Mengapa Warga Asing Jadi Pilihan Gadis Tempatan

 DCCK  23  JULAI  2017    GAMBAR HANYA HIASAN SEMATA-MATA

MINGGU lalu kita sama-sama mengikuti kisah seorang ibu warga Malaysia yang terpaksa melarikan anaknya daripada suaminya, demi masa depan agama anaknya, kerana beliau bimbang anaknya yang dipelihara oleh ibu bapa mertuanya yang beragama kristian, kerana beliau sendiri ketika itu tinggal dan bekerja di luar negara dan dia tidak ada peluang atau jalan lain untuk membesarkan anaknya sendiri.

Namun minggu ini kisahnya agak berlainan sedikit kalau minggu lalu kahwin dengan warga asing yang berlainan agama, tetapi minggu ini perkahwinan gadis Malaysia dengan warga asing juga tetapi beragama Islam. Masalahnya lelaki ini pendatang tanpa izin.

Bagaimana pun seperti yang dijanjikan, minggu ini mari kita ikuti kisah seorang wanita Malaysia, Suraya namanya yang berkahwin dengan warga asing, iaitu seorang pemuda Bangladesh yang masuk masuk dan bekerja di negara ini.

Kisah ini diceritakan oleh Haslina setahun lalu melalui e-mel. Tetapi ketika itu kerana sibuk saya terlupa. Lagipun ceritanya kurang menarik perhatian saya ketika itu. Entahlah! Namun kini keadaannya berbeza hari ini, mari kita ikuti cerita Haslina tentang perkahwinan Suraya.

Menurut Haslina yang merupakan kawan baik dan juga saudara jauh dengan Suraya, pada awalnya perkahwinan Suraya dengan pemuda Bangladesh bernama Akhsan itu memang ditentang dan bantahan keluarga. Bukan sahaja ibu bapanya malah dari saudara mara.

“Alasan mereka memang kuat kerana Akhsan walaupun beragama Islam, tetapi dia pendatang haram. Keluarga bimbang apa akan terjadi lepas berkahwin dan mempunyai beberapa orang anak, Akhsan kena tangkap dan dihantar balik ke Negara asalnya kerana Akhsan tidak ada permit kerja dan bekerja di negara ini secara haram.

“Ibu bapa Suraya sendiri bukan orang senang, cuma pekerja kampung selain mempunyai beberapa orang anak yang masih bersekolah, kerana Suraya sendiri anak sulung. Tujuan mereka lepaskan Suraya bekerja kilang di bandar dahulu pun adalah untuk mencari sedikit duit bagi membantu adik adiknya yang masih bersekolah. Kalaupun gajinya tak banyak, asalkan Suraya boleh tanggung dirinya sendiri dan berdikari bagi mereka itu sudah mencukupi.

“Harapan keluarga juga, jika ada jodoh Suraya, bolehlah dia berkahwin, dan dengan sedikit simpanannya bolehlah dia bantu keluarga buat sedikit kenduri, maklum anak perempuan sulung. Tetapi masalahnya bila sudah bekerja Suraya tidak berminat dengan pemuda tempatan, sebaliknya lebih tertarik dengan pemuda warga asing. Inilah yang membimbangkan keluarga, apa akan jadi pada Suraya jika dia ditinggalkan satu hari nanti dengan anak-anak yang ramai keliling pinggang? Siapa nak bagi anak-anaknya makan?

“Kerana kebimbangan inilah pada awalnya hasrat Suraya hendak berkahwin dengan Akhsan ditentang keras oleh keluarga khususnya bapa dan ibu ibu saudara Suraya. Orang tua tua kampung juga dipanggil untuk beri nasihat pada Suraya kerana semua mereka bimbang jika  Akhsan kena tangkap apakah Suraya juga terlibat kena masuk lokap? Macam-macam komen didengar pendek kata semua bantah.

“Ibu bapa Suraya bukan tidak melarang, tetapi meraka bimbang jika disekat dan dihalang hasrat  Suraya untuk berkahwin akan membawa lebih banyak masalah. Apa kata kalau Suraya kahwin lari dengan pemuda tersebut. Mereka bimbangkan keselamatan dan masa depan Suraya. Tambah-tambah lagi ada pulak mendakwa mungkin Suraya akan dijual dan macam macam cerita yang menakutkan ibu bapanya.

