Trend Baru Suami Suka Kahwin Wanita Seberang

DCCK 11 JUN 2017  gambar adalah hiasan semata-mata

SEJAK kebelakangan ini kita banyak terbaca kisah ramai kalangan suami yang mengambil wanita seberang jadi isteri kedua atau ketiga mereka. Untuk memudahkan urusan, kebanyakan mereka akan ikut wanita seberang balik ke kampung halamannya untuk urusan pernikahan dan sekali gus persandingan mengikut adat istiadat mereka di sana.

Cerita ini bukan cerita baru, sejak lama dulu sudahpun berlaku, tetapi tidak seramai dan sekerap beberapa tahun kebelakangan ini. Pernikahan mereka menjadi lebih mudah jika semua urusan dijalankan di kampung halamgan wanita tersebut, selain perbelajaan perkahwinan menjadi murah, lebih memudahkan lagi semua urusan  pernikahan berjalan lancar kerana disokong oleh keluarga wanita tersebut. Lebih menyenangkan lagi tidak perlu orang tengah, semua urusan diambil alih oleh keluarga wanita tersebut. Tidak membazir

Terbaru, mari kita dengar pengakuan puan Mas Hanisah dalam pertemuan pendek kami di perjumpaan KSIT dan diikuti perbualan panjang kami di telefon. “Sebenarnya saya langsung tak sangka bekas suami saya Kas sanggup pergi ke seberang untuk nikah, sebab kalau orang luar tengok wajah Kas mereka tak akan sangka Kas sanggup tinggalkan saya, sebab wajahnya macam orang baik, Tetapi perangai sebenarnya macam neraka.

“Sebab saya tak sangka, dia beri belanja makan minum untuk kami anak beranak setiap bulan walaupun tak sebanyak mana, sebab gajinya kecil. Saya tak kisah, asalkan dia boleh membantu sudah memadai. Selepas dapat 2 orang anak rezekinya bertambah, apabila saya mencadangkan dia bekerja dengan sedara jauh saya. Tentulah gajinya bertambah.

“Pada awalnya saya masih lagi kelabu dengan aktivitinya, selalunya saya berfikir baik, kalau balik lambat tentulah kerja banyak, kalau balik malam tentu ada urusan lebih penting. Yang mustahak kepada saya dia bekerja dan beri sumbangan makan minum kepada keluarga. Namun kerja busuk ni berapa lama boleh bertahan, akhirnya terhidu juga baunya. Maka saya mula ternampak aktiviti songsangnya.

“Tetapi setiap kali saya tanya dia menafikan, dengan alasan banyak kerja dan nasihatkan saya jangan suka dengar cakap orang jika mahu keluarga hidup aman bahagia. Jadi kerana sayang suami dan fikirkan yang terbaik maka saya percaya dengan kata-katanya.

“Tetapi dalam pada itu saya terdengar juga cerita dia buat hubungan dengan pekerja wanita yang di bawah pengawasannya. Dia ambil kesempatan daripada permasalahan wanita tersebut. Tetapi kerana fikirkan yang baik, saya tutup telinga. Sebab Kas beri duit balanja makan minum kami. Tetapi tak banyak walaupun gaji dah bertambah, alasannya banyak urusan nak bereskan. Peliknya saya boleh diam, sebab selama berkahwin sayalah yang banyak menguruskan hal keluarga, sebab gajinya kecil. Pada saya asalkan dia bekerja itu sudah baik.

“Kalau nak ikutkan perbelanjaan keluarga tentulah banyak, pembaca sendiri tentu boleh kira sendiri  kalau kita ada 2 orang anak kecil, kita perlukan pengasuh untuk jaga anak, perlu susu, lampin pakai buang, sewa rumah, bil utility, ansuran kereta, cukai jalan petrol dan sebagainya.  Jadi untuk melicinkan pengurusan rumahtangga supaya nampak bersih dan beres, tentulah saya terpaksa turun tangan mengadakan dan menyelesaikan semua benda tersebut.

