Kesabaran Bukan Rasepi Kebahagiaan Keluarga

DCCK 17 SEPT 2017 GAMBAR ADALAH HIASAN SEMATA-MATA

“SEMASA hayatnya emak saya sentiasa menasihati kakak-kakak dan saya sendiri supaya sentiasa bersabar, kerana selain sabar itu sebahagian daripada Iman, katanya, kesabaran juga boleh menyelamatkan berumahtangga kita daripada segala permasalahan.

“Benar kakak-kakak saya mengamalkan apa yang dinasasihati oleh emak. Tetapi tidak semua mereka berjaya menyelamatkan rumahtangga mereka daripada gelora dan gelombang masalah keluarga. Itu cerita Puan Norhabibah dalam e-melnya dan ketika kami berbual di telefon.

Sebabnya bukan semua 3 orang kakak saya ini ada kesabaran yang tinggi dalam diri mereka seperti emak saya. Mungkin kakak yang tua berjaya mempertahankan keluarganya, kerana dirinya sendiri bersifat pendiam dia cukup sabar. Tetapi daripada apa yang saya lihat kehidupanya tidaklah bahagia, sebaliknya kakak banyak mnemendam rasa, menanggung penderitaan dari perbuatan suami yang kurang bertanggungjawab.

“Sementara 2 orang kakak saya lagi teruk, mungkin kerana dirinya berpelajaran, bekerja dan bukan pendiam seperti kakak tua, mereka tidak dapat bertahan dengan kerenah suami mereka yang menurut mereka suka melepaskan masalah keluarga pada isteri dan bersikap lepas tangan.

“Contoh, kerana mereka berkongsi pendapatan, menguruskan rumahtangga, maka setiap kali timbul masalah kewangan, suaminya akan melepaskan masalah itu kepada kakak. Saya cukup kesian dengan kak Iman dialah yang bantu bayar ansuran kereta, apabila suaminya buat keputusan beli motor besar.

“Alasan suaminya, oleh kerana dia tidak gunakan kereta ke tempat kerja, maka kak Iman lah yang kena bayar. Kerana duitnya habis untuk bayar ansuran motor besar. Sedangkan dia ada 2 buah motor lagi yang digunakan bila-bila ikut keselesaannya.   Masalahnya, kalau dah tahu tak cukup duit, kenapa beli motor besar dan seksa isteri suruh bayar ansuran kereta?  Guna aja motor lama. Atau jual aja motor tersebut untuk tampung bayar hutang kereta.

“Kerana masalah seperti kinilah menyebabkan mereka sering bertelingkah puncanya kerana tak cukup duit buat belanja keluarga, kerana anak sudah bertambah 3 orang yang perlu tambahan perbelanjaan untuk pengasuh, dan yuran tadika serta sekolah. Takkan itu pun suami kak Iman tak faham dan tak mahu membantu.

“Bila mengadu pada emak, seperti biasa emak ketika itu masih ada suruh kakak bersabar. Malah kata emak dia bersedia carikan duit tambahan untuk ansur bayar kereta kakak. Sebab emak tak mahu tengok kakak susah. Dan emak tak mahu tengok kakak bercerai berai. Alasan emak nanti anak-anak kehilangan ayah mereka.

“Masalah yang sama juga berlaku pada kak Era. Masalah kak Era pulak, kerana mertuanya sentiasa minta duit tambahan untuk bantu adik-anak suami kak Era sambung belajar. Setiap bulan suami kak Era hantar duit pada emaknya paling kurang RM200 sebab gajinya pun taklah banyak sangat. Tetapi duit tak pernah cukup. Mak mertuanya mesti mintak tambah.

“Jadi setiap kali ada permintaan daripada emak mertuanya, maka Kak Era dicari untuk bantu, sedangkan gaji kak Era yang berkelulusan setakat SPM itu memang sedikit, jadi mana nak cari duit tambahan. Pendek kata kerana masalah duit jugalah mereka sering berselisih faham.

