Suami Cepat Tangan Badan Jadi Mangsa

Ratapan Isteri

 

DCCK  22 MEI 2016“ENTAH mengapa agaknya hati dan perasaan kebanyakan kaum wanita (bukan semua) terlalu baik, sensitif, penyayang dan amat mencintai , malah mempercayai setiap janji manis yang lahir dari mulut kekasih terutama suami yang amat dicintai.

“Malangnya kerana terlalu percaya janjii suami inilah akhirnya diri jadi korban, tetapi peliknya si isteri tetap menyayangi suami, kerana pada anggapan kebanyakan isteri, suamilah tempat  kita bergantung, tanpa suami hidup seseorang isteri itu akan tempang.,’’ demikian menurut Ernie Yusnida dalam emelnya.

“Saya tidak pernah terfikir ketika bercinta dan akhirnya menerima akad dari suami, saya akan tinggalkan dia seperti sekarang. Sebab cinta dan janji yang dicurahkan oleh suami kepada saya  amat indah, walaupun dua kali tarikh pertunangan kami tertangguh kerana suami kurang budjet. Tetapi akhirnya kami bertunang dan berkahwin juga walau dengan apa cara sekalipun. Janji tetap ditepati, itu yang saya percaya sangat kepada suami saya Zey Isma.

“Tetapi kemanisan perkahwinan kami hanya setahun sahaja dapat saya rasakan, selepas itu saya mula terasa pahit, maungnya. Semua janji manis yang amat  indah dahulu tidak pernah wujud lagi, sebaliknya saya mula terasa bahang yang membara. Pantang tersilap segalanya diungkit, malah saya dicaci dan dihina sesedap mulutnya. Terutama bila Zey terdesak dan menghadapi masalah kurang wang. Terutama bila dia kata saya yang tergila-gilakan dia dulu, sedangkan dia tidak mencintai saya. Sapa tak sakit hati.

12791035_904986102947929_6565164575764078308_n

 

“Semasa belum ada keluarga, biasanya kami banyak menghabiskan masa makan malam bersama di luar rumah, sesekali saya masak yang ringan-ringan. Walaupun kurang sedap semuanya ok, Zey tak pernah komplen, malam katanya, kalau sedap dia makan banyak, kalau tak sedap dia makan sikit. Maka sayang saya pada Zey tambah mendalam.

“Tetapi bila saya mula hamil hampir setahun selepas berkahwin, keadaan Zey mula berubah, dia lebih suka pergi makan sendirian alasannya tidak mahu menyusahkan saya yang selalu tak berselera nak makan dan selalu muntah dan pening jika masakan yang kuat  baunya.

“Saya fikirkan Zey makan sendirian untuk beberapa bulan saja, tetapi  berlangsung hingga selepas saya bersalin dan lepas pantang. Dia jadi seronok makan sendirian. Walaupun saya kemudiannya ingin hendak ikut dia makan di luar, tetapi terbantut bila Zey nasihatkan saya lebih baik jaga kesihatan duduk rumah dan jaga anak, saya dibelikan makan ikut seleranya.

“Semasa membuat persediaan menyambut orang baru, Zey hanya beli barangan yang kecil-kecil sahaja, alasannya anak masih belum lahir tak baik buat persediaan besar-besaran, itu menurut nasihat ibunya. Kerana fikirkan betul saya pun patuh. Bila anak dah lahir persiapan masih tidak dibuat, tak ada akikah dan cukur jambul, kata Zey itu semua membazir tak wajib.

“Bila keluarga bertambah tentu perbelanjaan ikut naik, tetapi Zey masih buat perangai sama, suka makan di luar. Bila makan dengan kawan memang banyak belanja. Saya  nasihatkan Zey kita perlu jimat belanja. Di sinilah mulanya keluar tembelang Zey yang sebenar bahawa dia memang seorang boros dan suka mencari hiburan dengan kawan. Bila saya cuba menegah, Zey betempek. Katanya emaknya tak pernah sekat pergerakannya, mengapa dia  harus dengar cakap saya. Dan saya tak ada hak menyekat aktivitinya.

“Nasihat saya kerana dia selalu kehabisan duit dan sering ambil duit saya tanpa izin dari bag tangan saya. Perbuatan yang paling saya benci. Bila saya larang dia tarik muka dan jerkah atau tengkeng saya. Sikap dan perbuatannya membuat saya faham mengapa kami lewat bertunang, kerana dia tak cukup duit. Boros!

“Bila tak cukup duit hantara perkahwinan dulu, emaknya terpaksa gunakan duit sendiri. Tapi masih tak cukup maka Zey minta saya top-up alasannya simpanannya tak cukup. Kerana malu  saya terpaksa bantu cukupkan hantaran. Saya keluarkan simpanan sendiri. Kini fahamlah saya perangai  Zey mengapa  tak cukup duit dan suka habiskan masa dengan kawan-kawan.

“Masalah kurang duit sentiasa menghantui hidup saya. Hidup semakin terdesak bila anak bertambah seorang lagi. Malangnya perngai Zey tidak berubah, sebaliknya dia jadi bengkeng, kasar dan pemarah. Kalau kehendaknya tidak dipenuhi dia cepat tangan memukul saya. Sebenarnya saya mula merasa penampar Zey ketika anak pertama lagi. Tetapi saya bersabar harapan saya dia akan berubah bila anak bertambah, tetapi dia jadi semakin garang. Bab kena penangan memang selalu singgah di belakang saya.

“Pernah saya terjatuh bila kena pukul di belakang. Nasib saya tak dukung anak ketika itu , jika tidak pasti anak jatuh ke lantai. Yang jatuh berderai hanya pinggan makan yang saya pegang. Bila jatuh, Zey bantu angkat saya. Tapi sambil angkat saya mulutnya tetap marahkan saya sebab melawan cakapnya. Katanya dia sudah cukup dewasa dan tahu apa yang dia buat.

