Sedih Suami Lebih Suka Benda Haram Dari Halal

DCCK  21  MEI  2017

“SESUNGGUHNYA tidak ada apa yang diingini oleh seorang isteri itu selain kasih sayang suami. Bukan caci maki sepanjang masa. Kalau isteri lemah pimpin dia jadi isteri solehah. Dan isteri bukan tempat melepaskan hawa nafsu semata mata. Islam meletakkan hubungan  suami isteni sangat mulia. Malah Perkahwinan bukan sahaja perkongsian fizikal, tetapi berkongsi fikiran, perasaan dan jiwa untuk sama sama berbakti kepada Allah dan keluarga.

`Tapi sebagai isteri saya keciwa bila suami saya Jay asingkan tempat tidur daripada saya, dia biarkan saya tidur sendirian bertahun-tahun, datang kecuali berhajat. Anak-anak lebih sedih mereka tidak tahu apa peranan ayahnya, kerana si ayah tidak pernah makan semeja apa lagi berbual. Sebaliknya lebih selesa makan depan tv.’’ Itu cerita Kamaliah yang dapat saya hubungi selepas pertemuan ahli ahli Kumpulan Sokongan Ibu Tunggal (KSIT) di Bangi baru baru ini.

“Saya sudah berkahwin hampir 28 tahun dengan Jay, anak ada 3 orang, 2 sudah bekerja cuma seorang lagi masih di IPTA. Mungkin saya seorang penyabar, dan sentiasa berdoa kepada Allah agar suami berubah jadi baik dan bertanggungjawab. Saya juga memohon agar kami anak beranak diberikan kehidupan dan masa depan yang baik. Terutama ketika itu anak-anak masih kecil. Tetapi hari berganti bulan, bulan berganti tahun, penantian saya hampa, sebaliknya saya dicampak buang bila suka.

“Bukan memuji diri, apa juga yang berlaku ke atas diri saya semuanya mungkin kerana saya terlalu sabar. Saya sabar dengan kerenah Jay sejak mula saya mengandung anak pertama. Dia balik dengan leher dan badan penuh love bite, bila saya tanya saya kena marah, katanya apa saya boleh bagi pada dia kerana tengah hamil.

“Sepatutnya dia bersabar kerana anak yang saya kandung adalah anak dia, tetapi dia tak peduli. Semakin hampir saya melahirkan Jay semakin liar, cuma air mata jadi teman menyejukkan jiwa yang lara. Jay buat baik dengan saya bila hendak duit. Kalau tak bagi saya ditengkeng, dimaki hamun dengan perkataan menyakitkan hati.

“Oleh kerana tinggal berjiran terasa malu anak baru satu dah bergaduh, jadi saya tutup mulut Jay beri dia duit. Malangnya perbuatan saya itu menjadi kegemarannya bila tak ada duit dia buat bising, bila bising saya terpaksa bagi duit. Lama-lama  saya sakit hati juga, duit gajinya tak tahu pergi mana, setiap bulan tak ada duit.

“Jay tak bagi duit pada saya setiap bulan untuk beli barang makan. Sebaliknya dia beli sendiri barang makan ikut seleranya. Dia beli milo  kegemarannya, ikan dan sayur kesukaannya, biskut dan benda benda lain ikut cita rasanya. Yang lain saya terpaksa uruskan terutama untuk makan minum dan pakai serta pelajaran anak-anak.

 

“Mungkin orang tak percaya itu perangainya, tetapi itu kenyataan. Dan perangai ini tak pernah berubah hingga 3 orang anak. Kalau saya minta duit bila dia dapat gaji, bukan mudah kalau tidak diiringi dengan maki hamun. Kadang-kala boleh bergaduh. Bayangkan untuk sebulan dia beri RM200 mana cukup? Lepas tu bila road tax dia mati, minta duit saya. Kalau tak bagi dia gunakan kereta saya, tentu menyusahkan saya nak bekerja, dan saya tak mahu dia guna kereta  buat maksiat. Jadi saya terpaksa bagi duit.

