Kerana Duit Suami Suka Berbohong?

DCCK   14 MEI 2017  Gambar hiasan semata-mata

“KEJUJURAN, kesetiaan dan saling percaya mempercayai merupakan resipi penting dalam hubungan suami isteri. Kerana tanpanya tempanglah rumah yang dibina setelah sekian lama menjalin hubungan mengikat kasih setia ketika bercinta.’’ Itu pandangan Myzara dalam emel pendeknya dan ketika kami berbual di telefon baru-baru ini.

“Kejujuran bukan sahaja diukur kerana tidak ada kesetiaan kepada pasangannya, kerana terlibat dengan skandal ataupun bercinta lagi, tetapi juga boleh berlaku apabila salah seorang pasangan berlaku tidak jujur dalam mengendalikan kewangan.

“Saya tak bercakap pasal orang lain, tetapi diri sendiri, walaupun saya percaya apa yang saya lalui ini berlaku juga kepada ramai wanita lain, tetapi mereka mendiamkan diri dan berserah kepada takdir setiap apa yang berlaku ke atas dirinya, seperti saya.

“Terus terang saya ceritakan tentang perangai dan kelakuan suami saya Ky yang suka berahsia tentang simpanan duit. Tetapi katanya apa yang dia buat adalah untuk keluarga. Kalau untuk keluarga kenapa mesti rahsiakan. Dulu masa awal kami kahwin dia galakkan saya simpan duit untuk beli rumah. Katanya sampai bila kami mesti duduk rumah sewa. Saya setuju.

“Lepas itu dia kata hairan mengapa saya mesti beri duit kepada emak saya, sedangkan kami sudah kahwin, sepatutnya saya simpan untuk keluarga sendiri. Oleh kerana saya beri emak duit setiap bulan RM300 semasa saya belum kahwin hinggalah selepas kahwin, Ky suruh saya simpan jumlah itu untuk keluarga. Tetapi saya mesti beri emak RM100 paling kurang untuk emak, saya tak sampai hati tak beri emak langsung. Ky diam.

“Tetapi Ky masih tak puas hati, katanya saya tak jujur, jadi dia minta supaya dia yang simpan duit itu. Katanya dengan simpanan saya campur simpanannya sendiri, kami boleh beli rumah. Oklah saya ikut. Tapi katanya RM100 itu pun terlalu banyak buat emak saya jadi saya kurangkan lagi beri emak RM50 sebulan saja. Tapi hati kecil saya amat sedih.

“Saya kira-kira kalau sebulan Ky dapat kumpulkan RM400 sudah pasti dalam 5 atau 6 tahun kami boleh beli rumah segera, kalau ada lebih boleh buat ubah suai rumah. Saya pun macam mak Jenin, mulalah melihat iklan jual rumah. Sebab teringin sangat nak beli rumah. Kerana duduk menyewa pun mahal juga lebih baik beli rumah sendiri.

“Bulan berganti tahun, dan saya pun lahirkan anak pertama. Bila dah ada anak memang belanja keluarga bertambah, macam-macam benda mesti disediakan. Terutama nak bayar duit pengasuh anak, saya mula bincang dengan Ky saya minta dia peruntukan duit untuk susu dan lampin bayi, tetapi alasannya duit tak cukup. Nak bayar petrol dan duit pasar. Sebaliknya dia larang saya beri pada emak lagi. Kalau setakat RM50 tak sebanyak mana pun.

“Saya tak puas hati bila dia larang saya beri pada emak saya RM50 sebulan, sedangkan dia beri pada emaknya RM100 sebulan. Jumlah itu belum masuk bila emaknya datang ke rumah minta dia duit lagi selain belikan barang-barang keperluannya. Pada saya jumlah itu lebih banyak daripada apa yang saya beri pada emak saya.

“Kata Ky saya tak boleh larang berapa banyak dia hendak beri pada emaknya. Betul. Tetapi dia kena lihat pandapatannya sendiri yang tak sebanyak mana. Bukan hendak menghina, tetapi takkan emaknya tak faham pendapatan Ky tak banyak kalau setakat lulusan tingkatan lima saja, sedangkan saya ada diploma. Kalau emaknya sedar diri tentu dia tahu buat pertimbangan.

“Sebaliknya bila dia lihat Ky beli kereta selepas kami kahwin, padanya itu duit gaji Ky, sedangkan saya yang bayar ansurannya setiap bulan, sememangnya kereta itu saya beli atas nama Ky sebab saya tak pandai memantu. Ketika itu Ky ada lessen motor dan kereta.

“Namun fikirkan kebahagiaan keluarga, saya diamkan semua itu, dan berlarutannya permintaan Ky dan emaknya setiap bulan kepada saya. Sebagai contoh bila emaknya datang minta duit pada Ky, Ky akan minta pada saya. Kerana nak jaga maruah suami, saya beri juga. Tetapi apa yang saya kesalkan ketika itu jumlah ahli keluarga kami sendiri sudah bertambah, kehadiran anak kedua tentu perlukan perbelanjaan yang banyak. Tetapi Ky tetap cara lama terlalu berkira untuk berbelanja kepada keluarga.

“Pernah saya berterus terang pada Ky dengan gaji saya yang tak seberapa banyak, dan gajinya sendiri terlalu rendah, saya tak mampu lagi keluarkan duit yang banyak setiap bulan untuk emaknya bila datang. Emak Ky kena minta adik beradik yang lain. Tetapi Ky tetap pertahankan sebagai anak lelaki dia mesti bertanggungjawab kepada emaknya terutama kerana ayahnya sudah lama meninggal dunia.

