Nasib Isteri Kedua Dilayan Macam Sampah

DCCK  7 Oct 2017  

“MEMANG saya akui, tidak ada  gadis apa lagi wanita sanggup bermadu, tetapi jika ditakdirkan  bermadu, siapa boleh halang. Kahwin cerai ni urusan Allah, walaupun kita berusaha mengelak, tetapi kalau sudah ditakdirkan apalah daya kita sebagai hambanya.

“Saya sedar tidak ramai wanita setuju dengan pandangan saya ini, tetapi anda tidak merasa dan tidak melalauinya, maka sudah pasti anda marah. Anda tak perlu marah dan hangin, manalah tahu ditakdirkan satu hari nanti anak atau adik anda juga kahwin suami orang, apa nak jawab? Jadi terimalah qadaq dan qadar anda. Biarlah mereka laluinya dan hadapi dunianya dengan tenang mahupun perit.’’ Itu cerita Norshahirah ketika melahirkan pandagannya kepada penulis setelah menghantar smsnya ,

“Saya tak pernah terfikir kahwin suami orang. Tetapi bila digoda setiap hari, dan kita pulak tak terdaya melawan gangguannya, maka berlaku apa yang kita cuba elakkan.  Maka saya terjatuh cinta dengan Elsham, suami orang, berumur 48 tahun dan ada 3 anak.

“Awalnya saya pun tak sukakan suami orang, umur pun belum mencecah 30 tahun, belum masuk ketegori terdesak untuk kahwin. Itu kata kebanyakan lelaki yang melebalkan gadis yang lambat kahwin. Tetapi keluarga di kampung sering bertanya `bila nak kahwin?’ Takkanlah KL bandar besar tak ada lelaki mahu ambil saya jadi isteri.

“Tercabar juga. Saya buat keputusan terima lamaran El kebetulan ketika itu baru 2 tahun saya putus cinta dengan kawan sekolej. Masa saya beritahu emak ayah tentang hasrat saya itu. Mereka menentang. Sebab suami orang. Mereka tahu hidup saya tentu tak tenteram sebaliknya akan menderita. Mereka juga tidak mahu rumah kami diserang bakal madu saya.

“Tetapi pengakuan cinta yang didorong janji kebal El bahawa isterinya tak akan serang saya, maka kami buat keputusan nikah ke seberang. Sebab emak menentang. Namun sebelum itu saya suruh El berjanji bahawa saya akan diceraikan jika isterinya ganggu saya kerana saya tak mahu masalah rumahtangga sampai ke pejabat. El bersetuju.

“Walaupun keluarga bantah, tetapi sebagai ibu, emak tetap buat doa selamat untuk kami beberapa bulan kemudian bertujuan beritahu keluarga saya sudah berkahwin, dan El diperkenalkan kepada ahli keluaga terdekat.

“Lepas kahwin El minta saya jangan beranak dulu, tunggu 4 atau 5 tahun. Sebab ketika itu katanya tanggungjawab menguruskan pelajaran anak-anaknya yang masih belajar mungkin sudah kurang. Walaupun saya kurang setuju, tetapi terpaksalah patuh.

“El juga berjanji apabila dapat duit KWSP selepas umur 55 tahun dia akan belikan saya appartmen. Sabarlah bukan lama sangat paling lama 6 atau 7 tahun lagi. Jadi buat sementara waktu dia suruh saya tinggal berkongsi rumah dengan kawan seperti sekarang.

“Kalau belum kahwin ok lah, tetapi lain jadinya bila sudah bersuami. Saya sendiri rasa tak selesa bila suami datang ke bilik sewa saya. Nama aja sudah bersuami, tapi macam tak ada suami. El biasanya datang bila kawan bercuti balik kampung atau waktu petang. Malam El terpaksa balik ke rumahnya. Perkahwinan saya memang tak bermakna langsung.