“Oleh kerana Kas sudah terbiasa dengan beri wang yang ikut kemampuan dia, maka kalau saya minta lebih jawapanya sudah pasti, “Aku tak ada duit dan tak cukup duit.’’ Sebab itu saya terpaksa uruskan semua urusan keluarga. Syukur saya ada kelulusan dan mendapat gaji yang memuaskan. Kalau tidak tentu hidup kami lebih huru hara.

“Saya tak boleh marah apa lagi mengamuk, sebab Kas calon suami pilihan saya. sejak kami berkawan lagi, emak sudah larang, kata emak kalau boleh carilah bakal suami yang ada pekerjaan tetap, ada pelajaran supaya tidak menyusahkan saya bila berkahwin lagi.

“Tetapi kerana cinta punya pasal, kerana berkawan sejak sekolah, maka saya tetap berpegang kepada kata hati saya, jodoh pertemuan di tangan Allah. Dan Allah tidak akan sesiakan hidup saya. Tetapi kata emak usaha dulu, cari yang sesuai dulu, kalau tak boleh baru berserah kepada Allah demi masa depan saya. Tetapi kerana cinta membuat saya terikat dengan janji setia, maka saya ikutkan kata hati kahwin dengan lelaki yang saya cintai. Hah! sekarang baru saya tahu langin itu tinggi atau rendah. Dan cinta itu tak boleh beri saya kebahagiaan, tanpa diiringi dengan rasa tanggungjawab dari pihak orang yang kita cintai. Cinta semata-mata tidak boleh beri kita makan apa lagi keselesaan hidup.

“Kerana menyedari kesilapan sendiri, maka saya banyak mendiamkan diri dan terima apa juga kerenah Kas. Barulah kini saya tahu apa yang dikatakan oleh emak saya itu ada benarnya cuma saya yang degil dan tak makan nasihat.

“Timbul sedikit rasa kesal di hati bila pendapatan Kas sudah bertambah dari usaha saya carikan dia kerja, tetapi Kay masih kata tak cukup duit. Sedangkan kita boleh kira dengan kerja barunya pendapatannya 3 kali lipat. Tentu dia ada duit. Tetapi setiap kali saya minta duit katanya duit dah habis, ataupun dia perlu simpan sedikit untuk banyar hutang. Hutang apa pun saya tak tahu.

“Tetapi apa yang saya pasti, aktiviti songsangnya menjadi-jadi terlalu banyak cerita buruk saya dengar yang diceritakan oleh orang, konon Kas jadi rebutan ramai wanita seberang. Ada yang bergaduh konon berebut Kas. Akhirnya terbongkar Kas ada hubungan dengan gadis remaja anak orang seberang yang sudah lama menetap di negeri ini. Bila ditanya Kay nafikan.

“Bila saya ajak pindah rumah kerana saya dah tak tahan dengan cerita buruk tentang perangai Kay dia tak mahu alasannya dia tak suka duduk rumah flat. Saya kata pangsapuri lain daripada flat. Tetapi dia tetap tak setuju, dia lebih suka duduk rumah atas tanah, walaupun rumah sewa. Kecuali jika saya beli tanah dan buat rumah, kecil pun tak apa katanya. Bila saya setuju dan minta dia simpan duit untuk tujuan itu, alasannya tetap sama tak cukup duit.

“Akhirnya tahap kesabaran saya sampai ke penghujungnya, saya ceritakan saya tahu  hubungan dia dengan ramai wanita seberang yang bekerja di bawah seliaannya. Kas  nafikan. Tetapi akhirnya dia mengamuk bila saya sebutkan nama wanita itu seorang demi seorang.

`Saya hilang sabar setelah terbaca message terbaru yang saya tengok dalam telefonnya. Kalau sebelum ini saya salin massage yang dia terima untuk jadi bukti, tetapi gambar terbaru yang saya terima membuat saya naik darah. Kami bertengkar seminggu dia tak balik rumah, akhirnya dia balik juga dan minta maaf katanya dia telah putuskan hubungan dengan wanita tersebut. Maknanya secara tidak langsung dia mengaku ada buat hubungan.