“Pendapatan suami kak Era juga bukan banyak, dia pun sama-sama lulus SPM aja. Sepatutnya sebagai emak, janganlah menyusahkan anak minta duit setiap bulan. Sebab si anak pun ada tanggungjawab mereka ada isteri dan anak. Untuk cukupkan belanja keluarga, mereka terpaksa menyewa rumah murah di belakang rumah tuan rumah.

“Masalahnya rumah sewa dan rumah milik tuan rumah itu pun akan dirobohkan tak lama lagi sebab nak diambil oleh pemaju untuk buat projek mereka. Kalau ini terjadi ke mana kak Era nak pindah, tentu duduk flat, masalahnya harga sewa rumah flat pun mahal.

“Dipendekkan cerita, saya perhatikan nasihat emak supaya bersabar demi kebahagian keluarga dan kedamaian rumahtangga tidak membawa erti dalam kehidupan generasi sekarang, sebab kini ramai wanita bekerja, dan malangnya, ramai suami meminta bantuan daripada isteri mereka jika ada masalah kewangan.

“Saya bawakan cerita ini sebab ia berkait rapat dengan kehidupan saya. Ketika saya berkenalan dengan Kass saya beritahu kepada emak, mungkin saya akan berkahwin dengan Kass dan dia akan datang menghantar lamaran tidak lama lagi.

“Mak memang gembira sangat dan seperti biasa emak nasihatkan saya supaya banyak bersabar, sebab sabar boleh membendung semua masalah kerana emak tahu tugas saya akan banyak menjarakkan saya dengan Kass. Kalau emak suruh berhenti kerja, memang saya tak mahu, sebab bukan senang nak dapat kerja yang secocok dengan jiwa saya.

 

“Walaupun saya dan Kass bekerja di KL, tetapi tugas saya banyak di luar, yang mungkin banyak memisahkan saya dengan Kass. Contoh, dalam sebulan mungkin 15 atau 20 hari saya akan berada di KL, sementara waktu lain saya banyak kerja luar yang memerlukan saya sentiasa berada di luar KL. Ini yang merunsingkan emak. Kerana pada emak, bila dah kahwin isteri mesti duduk serumah dengan suami.

“Namun saya tolak pandangan emak, dengan soalan apa kata kalau saya kahwin dengan tentera, ketika dia bertugas luar mungkin memakan masa 3 atau 4 bulan macam mana pulak keadaan isteri yang ditinggalkan? Emak terdiam.

“Oleh kerana kami dah buat keputusan hendak berkahwin maka Kass bawa saya bertemu dengan emak dan kakaknya di negeri sebelah pantai timur sana. Pada awal perkenalan saya lihat kehidupan mereka biasa sahaja, jadi tak adalah masalahlah saya menumpang sama. Keluarganya bukan orang kaya, sebab pada saya kalau kaya tentu keluarganya akan memilih menantu mengikut selera dan kehendak mereka. Jarang-jarang mereka terima pilihan anaknya. Itu fikiran saya, tetapi terbukti pandangan saya salah.

“Sebaik berkenalan dengan Kass. Kass sudah merancang untuk beli rumah sendiri, kebetulan di pangsapuri yang Kass sewa sudah naik projek pangsapuri sederhana harganya, rasanya dengan pendapatan kami berdua kami mampu memilikinya. Kata Kassa jika saya setuju dia akan buat tempahan pangsapuri tersebut.

“Nak jadikan cerita satu hari emak dan kakak Kass datang berjalan-jalan ke KL. Oleh kerana Kass bekerja dan kebetulan saya bercuti, maka saya bawa mereka berjalan sambil makan-makan. Ketika itulah saya tunjukkan kepada mereka pangsapuri yang Kass sudah tempah dan di situlah kami akan tiggal nanti. Saya berceria dengan seikhlas hati, tanpa saya sedari mereka berdua terdiam bila dengar cerita saya.

