Suamiku Terperangkap Kerana Main-Main Cinta

DCCK  27 OGOS 2017 GAMBAR ADALAH HIASAN SEMATA-MATA

“MAKNA perkataan Insaf dan maaf tidak pernah wujud dalam kamus apa lagi hati suamiku malah tidak membawa apa-apa erti kepadanya. Dia akan minta maaf jika kesalahannya jelas dilihat dari perbuatannya, jika tidak dia tidak akan mengaku salah sebaliknya menyalahkan isterinya kerana menuduhnya.

“Lelaki jenis ini juga akan insaf walaupun telah hilangan apa yang disayanginya. Rasa insaf  itu mungkin timbul berbelas tahun kemudian. Selagi dia boleh bernafas, apa lagi bergerak, maka dia tidak akan insaf. Itu pengalaman saya bersuamikan Imran yang sepanjang tahun perkahwinan kami dia tidak pernah mengaku bahawa dia telah melakukan kesalahan.’’ Demikian cerita Puan Zahiratun ketika kami berbual baru-baru ini.

“Rasanya tidak keterlaluan jika saya katakan kebanyakan lelaki, sama ada masih bujang apa lagi sudah berumahtangga juga berperangai seperti ini. Mereka sanggup bertengang leher dan bertengkar tidak mengaku kesalahannya. Ini lah perangai Imaran sejak lebih 15 tahun lepas. Walaupun kami berkahwin lebih 20 tahun lalu.

“Saya tak sangka dia boleh berubah perangai kerana dahulu ketika saya bekerja dulu, dia memang suami yang baik dan sayangkan anak-anaknya, tetapi setelah saya berhenti kerja, lama kelamaan perangainya bertukar jadi semakin sombong, ego dan mementingkan diri sendiri.  Tanpa saya sedar apa kesalahan saya lakukan.

“Bila tanya apa salah saya dia tidak jawab, sebaliknya membebel tak tentu pasal. Hinggakan masalah kecil sebagai contoh, terlupa mandikan anak ataupun lambat goring ikan itu pun akan jadi isu besar mengamuk dan memaki hamun saya, apa lagi jika anak menangis.

“Dulu saya bekerja, tetapi kerana masalah pengasuh anak, maka saya terpaksa berhenti kerja. Sebab takkan saya nak ambil cuti selalu, sementara Imran tak mahu gilir ambil cuti, katanya soal jaga anak urusan isteri, bukan suami.

“Kerana masalah sering bercuti dan selalu ambil EL inilah akhirnya saya terpaksa buat keputusan berhenti kerja. Lagipun saya lihat jika saya bekerja Imran banyak melepaskan tugas sediakan makan minum kepada saya. Hinggakan saya sering kekeringan duit.

“Setelah memikirkan masalah inilah saya terpaksa berhenti kerja. Awalnya memang dia tak ada masalah beri nafkah kami, tetapi dia terlalu berjimat, terlalu berkira. Namun itu semua bukan masalah besar kepada saya. Tetapi keadaan berubah setelah dia tamat perkhidmatan kerajaan dan dapat pencen. Kemudian dia dapat kerja baru. Bermakna dia ada dua pendapatan tetap. Satu dapat pencen kerajaan dan kedua dapat gaji di tempat baru dia bekerja. Di sinilah bermulanya masalah kami bila Imran rasa dia ada banyak duit dalam tangan.

“Pada awalnya nampak semua ok, tetapi lama kelamaan dia mula suka balik lewat, alasannya  kerja banyak. Namun saya sedar perubahannya jelas kelihatan dia ada kekasih. Bukan sekali dua saya dapat tangkap dia melayan wanita dalam telefon, tetapi dia nafikan, sebaliknya salahkan saya kenapa suka baca telefon dia, dan kenapa suka dengar dia bercakap di telefon. Dia tuduh saya cemburu, dan saya disalahkan jika dia lakukan sesuatu buruk kepada saya.