“Desakan demi desakan kami dengar. Akhirnya Suraya bertindak dia beri kata dua pada ibu bapanya, bahawa dia tetap akan nikah dengan Akhsan, jika tidak setuju dia akan lari, nikah atau tidak dia tak peduli. Keputusan muktamad Suraya buat keluarga bertambah takut.

 

“Kerana jika tidak dinikahkan secara sah, pasti Suraya tidak akan dapat nikah, sebaliknya dia akan ikut Akhsan lari dan hidup bersama tanpa nikah. Apa akan jadi kepada anak-anak yang bakal dilahirkan nanti?” Kerana bimbangkan masalah yang lebih besar, maka keluarga terpaksa nikahkah Suraya di rumahnya oleh ayahnya sendiri bersaksikan imam dan bilal kampung sahaja. Tidak ada kenduri besar, cukup tiga dulang nasi. Yang penting pernikahan mereka sah dan ada surat nikah yang sah, bukan melalui sindiket.

“Akhsan berjanji dia akan jaga Suraya dengan baik, dia akan berusaha dan bekerja keras cari duit untuk mereka. Suraya berhenti kerja selepas mengandung. Akhsan selain bekerja pada siang hari. Tengah  malam dia bantu kawannya ambil  upah menerima dan mengagihkan sayuran dari peraih-peraih di pasar borong berhampiran rumah sewanya.

“Bermula dengan mengagihkan sayuran itulah mula timbul minat Akhsan dia ingin jadi petani kerana dia tahu di kampung Suraya ada tanah yang tidak diusahakan, tetapi sesuai untuk ditanam sayur.  Dengan modal sedikit Akhsan meminta izin bapa Suraya untuk bertani, permintaannya di terima. Maklum daripada tanah penuh semak dan lalang baik dijadikan kebun sayuran.

“Selepas Suraya bersalin, maka bermulalah lambaran baru dalam hidup Akhsan dan Suraya, mereka jadi petani. Dengan pertolongan kawan sebangsanya Akhsan dapat menjualkan sayurannya di pasar, perniagaannya bertambah banyak dari hari ke hari.

“Bermula secara kecil-kecilan, akhirnya Akhsan boleh membeli motorsikal sendiri, sudah pasti atas nama Suraya. Sebelumnya motor mertuanya jadi korban. Dengan sedikit simpanan yang ada, Akhsan menunggu peluang mendaftarkan dirinya untuk disahkan. Akhsan memang rajin bekerja dan dia berpandangan jauh.

“Bermula jadi petani kemudian dia jadi peraih sayuran. Dia memasarkan pelbagai jenis sayuran, tak kira sayuran kegemaran bangsanya, ataupun sayur-sayur kampung. Asalkan boleh dijadikan duit dia akan usahakan. Tak secara langsung orang kampong turut menjualkan sayuran kampong kepada Akhsan untuk dipasarkan.

“Apabila anak bertambah, maka bertambahlah rezeki Akhsan dan Suraya. Dari seorang anak bertambah 3, semuanya lelaki. Begitu juga rezekinya, dari sebuah motor dia mampu beli kereta terpakai. Tujuan Akhsan kereta boleh digunakan untuk berniaga, bukan makan angin. Langkah Akhsan semakin jauh disamping menjadi peraih sayur. Di mana sahaja pasar malam di kawasan berhampiran rumahnya turut menjadi lokasi perniagaannya.

“Akhirnya dari kereta bertukar kepada van dia bukan sahaja menjual sayuran, tetapi berniaga pelbagai barangan yang menjadi minat bangsanya yang tinggal jauh dari kedai dan tidak ada keenderaan untuk keluar membeli barangan makanan.

“Hubungan Akhsan dengan bangsanya memang tak putus, malah dia sentiasa dicari untuk mendapatkan barangan makanan selain sayuran termasuklah beras, tepung, gula, ikan, ayam, daging dan banyak lagi. Kerana itu tidak hairanlah perniagaannya semakin maju, hanya dengan menggunakan van terpakai tidak perlu kedai.