“Setelah 2 hari di rumah Kass mereka balik. Seminggu selepas itu saya terima sepucuk surat dari emak Kass. Terkejut saya sebab kandungannya amat menyentuh hati dan jiwa saya, bahasanya juga tidak enak didengar. Saya membaca dengan lelehan air mati.
“Sungguh tak saya sangka emak dan kakak Kass sanggup tuduh saya hendak kawal duit ringgit Kass. Sebab kata mereka ketika belum berkahwin lagi, saya sudah pujuk Kass beli rumah untuk saya, apalagi setelah berkahwin, tentu lebih teruk lagi.

“Kata mereka entah apa lagi saya telah lakukan ke atas Kass hingga Kass boleh jadi macam lembu dicucuk hidung sanggup mendengar dan ikut apa juga cakap saya. Kalau sebelum kahwin Kass sudah jadi bodoh tak tahulah apa nasib Kass bila kahwin dengan saya nanti.

“Tambahnya lagi mereka tidak akan meminang saya, kalau Kass nak kahwin juga buatlah sendiri, mereka tak mahu masuk campur.  Mereka bersyukur dapat melihat semua kejadian ini sebelum kami bertunang dan berkahwin. Inilah kuasa Allah kata mereka yang menunjukkan betapa zalimnya saya cuba kawal hidup Kass. Mereka juga berdoa supaya Kass terselamat dari genggeman saya.

“Sedihnya hati hanya Allah yang tahu, saya tak pernah pujuk Kass beli pangsapuri tersebut, sebaliknya itu impian Kass sendiri sebab dekat dengan tempat kerjanya. Lagi pun saya sudah beli pangsapuri saya sendiri. Cuma saya tak beritahu emak Kass, sebab tak ada niat nak menunjuk-nunjuk tentang kemampuan saya.

“Sebenarnya Kass ada beritahu saya dia akan baik pulih dan besarkan rumah emaknya di kampung bila dapat kenaikan gaji. Cuma saya tidak beritahu mereka, biarlah jadi rahsia Kass untuk beritahu berita gembira pada emak. Malangnya saya dipersalahkan dan ditohmah dengan pelbagai keburukan. Lebih menyakitkan hati bila merek tuduh saya sudah bomohkan Kass hingga Kass bodoh macam lembu dicocok hidung,

“Sakitnya hati hanya Allah sahaja yang tahu. Bila saya beritahu emak apa yang berlaku, emak suruh sabar. Kata emak saya bukan hendak kahwin dengan emak dan kakaknya. Lagi pun bukan lama sangat emak Kass hendak hidup. Jadi jika saya sabar maka saya bahagia akhirnya.

“Tetapi saya tak dapat terima tuduhan emak Kass. Malah, jika saya kahwin pun saya tak akan dapat hidup dengan tenang dan aman. Sejak itu saya jauhkan diri dari Kass dan tidak beritahu tentang surat emaknya. Sebab saya tak mahu mereka bergaduh anak beranak. Malah saya minta dia cari gadis lain yang sesuai di hatinya. Sejak itu saya terus hilangkan diri daripada Kass.

“Tiga lepas itu saya dapat berita Kass berkahwin dengan gadis pilihan emaknya dari negerinya sendiri.  Saya tak kesal tak berkahwin dengan Kass walaupun saya mencintainya sepenuh hati, tetapi saya lebih rela berpisah demi kebahagian emak dan Kass kerana saya pasti perkahwinan saya dengan Kass tidak akan ada kebahagiaan kerana hati emak dan kakaknya telah terguris dengan buruk sangka terhadap saya.

“Apa yang ingin saya ceritakan di sini, kesabaran bukan rasepi kebahagiaan rumahtangga, malah boleh menghancurkan diri sendiri. Berterus terang jalan terbaik. Biarlah sakit dan pedih, tetapi ada kebahagiaannya satu hari nanti. Kini saya sudah pun berkahwin, rasepi kebahagiaan saya mesti berterus terang walaupun ada ketikanya menyakitkan.’’ Itu cerita Norhabibah panjang lebar tentang pegangan hidupnya.

Benar! Janganlah terlalu banyak berkorban untuk kebahagiaan pihak lain. Kerana pengorbanan anda tidak semuanya dikenang.