“Kerana sering kekeringan wang, sedangkan anak bertambah dua, saya terpaksa minta bantuan emak di kampung. Ketika itulah mak nasihatkan, kata emak dia pelihara saya sejak lahir, bila besar di sekolahkan diberi pelajaran dari menengah hingga kolej dan dapat cari nafkah sendiri. Sejak kecil emak tak pernah pukul saya, tak pernah minta duit saya setiap bulan walaupun dia berkorban mencari duit untuk beri saya pelajaran. Setelah bekerja ada duit sendiri dan setelah berkahwin saya hanya senangkan hidup suami bukan emak bapak sendiri.

“Kata emak, sepatutnya Zey berterima kasih kepada emak kerana berikan dia gadis yang serba boleh, yang beri dia nikmat hidup,  berpelajaran ada kerja yang boleh bantu dia bila susah, malangnya Zey tidak tahu berterima kasih, sebaliknya memukul isteri bila kehendaknya tidak dipenuhi. Sepatutnya suami bekerja keras tanggung makan minum anak isteri dan menyenangkan hati isterinya, bukannya memukul isteri sesuka hati bila kehendaknya tidak diperolehi.

“Kata emak lagi sedangkan Zey tidak pernah bersusah payah membesarkan isterinya apa lagi memberi isterinya pelajaran hingga dia ada pekerjaan dan ada duit. Dia dapat isteri lengkap dengan pakej dapat kasih sayang, beri dia nikmat hidup di dunia dan bantu dia semasa susah. Tetapi malangnya dia tidak tahu membalas nikmat yang diberikan oleh Allah, apa lagi berterima kasih kepada mertua yang memberikan dia seorang isteri yang serba lengkap dan berkebolehan membantunya dalam kehidupan.

“Saya turut menangis bila emak sambil menangis berkata dia tidak pernah pukul saya jika saya tidak beri emak duit. Sedangkah dialah yang membanting tulang besarkan saya, tetapi bila saya berkahwin, dan emak dapat menantu yang hanya tahu keseronokan diri sendiri dan suka memukul isteri apabila kehendaknya tidak dipenuhi. Adakah ini adil? Emak suruh saya fikir apakah saya patut berdiam diri lagi jika perbuatan seperti ini terus berlaku? Apakah saya patut bersabar? Jika perkahwinan saya dulu lahir dari kasih sayang, bukan ini balasan suami?

“Saranan  emak membuat saya berfikir panjang. Tetapi semuanya terkubur bila Zey pandai memujuk saya, Dia minta maaf kerana terlanjur. Dia tidak pernah berniat menganiaya saya, dia amat sayangkan saya. Dan saya percaya, ketika itu rasa sayang saya kepada suami melebihi kasih saya kepada emak yang membesarkan saya selama ini. Zey tempat saya bergantung.

“Beberapa bulan berlalu Zey kembali pada perangai lamanya, kalau sebelumnya dia termenang bila kekurangan duit. Tapi kali ini dia tidak boleh bersabar, sekali lagi saya jadi mangsa tangannya bila saya melarang dia ambil duit saya dari beg. Alasannya pinjam sementara akan diganti bila dapat gaji. Saya sedar ini hanya janjiny manisnya. Kami bertengkar dan pastilah tangan kasarnya mengakhiri pertengkaran kami.

“Saya menangis lagi, dan saya sedar bila balik malam nanti Zey akan minta maaf lagi. Inilah perbuatannya setiap kali selepas memukul saya. Kini sudah beberapa kali badan saya menjadi mangsanya. Paling teruk bahu dan tangan saya bengkak kerana terjatuh dan tangan saya terkena dinding sebelum terjatuh di meja. Saya terfikir patutkah saya bersabar lagi?

“Pernah saya minta Zey lepaskan saya jika saya tidak dapat beri dia duit lagi untuk dia berjudi dan jamu kawannya. Malangnya mulut saya disepak kerana minta cerai. Kata Zey berdosa besar isteri minta cerai. Bila kahwin isteri hak suami dan tidak boleh balik kepada keluarganya.

“Tetapi saya sudah hilang sabar rasanya tidak ada faedahnya saya tunggu lagi, kerana perangai dan kelakuan orang seperti Zey yang mempertaruhkan impiannya kepada nombor tidak akan boleh membimbing hidup saya di dunia dan akhirat. Malah saya akan lebih derita lagi. Hari itu saya nekad bawa dua anak balik kampung, harapan saya emak boleh jaga sementara saya bekerja. Saya sedar perbutan saya menyusahkan emak, tetapi saya tidak ada pilihan.

“Kembali ke bandar saya tumpang rumah kakak sementara cari rumah sewa. Saya tidak kesal tinggalkan rumah. Kerana rumah saya tidak ada perabut berharga. Kadang kala saya malu, gaji suami isteri boleh tahan, tetapi rumah masih menyewa, hutang keliling pinggang.

“Pertama kali dulu saya lari tinggalkan Zey saya tumpang rumah kawan. Zey datang pujuk dan berjanji tak akan pukul lagi. Tetapi kali ini saya nekad tidak akan balik walaupun Zey pujuk setengah mati. Cukuplah pengorbanan saya, kerana dia tidak akan insaf kelemahannya dan kebodohannya. ’’ Itu azam Ernie Yusnida yang kini sudah 6 bulan tinggalkan suaminya. Dia harapkan suaminya akan ceraikannya seperti yang Zey sering katakan bila permintaannya tidak ditunaikan. Atau mungkin Ernie digantung tak bertali. Tapi kata Ernie dia tak pedulli.