“Dengan mulutnya yang ramah tamah, tak hairanlah dia cepat dapat kawan. Namun saya sendiri tidak tahu macam mana dia dapat permit ataupun kelulusan tinggal negara ini. Saya tak tanya Suraya sebab saya takut dia tersinggung dengan pertanyaan saya itu.

“Sebab saya hairan selepas 10 tahun Akhsan sudah boleh balik ke negerinya di Bangladesh dan membawa Suraya dan anak-anaknya bersama. Pada mulanya terkejut juga kaum keluarga. Sebab mereka takut Suraya dan anak anaknya ditinggalkan di Bangladesh nanti. Lepas sebulan mereka selamat kembali ke tanahair. Dan Akhsan kembali menjalankan tugasnya seperti biasa.

“Ketika itu ramai orang kampung dah buka mata, kahwin dengan pendatang Bangladesh Suraya  boleh hidup senang ada motor ada van dan sudah ada kereta, berbanding dengan anak gadis mereka kahwin dengan pemuda tempatan, ada antara anaknya ditinggalkan dan diceraikan setelah beranak pinak, kerana bekas menantu nak kahwin gadis lain.

“Lebih menyeronokkan Suraya kini, dua orang anaknya dapat melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh. Hajat Suraya anaknya dapat masuk Universiti supaya mereka dapat mengubah corak hidup keluarga mereka yang dahulunya susah, dan anak-anaknya pernah dipanggil anak anak pendatang ketika kecil dahulu. Kini kebijaksanaan dan kepandaian mereka telah mengubah pandangan masyarakat terhadap mereka.’’  Itu cerita Haslina

Katanya lagi kejayaan dan kebahagiaan hidup Suraya dan Akhsan mungkin boleh membuka jalan dan harapan ramai gadis tempatan mencari Mat Mat Bangla menjadi suami mereka. Kerana berkahwin dengan pemuda tempatan pun mereka mungkin menghadapi masalah atau resiko yang sama ditinggalkan dan diceraikan. Jadi apa salah mencuba warga asing jika mereka sanggup bekerja keras untuk kebahagiaan keluarganya.

Sementara itu seorang kawan beritahu dia kenal dengan seorang pekerja membaiki barang barang elektrik warga asing berbangsa Pakistan. Pemuda Pakistan ini beritahu dia berkahwin dengan gadis Cina orang tempatan, tetapi dia sudah pun masukkan gadis Cina ini menjadi orang Islam dan kini mereka ada 2 orang anak.

“Katanya kerja isteri hanya duduk di rumah menjaga anak-anaknya, tetapi lebih penting dia ada pejabat kecil di rumahnya di mana tugas sampingan isterinya terima panggilan orang ramai yang perlukan khidmat membaiki barangan elektrik. Dan dia akan sampaikan kepada suaminya untuk jalankan tugas tersebut. Khidmatnya cekap dan murah kerana itu tidak hairanlah mereka dapat ramai pelanggan.” Kata kawan ini lagi.

Saya sendiri mengenali seorang gadis Sabah yang menjual pelbagai barangan aksesori wanita, subang, tudung, rantai dan pelbagai barangan lagi. Dari perbualan kami wanita ini beritahu suaminya seorang pemuda keturunan Arab. Tetapi dia tak tahu negara asal suaminya. Kini dia ada seorang anak yang dijaga oleh adiknya yang dibawa dari Sabah. Katanya lagi dia sudah memelok agama Islam, dahulu dia seorang kristian.

Katanya suaminya suruh dia berniaga dengan membelikan sebuah kios menjual barangan tersebuh di sebuah pasarraya. Di samping suaminya sendiri menjalankan perniagaan menjual barangan makanan keperluan bangsanya yang sukar didapati di pasar-pasar raya.

Kesimpulannya berkahwin dengan warga asing bukan semuanya membawa pada dan masalah atau kemudaratan, ia terpulang kepada keikhlasan warga asing ini sendiri dalam mencari isteri dan rezeki. Dua belah pihak saling memerlukan. Namun bukan semuanya berakhir dengan kebahagiaan, sama seperti berkahwin dengan lelaki tempatan, ada yang bahagia tidak kurang juga menderita. Terpulang kepada dua belah pihak mensesuaikan diri dengan keadaan mereka, diiringi keikhlasan mereka menjadi rakyat Malaysia.