Terpedaya Ditipu Suami Kaki Judi KTM

DCCK  1 OCT 2017    –   GAMBAR ADALAH HIASAN SEMATA-MATA

“SEKIRANYA anda melihat wajahnya, saya percaya dan yakin, anda tidak akan percaya apa juga penganiayaan yang telah dilakukan kepada saya. Sebaliknya anda akan bersimpati, kesian dan percaya 150 peratus apa yang dikatakan kepada anda. Bak kata bebudak sekarang, muka syurga tapi perangai kalah setan.

“Kerana itu walaupun sudah 10 tahun berkahwin dengannya, dan sudah beberapa kali hendak ke mahkamah syariah tuntut cerai, tetapi apabila berhadapan dengannya, hasrat saya gagal. Dia janji dan sumpah akan berubah. Bukan saya sahaja percayakan dia, malah, ibu bapa, pakcik dan adik beradik saya juga yakin kepada janjinya. Akhirnya semua kami masuk perangkap dia.’’ Itu cerita ringkas Norhartini dalam perjumpaan bulanan ahli-ahli KSIT baru-baru ini, dan kemudiannya ketika kami berbual panjang secara lebih lanjut.

“Kadang-kadang saya termenong memikirkan betapa bodohnya saya boleh percaya kepada  cerita dan pujuk rayunya sedangkan sebelumnya saya tahu dia berbohong. Tetapi saya masih percaya dan ikut cakapnya supaya beri dia peluang untuk berubah. Bukan kerana sayang, dah tak sayang dah. Tetapi masih beri dia peluang berubah.

“Saya kenal Azmeer sejak sejak sama belajar, dan menyambungnya hinggalah kami bertunang dan berkahwin. Oleh kerana dah bertunang, dan ada pulak tawaran jualan rumah yang kami rasa kami mampu memilikinya, maka kami memohon atas nama bersama.

“Tetapi lepas kahwin mertua suruh duduk dengan mereka, sebabnya, Azmeer cuma dua beradik, kakaknya berkahwin dan duduk di Sabah. Tinggalah Azmeer yang saya panggil Az sendirian, jadi saya ikut, sebab tak ada masalah tinggal bersama mertua.

“Semasa mengandung anak pertama saya terkejut bila dapat panggilan dari Along suruh saya bayar pinjaman yang Az buat sebab tak berbayar beberapa bulan. Terkejut beruk saya. Disebabkan takut pada Along dan malu pada keluarga, maka dalam diam setelah berbincang dengan Az saya setuju bayar habis sebab Az berjanji akan bayar balik pada saya. Alasan Az pinjam duit Along sebab duit hantaran tak cukup dan saya percaya.

“ Tapi saya ingatkan Az jangan buat main dengan Along, mereka boleh bunuh orang kalau tak bayar. Sebab itu Az suruh saya bayar. Maka si bodoh pun keluarkan duit simpanan ASB pergi bayar dekat RM3k. Saya fikir tamatlah cerita di situ aja. Tetapi selepas melahirkan anak sulong Az kena berhenti kerja oleh syarikat tempat dia berkerja sebab menyalahgunakan duit pejabat. Supaya kesnya tidak panjang saya dituntut bayar RM4K.

“Sekali lagi dia buat hal. saya terpaksa pinjam bank. Keperitan hidup sudah terasa, hutang rumah kena bayar, sekarang hutang bank. Sebab ketika itu rumah belum dapat disewakan lagi, belum siap seratus peratus, belum masuk air dan letrik. Sekali lagi Az berjanji dia tidak akan susahkan saya malah berterima kasih kerana selesaikan masalahnya.

“Oleh kerana tak ada kerja sayalah kena tanggung keluarga. Oleh kerana dia ada ramai kawan maka kawannya ajak dia masuk MLM konon dapat banyak duit jika melabur dengan mereka. Az pujuk saya suruh melabur, tak ada duit pinjam bank katanya, nanti dia akan bayar bila bisnes MLM berhasil. Saya enggan, tetapi setelah didesak, saya terpaksa ikut. Niat saya biar dia boleh berusaha cari duit untuk keluarga. Tak sampai setahun dia kena `terajang’ sebab makan duit orang. Sekali lagi saya terperangkap kena bayar hutang rakan kongsinya.