“Saya faham itu tanggungjawabnya, maka dia mesti berberbelanja mengikut kemampuannya berapa jumlah gajinya. Bukan bermakna bila emaknya datang dan perlukan duit, dia minta duit saya. Bila saya tak ada duit, dia suruh saya pinjam pada kawan-kawan saya. Patutkah saya buat seperti itu? Sepatutnya Ky bercerita jujur pada emaknya dan beri ikut kemampuan.

“Bila saya bercakap terus- terang seperti itu, Ky mengamuk, katanya ini semua kerana saya suka sangat beli kereta. Dan dia terpaksa hantar saya ke tempat kerja, dan duit banyak terbuang kerana petrol. Kalau nak kurangkan belanja rumah Ky ugut jual kerata, biar saya pergi kerja naik bas, dia naik motor, jadi dia boleh simpan banyak duit.

“Pernah saya berbincang dengan Ky saya hendak belajar memandu kereta, jadi saya boleh pergi kerja sendiri dia tak perlu keluar duit banyak untuk petrol, dan dia boleh beri duitnya pada emaknya. Tapi dia larang, alasannya saya tetap membazir duit kerana berkereta ke pejabat. Pada saya itu duit saya bukan minta duit dia.

“Kerana rasa tak puas hati saya tanya Ky sudah berapa banyak duit yang terkumpul untuk beli rumah. Malangnya kata Ky tak sampai RM2,000. Terkejut beruk saya. Takkan sebanyak itu, saya beri dia setiap bulan RM200 untuk dia simpan, dan dia pun simpan RM200. Kalau hanya setakat RM2,000 ini tak betul.
“Alasan Ky kerana saya banyak minta duit padanya setiap bulan, harga petrol meningkat dan macam-macam lagi. Saya tak percaya. Dan saya minta dia tunjukkan bukti. Apa lagi, Ky mengamuk dan tuduh saya sengaja mencari gara-gara tidak percayakan dia.

“Kerana tak percaya simpanan selama 6 tahun cuma RM2,000 sahaja, maka saya cadangkan pada Ky biar kali ini saya pulak buat simpanan. Dan saya berjanji akan tunjukkan bukti simpanan setiap bulan. Malah kalau Ky tak percaya, dia boleh simpan buku simpanan supaya saya takkan keluarkan duit simpanan. Kerana isu tak yakin simpanan sebanyak itu. Ky bertegang leher tuduh saya tak percayakan dia.

“Satu hari dengan kuasa Allah saya tak berkerja kerana demam dan hari itu tiba surat dari PNB atas nama Ky terkejut beruk saya. Sebab selama ini Ky tak pernah beritahu dia ada simpanan dalam ASB. Hati saya mula buat kesimpulan mungkin di sini Ky menyimpan. Ky tak bercakap pun pasal surat yang diterima. Dia membisu.

“Kerana Ky membisu, saya mula jalankan siasatan.  Saya bongkar laci dan kotak milik Ky.  Dengan takdir Allah saya jumpa surat ASB, tahulah saya, rupanya Ky ada simpanan sebanyak RM23K. Tambah terkejut saya tak percaya apa yang saya lihat. Jelaslah sekarang Ky tidak jujur pada saya selama ini. Mengapa dia sorok simpanan itu, kenapa dia tak beritahu saya. Meleleh air mata saya kerana sedih ditipu.

“Terbongkarnya rahsia itu membuat saya menilai diri sendiri. Betapa bodohnya saya selama ini. Sejak itu saya terpaksa jadi keras hati. Saya terus terang pada Ky saya tak dapat lagi berikan RM200 pada dia kerana saya terpaksa bayar hutang kawan yang selama ini saya pinjam setiap kali emak Ky datang ke rumah minta duit. Biasanya Ky akan minta pada saya dan suruh pinjam kalau saya tak berduit.

“Sehingga kini 2 tahun berlalu, Ky masih belum bercerita tantang simpanannya dalam ASB. Dia fikir saya tak tahu. Tapi saya yakin, kini simpanan itu sudah tentu bertambah banyak kalau Ky tak keluarkan. Namun saya terpaksa merangkak dari bawah berusaha buat simpanan sendiri. Saya yakin saya belum terlambat.

“Apa yang menyedihkan Ky sanggup sekat makan minum keluarga semata-mata untuk simpan duitnya sendiri. Dia tak pernah bawa kami bercuti, selain balik kampungnya atau berkelah 4 kali ke PD selama 8 tahun kami berkahwin. Anak-anak tak pernah dibawa bercuti baik ke Gentaing, Cameron Highland, atau ke Pangkar apa lagi ke Langkawi dan ke Legoland di Johor. Itu semua cerita mimpi buat anak-anak saya.

“Sedangkan emak Ky bukan sahaja pernah mengikut rombongan makan angin ke Kelantan dan Terengganu, malah ke Langkawi, Pulau Tiuman, Hadnyai dan Puket pun emak dan adik-adiknya pernah sampai. Setiap kali hendak melancong, Ky lah tempat mereka meminta bantuan, sebab mereka tahu Ky tak pernah menolak permintaan mereka walaupun tak banyak.

“Ky mungkin anak yang baik kepada emaknya, tetapi macam mana kepada anak-anaknya sendiri? Patutkah anak-anak mesti jadi korban? Mungkin saya terpaksa bersabar dalam soal ini, namun saya tidak mahu lagi berdiam diri dalam soal membuat simpanan. Saya terpaksa berfikir untuk masa depan saya sendiri. Mana tahu saya boleh beli rumah sendiri daripada simpanan saya. Sebab Ky sudah pasti takut berbelanja dia lebih yakin dengan simpan duit untuk keselesaan dan kesenangannya sendiri.’’ Itu cerita Myzara yang keciwa bila suami tak jujur dan berbohong tentang simpanannya. Apakah Ky ada motif lain bila duitnya sudah banyak?