“Amaran demi amaran diberikan kerana dia tuduh saya cemburu, dan saya diugut jangan menyesal jika dia bertindak, katanya lagi saya akan tahu nasib saya jika saya terus cemburu. Sebenarnya saya tak cemburu,  cuma bertanya kenapa dia sering balik lewat malam, dulu tak macam sekarang. Imran kata dulu dia kerja kerajaan, sekarang swasta, kena kerja keras. Sedangkan sebenarnya saya dia ada banyak teman wanita saling berganti.

“Isteri mana yang tak cemburu jika suaminya ada hubungan dengan wanita lain. Saya tanya elok-elok kena marah. Tuduh saya cemburu. Tetapi dia tak nafikan dia ada teman wanita yang saling berganti. Tak kira sama ada gadis atau isteri orang, semua dia layan, semua dia bagi layanan istimewa sebagai kekasih. Tentu kita sakit hati. Dengan isteri dia berkira dan amat kedekut tetapi dengan kekasihnya dia bagi duit dan hadiah.

“Kerana terbiasa dengan ramai teman wanita, ada kalanya dia terlupa, ketika inilah dia sering terperangkap. Bila kekasih mengamuk, saya dan anak-anak di rumah jadi mangsa kena maki hamun kerana kesalahan yang kecil. Satu perangainya dia suka memaki hamun saya dan anak-anak langsung tak ada perasaan malu didengar jiran tetangga.

“Imran buat perangai ini sejak berusia 30an tahun.Ketika berusia 40 tahun pun perangainya bertambah teruk. Emak  saya pernah berkata jika orang lelaki dah berusia lebih 40an tahun masih tak ubah perangai buruknya dan tak berusaha membaikinya, maka sampai tua atau sampai ke lubang kubur pun dia tetap tak berubah.

“Setiap kali rahsianya bersama teman wanita terbongkar saya nasihatkan dia, bahawa dia ada anak perempuan, apa perasaan dia jika anak-anak dia nanti dianiaya lelaki lain, tentu dia marah. Tetapi saya pulak kena maki hamun, dan diugut kalau masih bertanya pasal teman wanitanya, maka jangan menyesal jika dia bertindak. Malah dia sering mengugut jika tak puas hati dengan dia maka saya boleh buat aduan ke mahkamah syariah.

“Bukan sekali dua dia mengugut seperti itu, banyak kali. Tetapi memikirkan anak anak masih bersekolah dan perlukan banyak duit untuk membiayai mereka, maka saya terpaksa tutup mulut dan bersabar. Malah saya sering menangis dalam hati mengenangkan nasib sampai hati suami buat saya seperti ini mengugut hendak ceraikan saya.

“Kini rasanya sudah terlalu lama saya bersabar dah lebih 15 tahun. Umur Imrah dah 50 tahun   tetapi nampaknya perangai Imran tak pernah berubah, dari anak kecil hinggakan kini 3 orang anak kami sudah masuk kolej dan sudah habis STPM dia masih suka berganti  kekasih. Tetapi wanita yang akhir ini nampaknya dia tak boleh terlepas. Rasanya Imran sudah kena buku dengan ruas. Rahsianya terbongkar bila saya terbaca slip bank yang dia berikan duit kepada wanita tersebut. Kalau sekali dia beri RM500 jika sebulan jadi seribu.

“Bila sudah terperangkap dan terikat dengan kekasihnya, dia lepaskan geram dan marahnya dengan bertindak kepada kami anak beranak. Kalau dulu anak-anak masih boleh dapat duit saku atau duit buku pelajaran, kini semakin ketat. Imran juga potong belanja makan-minum kami. Dia mula jarang jarang balik makan atau sarapan di rumah.