“Saya tak terima pengakuannya bulat-bulat, saya rasa tentu ada udang sebalik batu. Tentu dia ada buat perangai lain. Benar lepas sebulan Kas beri tahu dia terpaksa pergi kerja luar 5 hari, bila balik nanti dia akan bawa saya bersama anak-anak bercuti ke Langkawi. Pelik sungguh saya rasa macam ada yang tidak betul dengan mengakuan Kas ini. Itu kata hati seorang isteri.

“Tepat seperti yang diduga, ada pulak wanita seberang yang patah hati tak dapat pikat Kas menalipon dan beritahu saya bahawa Kas tak pergi kerja luar, tetapi pergi seberang sebab nak nikah. Dia siap beri nama wanita tersebut, kampungnya, bila balik, berapa umur wanita tersebut dan apa kerjanya. Lebih berani dia beri alamat rumah yang Kas sewakan untuk wanita tersebut dan di situlah mereka menginap bila balik nanti.

“Cerita itu memang menyakitkan hati saya. Kerana dengan saya kata tak cukup duit, tetapi boleh pulak pergi buat kenduri kahwin ke seberang, sewa rumah dan beli peralatan perabut rumah. Sedangkan di rumah sendiri, saya yang kena beli. Sebab Kas memanjang tak cukup duit.

“Walaupun dalam keadaan marah, tetapi setelah tenang saya berfikir cinta saya kepada Kas selama ini langsung tidak bermakna. Akhirya saya buat keputusan muktamat bahawa saya mesti mengakhiri perkahwinan saya ini. Tidak ada gunanya saya bersabar setelah hampir 9 tahun berkahwin. Kerana saya sentiasa ditipu untuk kepentingan dirinya sendiri.

“Sanggup dia hancurkan cinta kami. Di mana kah letaknya nilai pengorbanan saya selama ini.  Saya tak sanggup lagi ditipu, sedangkan dia berseronok berkahwin dua. Dengan saya tak pernah cukup duit, tetapi ada pulak duit untuk nikah lagi. Cukuplah sampai di sini saja perkahwinan kami, saya rasa tidak ada faedahnya saya pertahankan cinta yang sia sia ini.

“Kas tetap nafikan dia sudah nikah dengan wanita seberang. Tetapi saya tak marah, saya katakan, itu memang jodohnya yang terbaik. Jadi lebih baik kita berpisah sahaja. Sebab selama ini sayalah yang tanggung keluarga, kerana dia tak mampu, jadi bila berkahwin dua sudah tentu dia tak mampu berpoligami. Kerana itu baik dia bercerai dengan baik.

“ Mati-mati Kas nafikan. Tetapi saya tetap minta cerai. Kali ini saya gunakan kuasa saya, saya kata kepada Kas jika dia tidak ceraikan saya saya akan bawa dan tunjuk semua gambar-gambar lucah yang dia ambil sendiri gambarnya bersama wanita tersebut ke dalam mahkamah syariah, biar semua orang tahu siapa Kay yang sebenarnya yang selama ini tunjuk muka syurga.

“Terkejut beruk Kas. Dia tak sangka saya dapat gambar-gambar lucah dirinya sendiri dan dia tak boleh nafikan lagi.  Kalau tak percaya saya akan print semua gambar-gambar tersebut untuk saya tunjukkan ke mahkamah syariah. Saya terpaksa ugut Kas sebab saya sudah tidak tertahan lagi dipermain dan diperbodohkan. Kas ambil kesempatan daripada kebaikan, dan kesabaran saya untuk kepentingan dirinya sendiri.

“Akhirnya kerana malu, Kas terpaksa ceraikan saya, sebab saya tak mahu bermadu kerana saya tahu dia memang tak mampu dan tidak adil. Saya tak sangka ini balasan pengorbanan saya terhadap dia selama ini. Akhirnya saya terpaksa ucapkan selamat jalan. Dan saya doakan mungkin wanita seberang itu boleh tunjuk ajar dia jadi suami yang bertanggungjawab dan terima kedatangan keluarga dari seberang yang silih berganti.’’ Itu cerita Mas Hanisah panjang lebar pahitnya ditipu suami kerana kelemahan dirinya terlalu percayakan suami seratus peratus.