“Atas nasihat dan desakan kawan mereka suruh saya daftarkan perkahwinan kata mereka ditakdirkan saya termengandung macam mana dengan anak tu nanti? Tak pasal-pasal dapat anak tak sah taraf. Lama juga saya fikir pasal anak tak sah taraf.  Dan berapa lama nak tunggu, bila umur semakin tua, bimbang juga kalau langsung tak boleh beranak.

“Jadi bila dah terlangsung kahwin suami orang baiklah ada anak sendiri, baru ada maknanya. Setelah berfikir panjang akhirnya saya beranikan diri daftarkan perkahwinan di negeri saya, apa lagi mengamuk sakanlah El tuduh saya engkar.

“Saya terpaksa sebab saya bekerja, apa hal ditakdirkan mengandung apa bukti saya sudah bersuami. Dan saya juga bimbang dalam 6 tahun macam macam benda boleh berlaku. Nak jadikan cerita saya mengadung selepas 2 tahun kahwin. Lagi sekali El hangin. Bila hamil semakin jaranglah El datang ke rumah. Seminggu sekali pun susah. Ketika itu pandai pandai sayalah kalau nak jumpa doctor pergilah sendiri.

“Selepas bersalin, El anak beranak pergi bercuti ke Bandung. Saya tahu dia pergi bercuti kerana nak sakitkan hati saya sebab saya lahirkan anak dan daftarkan perkahwinan. Tetapi bila tanya banyak duit El bercuti, katanya anaknya yang baru bekerja belanja mereka berkongsi dengan isterinya yang ada sedikit simpanan.

“Tapi saya tak percaya takkan baru kerja dah ada duit nak gi holiday, lagi pun isterinya bukan bekerja, mana nak cekau duit. Saya tahu itu duit El sebab dia baru keluarkan KWSP ketika berusia 50 tahun. El marah sebab saya tak gugurkan kandungan.

“Oleh kerana dah ada anak saya berusaha cari rumah sendiri, kalau nak harapkan El dia suruh tunggu 6 tahun lagi. Takkan dah ada anak pun nak sewa bilik lagi?  Bila ada rumah saya rasa barulah lengkap sebagai isteri, walaupun El tak suka balik ke rumah saya.

“Wanita bila dah beranak pinak agaknya, barulah panjang akal sikit. Maka saya terfikir apa guna berkahwin, sedangkan saya yang uruskan diri sendiri, makan minum, bayar ansuran rumah, beli kereta sendiri, duit yang El beri RM300 sebulan memang tak cukup. Upah pengasuh aja dah mencecah RM400. Itu belum masuk lagi susu, pakaian, dan lampin bayi. Saya minta tambah bila dah ada anak, dia masih suruh saya bersabar.

“Jika saya mendesak kata tak cukup duit, saya kena marah balik, katanya, saya engkar kerana beranak sebelum waktunya, dan pandai pandai beli rumah sendiri, sedangkan dia boleh beri duit  bila dia keluarkan duit KWSP. Jadi salah saya jugalah dia betul?

“Nak jadikan cerita selepas umur anak setahun, saya mengandung lagi. El kata satu lagi bala dah tiba. Dia tetap salahkan saya kerana engkar. Dia suruh saya merancang keluarga, jumpa doctor dan makan ubat. Sedangkan diri sendiri tak berminat untuk merancang. Katanya, jika isterinya boleh ikut cakapnya beranak jarang-jarang, mengapa saya degil. Katanya lagi, saya sengaja nak menyusahkan hidup dia.

“Alasan El dia suruh saya merancang sebab dia ada tanggungjawab kepada 3 orang anaknya yang masih belajar. Walaupun seorang sudah bekerja, tetapi dia masih hendak sambung belajar, sementara yang no 2 pun masih belajar. Cuma dia kesal anak ke3 nya tak mahu belajar sebab protes ayahnya kahwin lagi. Ketika itu berita kami sudah berkahwin sudah sampai ke telinga  isteri El. Sebab itu anak-anaknya buat hal, yang sudah bekerja pun nak berhenti sebab nak belajar lagi, yang kecil protes habis SPM dia duduk rumah tak mahu belajar, sentiasa harapkan  El beri duit saku. Ini yang memeningkan kepala El.