“Saya betul-betul keciwa sebab hutang kiri kanan. Kata Az saya patut bersyukur sebab duduk  percuma menumpang di rumah emaknya. Tak bayar sewa. Tetapi Az tak sedar saya yang bayar bil letrik yang tertunggk bertahun berjumlah beribu ringgit. Saya pelik mengapa emak ayahnya tak mahu bayar bil letrik setiap bulan, apakah dia nak suruh kami bayar. Sebenarnya mereka berhutang bil letrik ini sejak sebelum kami duduk di rumah dia lagi.

“Pernah beberapa kali bekalan letrik dipotong. Kerana tak tahan bergelap dan panas, saya terpaksa jelaskan bil tertunggak, selesai bil letrik beribu ringgit itu, kena pulak bayar bil air, juga beribu ringgit juga. Itu tak masuk lagi bil cukai pintu dan cukai tanah yang mereka tak bayar bertahun tahun, berjumlah ribuan ringgit.

“Ketika saya dapat tawaran bekeraja dengan kerajaan dan ditukarkan ke negeri lain, Az merayu tak izinkan saya pergi, katanya dia berjanji akan cari kerja tetap. Dia minta saya bersabar dan berjanji lagi akan berubah. Janji lagi!

“Ketika tidak ada kerja tetap sayalah terpaksa selesaikan hutang dia dengan ahli MLM. Memang terasa perit hidup bersama Az. Ketika itu anak sudah bertambah 2 orang yang perlu susu, makan, pakai dan sebagainya. Tetapi Az memang suami tak bertanggungjawab. Makan minum kami tak dipedulikan. Hinggakan dia buat hutang pun suruh saya bayar.

“ Setelah melahirkan anak ketiga saya terasa peritnya hidup ditipu setiap kali dia buat hal, saya minta diceraikan. Dia bersumpah lagi. Malah sanggup tanda tangan surat perjanjian depan emak ayah dan pakcik saya bahawa, dia tidak akan berhutang lagi. Dia berjanji akan berubah. Saya tak sangup lagi menutup lobang-lobang hutang yang dia buat selama ini. Saya seolah olah jadi tukang tutup lobang hutangnya, sedangkan dia korek lubang hutang sesuka hati.

“Selepas setengah tahun Az berjanji tidak akan berhutang lagi, dan akan berusaha cari kerja. Walaupun kerja kontrek. Tiba-tiba adik-adik dan emak saya beritahu mereka dikejar Along. Terkejut berok saya, mengapa adik-adik dikejar Along, saya dipersalahkan?

“Rupanya dalam diam Az pujuk adik-adik saya jadi rakan kongsi dia buat bisnes jual Power Bank untuk telefon. Ini benda baru. Saya tanya adik apa cerita. Rupanya Az pujuk adik jadi rakan kongsi dan tanam modal dia usahakan projek jual power bank. Niat adik-adik nak tolong saya. Tetapi tidak tahu mereke kena tipu.  Oleh kerana adik-adik tak ada duit, dia suruh buat pinjaman dengan Along, Az yang bawa kenalkan dengan Along. Kemudian dapat duit bagi pada Az sebagai tanam modal buat bisnes bersama, sedangkan dia yang uruskan semuanya.

“Janji Az, adik-adik tak perlu fikir pasal cari pembeli, semua Az uruskan, bagi sahaja duit pinjaman dari Along kepada dia dan dia akan bereskan, dan pinjaman pada Along juga dia akan selesaikan. Tau semua beres sahaja. Sebab katanya permintaan power bank ini banyak.

“Malangnya lepas dua bulan adik-adik kena kejar dengan Along. Saya kantoi lagi kena bayar hutang Along sebab mereka memang tak berduit gaji pun kecil. Niat mereka nak tolong abang ipar, tetapi  mereka tak tahu si abang ipar kaki hutang, kaki kelentong, kaki pembohong dan penipu. Dia akan tipu siapa sahaja asalkan percaya pada dia dan boleh beri dia duit.