“Untuk sekolah anak-anak dia tak pernah pedulikan, ikut pandai saya saja. Anak-anak pun takut nak minta duit. Garangnya kalah harimau, kalau bagi duit pun main campak suruh kita kutip.

“Apabila anak-anak dari kecil hingga besar semua takutkan Jay. Hinggakan anak pertama jadi pendiam tak suka bercakap dengan Jay sementara  anak kedua saya terpaksa hantar ke hospital dapatkan rawatan psikiatri sebab dia `terkujat-terkujat’ bila ayahnya menjerit.

 

“Bayangkan setiap kali ayahnya menengkeng dengan suara yang kuat dan kasar badan anak saya jadi terhenjut-henjut atau kekujat seperti budak cacat. Saya fikirkan dia sawan bawa jumpa doctor, tapi doctor kata tidak ada masalah, suruh jumpa  doctor pakar psikiatri kanak-kanak.

“Akhirnya kami suami isteri dipanggil doctor psikiatri dan dilebalkan sebagai ibu bapa yang tak tahu mendidik anak. Malunya hanya Allah yang tahu, sebab Jay membisu, oleh kerana saya banyak bertanya, maka nampak seolah-olah saya bermasalah tak tahu didik anak.

“Masalah tak ada duit kerana perempuan adalah hobi Jay. Pernah semasa anak kedua lahir dia jatuhkan saya talak bila kami bertengkar. Tetapi depan khadi dia tak mengaku, Namun Khadi kata sah jatuh talak. Dia rujuk semula. Oleh kerana ketika itu saya masih muda, entah mengapa saya terima dia semula.Mungkin harapan saya dia akan berubah. Tetapi tidak.

“Oleh kerana anak-anak takutkan Jay, saya suruh mereka belajar  pandai-pandai supaya dapat masuk sekolah berasrama. Syukur Alhamdulillah. Semua anak-anak saya berjaya masuk sekolah berasrama, Sebab saya tak mahu mereka sakit dan ketakutan bila ayahnya mengamuk.

“Biasanya semasa anak-anak masih kecil, ketika kami bertengkar, si kakak akan bertindak pantas bawa adik-adiknya masuk dalam kereta sebab tak mahu adiknya sakit lagi bila dengar ayahnya menengking dan bergaduh dengan saya dengan suaranya kuat.

“Mereka terlalu gembira dan tenang bila masuk sekolah berasrama. Masalahnya bila cuti mereka terpaksa balik. Jadi untuk mengatasi ketakutan, biasanya mereka akan berkumpul dalam bilik kakaknya sama ada membaca atau belajar, hubungan mereka rapat. Tetapi Jay marah, dia tuduh saya ajar anak-anak tak sukakan dia, bukan saya ajar, anak-anak sendiri takutkan ayahnya, sebab bila bergaduh macam-macam benda boleh melayang.

“Ketika belajar di Universiti anak-anak bukan setakat takut, tetapi benci dengan perangai dan perbuatan Jay yang tak tak bermaruah. Anak-anak benci melihat ayahnya cuma berseluar  pendek sahaja dalam rumah, berjalan ke hulu ke hilir langsung tak malu, apalagi segan silu pada anak-anak gadisnya, malah dengan selamba mengadap TV hinggakan anak-anak tak berani keluar bilik apatah lagi menonton TV.

“Tabiat makan depan tv memang tak selesa, pinggan, mangkok, gelas bersepat-sepah dengan lebihan makanan. Bila makanan bertabar tentulah semut, lipas banyak, dia salahkan saya tak kemas rumah, tetapi dia tak pernah salahkan dirinya yang pengotor itu.

“Perangai kedekut dan pelik Jay bermula sejak anak kecil lagi, Jay suka bersendiri, duduk bilik sendiri, tak mahu berkongsi bilik dengan saya, almari pakaian sendiri, laci sendiri yang sentiasa berkunci. Jadi bila kami beli rumah dua tingkat bilik bawah jadi bilik peribadi Jay saya pun tak boleh masuk,  malah ruang tamu menjadi milik peribadinya, anak-anak bila balik rumah terus masuk bilik atas tidur beramai-ramai tak turun dah.