“Bila saya tanya mengapa kurangkan belanja pelajaran anak-anak dia suruh saya cari duit sendiri. Mana nak cari saya tak bekerja? Dulu pernah juga saya pujuk dia beli rumah, bukan saya minta banglo atau semi-D, cuma rumah flat atau apartmen murah pun sudah memadai, tetapi dia suruh saya cari duit sendiri. Kalau nak beli juga saya mesti sediakan setengah dari harga rumah tersebut. Memang dia sengaja sakitkan hati saya, sebab dia tahu saya tak ada duit. Hingga kini kami masih  sewa flat, sedangkan dengan pendapatannya sekarang dia mampu beli apartmen.

“Pernah juga saya rayu Imran beli rumah, Imran kata buat apa dia hendak senangkan hidup saya? Dulu saya tak faham apa maksudnya, kini saya mengerti, sebenarnya dia tak mahu tinggalkan ataupun beri sesen duit dia kepada saya dan sudah jadi impiannya untuk ceraikan saya dan jika dia kahwin lain, dan dia memang tak mahu beri saya tempat tinggal untuk saya anak beranak. Biar kami susah. Katanya kalau bercerai saya boleh tuntut harta titik peluh dia, jadi buat apa nak beli rumah? Jika tak ada harta saya tak boleh tuntut apa-apa.

“Patutlah sejak kami berkahwin lebih 20 tahun ini dia tidak mahu beli sebarang harta, baik rumah atau tanah, buat rumah di kampung pun dia tak mahu. Dia cuma ada sebuah kereta kecil dan motor. Duitnya disimpan dalam bank. Dia cuma berbelanja untuk pelajaran anak-anak dan makan minum kami ala kadar. Bercuti memang tak pernah. Kecuali balik kampung setahun sekali. Memang Imran terlalu berkira pasal duit.

“Kini sepandai-pandai dia mengenakan wanita lain, akhirnya dia terikat dengan ugutan seorang wanita yang jadi kekasihnya yang dia tak boleh lepaskan diri seperti dulu. Dia terpaksa tanggung makan minum wanita tersebut, beri duit setiap kali wanita itu minta. Rasanya dia belum kahwin lagi, tetapi dia terpaksa berbelanja seolah-olah wanita tersebut isterinya. Untuk kepastian saya tanya Imran apakah benar dia sudah berkahwin? Jika benar saya tak marah, tetapi ceraikan saya, sebab saya tahu dia tak mampu tanggung 2 isteri, tambah pula umur pun semakin meningkat, sampai bila dia mesti bekerja untuk cari duit.

“Saya rela dia berkahwin lagi jika dengan wanita itu  dia dapat kebahagiaan. Sebab dia sering bandingkan saya dengan teman wanitanya. Lebih sakit hati bila Imran ugut jika saya tak mahu kuruskan badan dia akan kahwin lagi.  Kini saya beri dia segala kemudahan untuk dia ceraikan saya dan saya juga sudah mengadu ke mahkamah untuk dapatkan khidmat nasihat atau dia mahu ceraikan saya seperti dia selalu ugut.

“Kalau dulu bila rahsianya terbongkar saya dapat tahu dia ada kekasih dia selalu minta maaf dan janji tidak akan buat lagi. Tetapi semua janji tersebut bohong semata-mata, selepas setahun dia buat hal lagi, katanya dia pandai jaga badan dan rupa, sebab itu wanita terpikat padanya, bukan dia yang cari. Kini saya tak peduli dia nak kahwin lagi atau nak simpan wanita, itu hak dia, dia sudah tua dan tahu membezakan halal dan haram.

“Tetapi kerana saya tak mahu dia kena tangkap basah yang akan memalukan anak-anak yang sudah besar panjang , maka saya buat keputusan saya rela diceraikan. Tetapi menunggu keputusan Imran itulah yang lambat, kerana dia sering mengelak hadir ke mahkamah syariah. Itu cerita Zahiratun panjang lebar tentang suaminya yang suka dikelilingi teman wanita. Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh juga ke tanah. Dia kini terperangkap dengan wanita tersebut, kalau dulu dia senang terlepas kini dia terperangkap.