Masalah Cerai Jika Nikah Di Sempadan

 

DCCK  22 OCT 2017

“DAHULU saya tak pernah terfikir bahawa nikah di sempadan atau di negeri Siam sebenarnya membawa banyak masalah kepada wanita. Sebab ketika hendak nikah tidak ada satu pun masalah timbul, semuanya berjalan dengan mudah. Kata orang yang bawa dan menguruskan pernikahan kami, lepas nikah bolehlah daftarkan ke negeri sendiri tak ada masalah. Dan semuanya jadi senang dan sah di Malaysia.

“Tapi kalau nak berpoligami di Malaysia susah, banyak masalah, apabila isteri diberitahu. Jadi kalau nak mudah tanpa sebarang masalah, nikah senyap-senyap kat sempadan, isteri pertama tak tahu dan tak boleh bantah, sebab nikah dah sah, dan wanita dilindungi undang-undang jika daftarkan di Malaysia. Itulah antara sebab saya percaya dan bila di ajak nikah saya setuju fikirkan pernikahan saya akan didaftarkan nanti. Itulah janjinya. ‘’ Demikian cerita Noratikah ketika kami ditemukan oleh temannya.

“Biasalah kak itu janji sebelum nikah, dah nikah lain ceritanya, sekarang baru dia tahu betapa susahnya nak lepaskan diri daripada ikatan suaminya. Dua tahun berlalu sampai sekarang tak didaftarkan lagi. Bukan sahaja duit habis, hidup tak pernah tenteram apa lagi bahagia.’’ Itu sambung cerita kawan baik Atikah, puan Salimah.

Kata Salimah lagi, sejak awal lagi saya tegah dia nikah dengan suami orang, tetapi orang tengah hangat bercinta mereka tak pakai nasihat kita, dia lebih percaya lelaki yang akan menipu dia, janji siapa pun boleh, bila rahsia dah terbongkar baru kita tahu siapa suami kita tu.

“Sudah jadi lumarah alam dan adat manusia bila hendak mengejar kebahagian, kesenangan dan kemewahan mereka tak pernah mahu fikir resiko di sebalik kejayaan yang hendak mereka capai.

Kesenangan tidak datang bergolek, sebaiknya kita mesti usaha sendiri. Lagi pun apa salahnya kalau tak kahwin, jadi andartu sampai tua, atau jadi ibu tunggal. Jagalah anak dengan baik, kejayaan anak-anak akan beri seribu satu kebahagiaan dalam hidup kita.

“Pada pandangan saya tidak  akan ada kebahagiaan jika menumpang kebahagiaan orang lain, hidup kita tidak akan tenteram, sebaliknya sering dilanda rasa gelisah dan tidak tenteram, terutama jika dilakukan secara bersembunyi. Mana ada wanita yang sudi di kongsi kasih mereka. Mereka diam bukan bermakna anda diterima mungkin takutkan tindakan suami, dan jangan lupa doa isteri yang dizalimi akan di terima Allah,’’ itu cerita Salimah lagi.

“Sebenarnya saya berkahwin kerana silap sendiri, dengar cerita sebelah pihak, kata Karl dia tidak bahagia kerana isterinya garang, sering mencemohnya kerana dia datang dari keluarga dia orang kampung, sedangkan isterinya orang bandar. Lagi satu sebab kerana isterinya tidak sukakan keluarganya hinggakan anak dah 4 orang, emak ayahnya cuma 3 kali datang dan tidur di rumahnya sementara  adik beradiknya tidak berani datang sebab tidak disukai oleh isterinya.’’ Itu cerita Noratikah mengapa dia simpati hingga sanggup nikah dengan Karl.

“Namun saya tidak mengabil tindakan tergesa-gesa, 2 tahun lamanya kami berkawan dan memang jelas Karl lebih lama di luar rumah daripada berada di dalam rumah bersama keluarganya. Katanya hati dan jiwanya tidak tenang di rumah, selain kena leter Karl dikatakan tidak pernah beri duit secukupnya kepada anak isteri. Walaupun kata Karl, dia member tiga suka daripada pendapatannya kepada isterinya, ini adalah kerana gaya hidup isteri Karl yang suka berbelanja mewah, sebab itu cara dia dibesarkan oleh ibu bapanya.