“Saya tahu Jay ada ramai perempuan, terutama kerja macam dia. Jay lebih suka yang haram daripada halal. Saya pernah suruh dia nikah lagi, kerana saya tak ada anak lelaki yang menjadi idamannya. Tetapi dia tak mahu, sebab tak mahu bertanggung jawab. Dia seronok hidup dengan saya tak perlu bagi anak-anak duit. Beli rumah pun saya yang urus. Dia ambil peluang gunakan kemudahan sebagai kakitangan kerajaan dan letak rumah atas namanya.

“Benar gajinya dipotong setiap bulan, tapi dia minta ganti dari saya dengan meminjam setiap bulan. Jay tak bayar cukai pintu ke cukai tanah, bil letrik mahupun air semuanya saya uruskan. Kalau saya lambat bagi dia mengamuk dan mendakwa kalau dia tak beli rumah saya anak beranak duduk merempat bawah jambatan. Tapi saya yang bayar rumah setiap bulan.

“Pernah dua kali saya anak beranak keluar rumah kerana Jay halau, masuk 2 bulan Jay jadi sasau sebab tak ada duit. Mulalah pujuk saya balik ke rumah semula. Pernah juga saya ke mahkamah bila Jay jatuhkan talak, tetapi dia tak pernah mengaku. Mulut Jay memang jahat kalau maki hamun, tuduh saya jalang, sundal, anak haram, bangsat dan macam-macam. Sebenarnya Jay  jantan jalang, sentiasa mencari pelacur dengan menggunakan kedudukannya sebagai pegawai keselamatan. Boleh takutkan dan geratak orang terutama PATI dengan pangkat dan uniform yang dipakainya. Dia memang salahguna kuasa.

“Suruh nikah lagi dia tak mahu, sebab dia suka benda haram dan free. Saya tak buat tuduhan, malah saya jumpa dan telefon setiap wanita yang dia pernah tidur. Saya suruh mereka nikah, tetapi bila Jay balik mengamuk maki hamun saya. Sebab maki hamun inilah juga 2 orang anak kami telah bekerja suka duduk sendiri, sebab tak suka dengar Jay memaki hamun saya.

“Namun sepandai-pandai tupai melompak, akhirnya jatuh ke tanah, Jay ditangkap kerana berkhalwat dengan salah seorang perempuan seberang simpanannya. Kini barulah terbongkar  siapa Jay sebenar yang selama ini dinafikan oleh kaum keluarganya, kerana depan adik beradiknya Jay tuduh saya perempuan jahat. Kini semuanya terbongkar apabila mereka jadi penjamin Jay. Malunya bila dah tua-tua kena tangkap basah. Sepatutnya pada usia dekat pencen orang sibuk kahwinkan anak, ini dia pulak kena tangkap basah.

“Saya keciwa bukan kerana sedih dia ada perempuan lain, sebab saya dah lama tahu, tetapi sedih dan malu sepatutnya pada usia begitu dia rajin ke masjid, rajin solat, bimbing anak-anak ke surau jadi anak solehah, tetapi dia sendiri tunjukkan perangai buruk yang memalukan.

“Tiada siapa pun mahukan penceralan pada usia senja namun cabaran demi cabaran, ugutan demi ugutan, serta maki hamun babi, sundal, jalang Jay membuat saya semakin keciwa dan menghiris hati anak-anak dan. Anak-anak perempuan saya lagi sedih, seolah-olah kehadiran mereka tidak disukai, sebab ayahnya tak sukakan mereka, kerana inginkan anak lelaki.

“Kami anak beranak sudah lama sabar, anak-anak sedikit pun tak susah hati bila Jay kena tangkap, malah mendakwa inilah masanya Jay tuai benih yang dia tanam selama ini.’’ Itu cerita Kamaliah panjang lebar penderitaannya selama bergelar isteri, namun terpaksa bersabar dengan kerenah suami yang tak pernah mahu bertanggungjawab dan tak ada harga diri.

 

 

 

 

.