“El pernah lahirkan kekeciwaannya berkahwin lagi, dia tak sangka anak anaknya memprotes dia dalam diam, semuanya hendak menyusahkan hidupnya, walaupun El tak bercakap terus terang salahkan saya, tetapi jelas dari wajahnya dia kesal berkahwin dengan saya dan saya pula dikatakannya sebagai isteri yang engkar.

“Sementara itu isterinya salahkan El kahwin lagi punca anak anaknya buat hal. Mereka kata El ayah tak bertanggungjawab, cari kebahagiaan untuk diri sendiri, hingga lupakan keluarga.

“Tindakan El untuk memperbaiki dan kembalikan keharmonian keluarganya, dia jarang jarang datang ke rumah saya. Sebaliknya duduk dengan isteri pertama dan anak anaknya. Walaupun anak anak tidak berapa sukakan dia. Akhirnya El banyak menyendiri.

“Isteri El sentiasa salahkan El atas apa juga yang terjadi kepada anak anak mereka dan lebih menakutkan El, isterinya sentiasa menyindir jangan salahkan anak anak jika El jatuh sakit satu hari nanti, dan anak anak tidak pedulikan dia. Mana nak cari duit berubah. Sebab dia tuduh El habiskan duit untuk saya, sedangkan saya yang tanggung anak anak saya sendiri, El memang tak ambil peduli.  Anak anak El tak mahu percaya cakapnya.

“Setiap hari habis kerja El balik rumah, nak buktikan pada anak anak dia bertanggungjawab. El takut dia ada darah tinggi, dan bimbang kena stroke. Kerana takut itu jugalah El jarang datang menjengok anak anak saya, sebab dia kena jaga hati isterinya. Isterinya juga tuduh saya akan biarkan El terlantar  jika dia kena stroke.

“Kalau isteri El kata El  akan susahkan mereka, maka tak salah kalau saya pun kata El tidak bahagiakan saya, lebih baik kami bercerai. Tetapi El tak mahu ceraikan saya, katanya isteri tak boleh minta cerai dan tak boleh keluar rumah tanpa izinnya.  El kata jangan jadi isteri durhaka tak cium bau syurga. Tapi bagaimana saya hendak beli barang keperluan hidup jika El sentiasa tidak ada di rumah dan tak bertanggungjawab pada saya?

“Betul dulu saya takut engkar pada El takut berdosa. Tetapi setelah saya difikirkan El lebih banyak buat dosa tidak perdulikan nafkah zahir batin saya. Rasanya dosa El lebih banyak. Kalau kami berhibur pun cuma ke PD atau ke Morib dengan anak-anak saya, petang El mesti balik. Sebab malam mesti ada di rumah.

“Mungkin saya tak dapat jaga El jika dia kena stroke. Tetapi mengapa El enggan ceraikan saya? Katanya dia tak ada duit kalau masuk hospital sapa nak tanggung, jadi dia harapkan saya boleh  tumpang kemudahan perubahan saya. Sebab saya kakitangan kerajaan. Tau pun!

“Tapi saya sudah pun ke mahkamah tuntut cerai. Janji manis hanya sebelum kahwin dah kahwin lain cerita. Kita isteri kedua  lebih banyak menderita. Lainlah bersuamikan bangsawa, jutawan atau orang berpangkat. Jika tidak, saya suka ingatkan gadis-gadis di luar sana, jangan percaya janji suami orang yang menggoda anda. Dia tidak berani dengan isterinya. Malah dengan anak-anak pun dia takut. Akhirnya yang menderita adalah kita isteri kedua. Dia buat kita seperti pakaian. Lepas guna dibuang ke bakul.’’ Itu cerita Norshahirah pengalamannya hidup bermadu, lebih banyak derita daripada bahagia.