“Tabiat boros sikap mewah berbelanja ini dibawa oleh isteri Karl dalam mendidik anak-anaknya seramai 4 orang itu, sebab itu mereka sering tak sefahaman kerana duit. Karl dikatakan tidak beri duit secukupnya kepada isteri dan anak-anaknya. Itu cerita Karl.

“Kerana sering sugul sebab tak berduit, sayalah yang banyak membantunya terutama makan, bila keluar makan samaada tengah hari atau malam, sayalah yang belanja. Kerana Karl kata dia tak cukup duit. Jadi saya amat simpati padanya. Dan kerana simpati kinilah akhirnya saya termakan pujuk rayunya supaya kami berkahwin.

“Sebenarnya di sinilah kesilapan saya, kalau belum kahwin dengan dia lagi saya tahu dia tak berduit dan saya sering membantunya, jadi mengapa saya sanggup menikahinya. Memang saya bodoh, buta hati dan buta perasaan, mungkin saya mahu nikahi Karl kerana kesian. Inilah kesilapan saya yang menyusahkan diri sendiri.

“Sebenarnya pendapatan saya taklah banyak sangat, saya ibu tunggal tanggung seorang seorang anak yang masih bersekolah menengah. Rumah pun rumah murah sahaja. Saya mampu teruskan hidup walaupun bekas suami tak pernah bagi nafkah. Itu saya tak peduli.  Setahun sekali saya telefon dia minta duit untuk belanja raya, dia jawab tak ada duit, sedangkan saya tahu pendapatannya kasar. Tetapi bila dia kata tak ada duit, saya doakan `semoga Allah kabulkan pengakuan awak, agar awak memang tak berduit’. Memang doa saya dikabulkan Allah, hingga sekarang bekas suami saya tu sering bermasalah dalam pekerjaan, selalu tertukar-tukar dan melompat lompat kerja, dan hidupnya memang tak senang dan sering tak berduit. Allah kabulkan pengakuannya dia memang tak berduit.

“Berbalik pada cerita saya, memang pernikahan di Siam berjalan dengan mudah dan lancar.  Permintaan Karl supaya saya tak bocorkan rahsia perkahwinan kami walaupun kepada keluarga sendiri apa lagi kepada keluarganya. Dan perkahwinan kami menjadi rahsia.

“Tetapi selepas setahun pecah juga tembelang kami. Entah hantu mana beritahu pernikahan kami. Sejak itu Karl mula menjarakkan diri datang ke rumah saya. Pengakuan Karl untuk mendaftarkan nikah kami di Malaysia juga tidak di buat, setiap kali saya Tanya dia minta tangguh. Janjinya akan diuruskan, tetapi tak menjadi kenyataan.

“Melalui seorang kawan saya dapat tahu selama ini Karl berbohong menceritakan keburukan isterinya, sedangkan dia yang banyak menyusahkan isterinya, minta isterinya tanggung hutangnya, perbelanjaan hidupnya. Perangai buruk Karl lebih suka enjoy dengan kawan-kawan, merokok dengan buang masa ke tempat-tempat tertentu membuat isteri dan anak-anak tak selesa bila Karl balik, sebab setiap kali balik dia mesti minta duit pada isterinya.

“Kerana terkejut dan benci dengan pembohongannya saya bersemuka dengan Karl mengapa dia berbohong tentang isterinya. Saya jadi lebih sakit hati kerana duit dan barang kemas saya terpaksa saya gadai untuk bantu Karl rupanya dia gunakan duit itu untuk kegunaannya sendiri enjoy dengan kawan-kawannya. Saya tak tahu sama ada dia berjudi, atau tidak, tetapi yang pasti dia memang kuat merokok.