“Az kalau pasal bercakap dan berjanji nak buat bisnes, atau minta tolong, tak ada siapa boleh terlepas daripada temberangnya semua yang mendengar akan yakin dan percaya dengan janji manisnya akan bayar hutang yang dipinjam.

“Untuk mengelakkan adik-adik diburu Along, saya terpaksa bergadai dan buat pinjaman lagi untuk selesaikan masalah mereka. Kali ini saya betul-betul sudah hilang sabar, hutang dah bertambah lebih RM100. Pendapatan tak seberapa.

“Saya hairan mengapa dia sanggup menganiaya saya, sedangkan makan minum dan pakaiannya saya tanggung dan dia tak bekerja. Apa dia buat dengan duit yang dia dapat. Setiap hari keluar rumah konon pergi kerja part time. Tapi sering tak berduit.  Akhirnya terbongkar rupanya Az kaki judi, kebetulan saya ternampak kertas Toto di halaman rumah. Hati mula bertanya apa benda ini. Setelah diamati, baru saya tahu rupanya kertas judi Toto. Apakah Az kaki judi? Hati kecil saya tertanya-tanya. Agaknya ini punca Az suka berhutang dan tak pernah berduit. Dalam diam saya cari bukti, rupanya baru saya tahu nombor-nombor dalam telefonnya bukan no telefon kawan, tetapi nombor untuk main Toto. Patutlah selama ini dia tak boleh lepas dengan telefon walaupun waktu buang air atau mandi. Telefon sentiasa bersamanya. Sebab nombor dalam telefon itu jadi sumber ilhamnya main judi Toto.

“Dalam mencari bukti lain, barulah saya diberitahu oleh kawannya dia suka masuk pusat snooker kerana di situ dia gila main judi lumba kuda menggunakan mesin. Kalau kuda yang ditikam menang dia dapat duit, tetapi dia sering kalah. Mula-mula suka-suka main kuda, lama-lama jadi ketagih dan dia jadi gila judi lumba kuda di pusat snooker. Inilah sebab dia pinjam duit Along kerana suka main judi lumba kuda dan toto magnum, (KTM) bukan buat bisnes.

“Kerana tidak tertahan lagi suami kaki judi KTM dan suka pinjam Along, saya buat keputusan pindah duduk tumpang rumah emak. Saya sudah minta cerai. Sebab semua janjinya bohong. Sejak anak satu hingga 3 orang, dia tak pernah berubah perangai suka pinjam Along. Kerja tak pernah kekal, sebab sentiasa berfikir nak cari duit untuk judi.

“Kerana nak cari duit ini jugalah dia fikir macam mana nak yakinkan orang buat bisnes dan jadi rakan kongsi supaya dia dapat duit. Bila ada duit boleh berjudi Toto dan lumba kuda.

“Keputusan saya keluar rumah kali ini kerana tidak boleh tahan dengan penipuannya, dan lebih menakutkan hutang saya dengan bank bertambah banyak. Sudah lebih 10 tahun saya bersabar dengan pembohongannya kali ini saya nekad, saya mesti bercerai dengan apa cara sekali pun. Kalau hakim tak mahu ceraikan, saya tetap keluar rumah. Hanya orang yang senasib saya sahaja faham masalah saya, hakim tak tahu. Hanya Allah lebih tahu.

“Apa yang saya pelik ramai orang percaya dengan kata-kata dan janji manisnya pasal nak buat bisnes. Kalau bercakap kalah pakar motivasi. Tapi bila dapat duit habis ke tempat judi.

“Keputusan saya minta cerai tidak merunsingkan hati kedua ibu bapanya, mungkin mereka sudah masak dengan perangai Az. Untuk menampung hidup emaknya terpaksa sewakan 2 buah bilik rumah murah mereka yang kecil itu, hinggakan mereka sendiri tidak ada bilik tidur.  Mereka terpaksa lakukan kerana ayah Az sudah tidak bekerja lagi.

“Walau apapun terjadi, saya tidak akan kembali padanya, kalaupun dituduh nusuz, sebab perangai Az amat eruk.’’ Demikian cerita Norhartini dibelit hutang suami.