak ada rumah banglo, tetapi saya dapat beli rumah teres harga murah. Dengan titik peluh saya sendiri.  Saya tak terfikir saya boleh berjaya saperti ini kalau saya tak bercerai dahulu. Sebab perangai suami suka joli tak ada simpanan.

“Jelas sekarang saya dapat tahu bekas suami tidaklah sesenang saya. Anak bertambah 3orang  selain 2 orang anak tiri yang sering mengganggu fikirannya setiap hari. Maklum duduk menumpang rumah arwah ayah mereka,

“Dia tak mampu beli rumah sendiri. Agaknya kalau anak-anak tirinya halau dia keluar, tak tahu ke mana dia merempak. Nak sewa rumah dengan harga sewa sekarang memang sulit. Kerja pun macam `patuk-patuk ayam,’ sekejap kerja, sekejap menangganggur.

“Saya yakin ini semua kerana doa dia, dulu dia selalu kata tak ada kerja menumpang pada isteri. Suka berbohong kerana tak mahu bagi nafkah anak. Sekarang Allah sampaikan doanya dia susah dan menumpang hidup dengan belas ikhsan anak anak tiri dan isterinya.

“Dia lupa rezeki yang Allah beri padanya adalah rezeki 4 orang anaknya. Tetapi dia tak mahu bertanggungjawab. Sanggup berhohong kerana tak mahu beri nafkah, sekarang masanya dia terima balasan Allah ketika di dunia lagi. Kata-kata arwah emak saya kini jadi kenyataan. Kini saya rasa bekas suami gigit jari tengok kanak-anaknya sudah bekerja dan belajar di universiti sedangkan dia masih terkial-kial besarkan anak-anak dengan isteri barunya .

“Lebih malang lagi 2 orang anaknya tak mahu bersekolah dia lebih sayangkan motor daripada buku. Dan percaya motor boleh beri dia wang berbanding belajar. Saya tak korek rahsia tetapi diceraitakan oleh bekas biras. Katanya lagi, bekas mertua saya di akhir hayatnya pernah meminta bekas suami nak jumpa anak-anak saya, tetapi hajatnya tak kesampaian, kerana bekas suami malu nak jumpa saya dan anak-anaknya. Ini dinamakan sesal kemudian tidak berguna.’’ Itu cerita Sal yang keciwa dengan mahkamah syariah yang langsung tak beri nasihat kepada lelaki yang menceraikan isterinya, bahawa nafkah anak-anak adalah tanggungjawabnya, tak beri nafkah bermakna dia berhutang dan hutang akan membawa dia hingga ke dalam kubur dan dipersoal di akhirat nanti.