“Janji Karl untuk daftarkan pernikahan juga tidak menjadi kenyataan, di tambah pula dengan sikapnya suka berbohong, joli dan kuat merokok, akhirnya saya terpaksa buat keputusan untuk tamatkan perkahwinan kami, kerana ditakdirkan saya mengandung, macam mana nak daftarkan anak, saya tak mahu anak saya nanti jadi anak tak sah taraf.

“Akhirnya saya minta diceraikan, saya tak kesal dengan percerian ini, malah saya lebih kesal dengan kebodohan saya nikah dengan Karl dulu. Sejak minta cerai, Karl jadi lebih berang kerana saya mula sekat duit yang saya sering beri padanya. Saya tak mahu jadi bodoh lagi, sudahlah duit habis, pernikahan tidak didaftarkan, sebaliknya saya jadi tukang siapkan duit untuk dia enjoy dengan kawannya. Agaknya kerana itu juga isteri pertamanya tidak pedulikan pasal pernikahan kami, mungkin beliau juga minta diceraikan.

“Oleh kerana dia lebih sayangkan isteri pertama dan anak-anaknya, maka Karl melebihkan masa bersama mereka dan sering meninggalkan saya. Pada saya ini bukan masalah besar, malah mungkin lebih memudahkan untuk saya minta cerai.

“Kerana tidak tahan dengan sikap Karl saya bertanya kepada beberapa orang teman bagaimana cara mudah untuk bercerai, sebab kami nikah di sempadan. Ramai kawan yang tidak tahu, tapi kalau nak pergi nikah memang ramai tahu jalannya. Itu cerita Noratikah tentang masalahnya bagaimana hendak minta cerai jika bernikah di Siam.

Menurut seorang kenalan yang bertugas di Jabatan Agama beliau mencadangkan sesiapa yang ingin minta cerai sedangkan mereka nikah di sempadan dan pernikahannya langsung tidak didaftarkan di Negara ini, maka si wanita itu mestilah menjalani proses yang sama, pergi semula ke pejabat agama di mana dia dinikahkan dahulu dan ceritakan mengapa dia ingin meminta cerai.

Jika si suami tidak beri nafkah dan yang lebih penting si wanita itu mesti ada saksi untuk sahkan dakwaannya,  maka proses perceraian itu boleh dilaksanakan. Lebih penting dia mesti bawa bersama surat nikah yang dikeluarkan oleh tempat tersebut.

Apa yang jelas perceraian wanita yang bernikah di sempadan tidak boleh diselesaikan di negeri ini, pertama kerana dia tidak nikah di negeri ini dan tidak pula didaftarkan pernikahannya di sini. Apa yang sering berlaku pihak lelaki memang sengaja melambat-lambatkan usaha mendaftarkan pernikahan dia di sini, sebab takut rahsianya terbongkar dan kedua, kerana sudah pasti pasangan itu akan didenda seribu ringgit seorang.

Memang pernikahan mereka sah, tetapi pasangan tersebut tidak tertaklok kepada undang-undang mahkamah syariah negara ini. Di takdirkan si wanita mengandung, pihak jabatan pendaftaran akan sukar untuk daftarkan nama bapa si bayi tanpa menunjukkan sijil nikah negeri ini. Jadi jika anak tadi besar bagaimana pula dia hendak bersekolah? Dan apa akan jadi kepada anak bila dia besar dan dia mendapati namanya tidak ada bin atau binti? Ini tentu menyulitkan untuk si anak tadi mendapat kad pengenalan dan kewarganaannya.

Jadi sebaiknya jika suami tidak mahu daftarkan pernikahan di negeri ini, maka si wanita tadi mesti daftarkan pernikahannya di sini, demi masa depan anak jika dia merancang untuk ada anak dan mahu anaknya mewarisi apa juga harta yang ditinggalkannya nanti. Sebagai kesimpulan  kepada  wanita yang nikah di sempadan daftarkan pula nikah anda di negeri ini, walaupun suami anda enggan berbuat demikian. Jika belum daftar dan anda ingin bercerai pergilah semula ke tempat di mana anda dinikahkan dan bawalah saksi.